TEORI POLITIK ISLAM BERKESAN BAIKI SISTEM DEMOKRASI

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 24 Febuari 2012

Penghargaan harus diberikan kepada kepemimpinan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) atas inisiatif terpuji menganjurkan Seminar Kebangsaan Pelaksanaan Siyasah Syariyyah Dalam Konteks Masa Kini: Isu dan Cabaran pada 21 Februari lalu. Pendedahan mengenai ilmu siyasah syariyyah atau politik Islam kepada masyarakat terbanyak, terutama generasi muda adalah satu keperluan asasi pada masa kini.

Ilmu siyasah syariyyah ialah perbahasan mengenai sistem urus tadbir atau tatakelola kenegaraan yang dipandu oleh pedoman syariah. Perbahasannya meliputi segenap aspek kehidupan kenegaraan dan ia dicerna dalam bentuk dasar, agenda dan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Diskusi ilmu ini bertumpu kepada pembangunan tatakelola kenegaraan yang syumul, dipandu bagi memenuhi falsafah dan tujuan syariah yang juga dirujuk sebagai maqasid al-syariyyah.

Teruskan membaca

PUPUK PERPADUAN AGENDA BERTERUSAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada 19 Febuari 2013 nanti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Wacana Perpaduan Ummah. Menurut penganjur, wacana ini bertujuan bagi mengenalpasti asas dan aspek-aspek persefahaman yang dapat dipupuk dalam kalangan umat Melayu Islam selain merancang strategi pelaksanaan untuk mengembalikan dan meningkatkan perpaduan umat Melayu Islam. Pada wacana kali ini yang akan berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, DYMM Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Pemangku Sultan Perak Darul Ridzuan telah berkenan sebagai tetamu utama seterusnya menyampaikan Titah Diraja.

Peranan DBP dalam usaha memupuk usaha perpaduan di kalangan umat Melayu Islam bukan suatu yang baru. Pernah pada 8 Mei 2002, DBP bersama-sama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganjurkan Syarahan Perdana Palestin bertujuan mengukuhkan perpaduan dan komitmen umat Melayu Islam di Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus tertindas di tanahair mereka. Pada acara tersebut, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad, Perdana Menteri dan Dato’ Fadzil Nor, Ketua Pembangkang pada waktu itu telah sudi sebagai tetamu utama seterusnya menyampaikan amanat perpaduan ummah kepada seluruh masyarakat.

Teruskan membaca

POLITIK ISLAM TIDAK TERLEPAS DARI KELEMAHAN MANUSIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Politik Islam sebagai antara salah satu wadah atau saluran bagi menjayakan cita-cita ideal kenegaraan Islam tidak terlepas dari kelemahan manusia. Ini antara pengajaran penting dari kisah kebangkitan dan kejatuhan YB. Nasharudin Mat Isa dari pergerakan politik Islam yang disertainya. Kisah beliau bukan suatu pengalaman atau peristiwa baru dalam sejarah pergerakan politik Islam di negara ini. Jatuh bangun dalam pergerakan politik boleh dikatakan lumrah. Ia membabitkan ahli atau aktivis politik Islam di segenap peringkat. Pada peristiwa terbaru kali ini, takdirnya terkena kepada Nasharudin.

Kita harus memahami iaitu pergerakan politik Islam merupakan medan kegiatan manusia. Cita-cita unggul yang ingin dijayakan oleh mana-mana juga pergerakan politik Islam tidak akan terlepas dari berdepan dengan karenah kemanusiaan. Memandangkan sifat manusia pelbagai dan mereka bukan makhluk yang terlepas dari sebarang bentuk kesalahan, maka perbezaan pandangan dan kecenderungan sikap serta pendirian antara para anggota pergerakan politik Islam merupakan antara faktor utama yang membawa kepada salah faham dan pertembungan sesama sendiri. Cabaran menangani karenah kemanusiaan ini adalah hambatan terbesar kepimpinan pergerakan politik Islam. Perselisihan yang tidak dapat ditangani secara baik dan terhormat akan membawa kesan-kesan tersendiri terhadap organisasi malah boleh membawa kepada perpecahan yang parah.

Teruskan membaca

APABILA SITI NURHALIZA BERTUDUNG SEMPURNA

Oleh Muhamad Razak Idris

Menurut sumber berita, ramai dari kalangan peminat mengirimkan ucapan tahniah kepada Dato’ Siti Nurhaliza apabila beliau membuat keputusan untuk berhijab atau bertudung sempurna sempena hari kelahirannya ke 34. Rakaman tahniah ini adalah wajar malah ia harus dialu-alukan oleh para aktivis dakwah di negara ini. Ini kerana, pembaharuan imej Siti Nurhaliza ini memberikan beberapa petunjuk yang menarik sekiranya ia ditinjau dari perspektif peradaban.

Sejak sekian lama, terutama setelah era penjajahan yang berlangsung di dunia Islam, peradaban Islam pada keadaan tertentu berada dalam keadaan terhimpit. Sebahagian masyarakat Islam pada waktu-waktu ini dilanda krisis hilang keyakinan diri terhadap nilai dan kebudayaan peradabannya sendiri. Produk-produk peradaban Islam dari segi sistem, amalan dan penampilan dipandang rendah oleh masyarakatnya. Pada waktu-waktu tersebut, arus kemodenan melanda dunia Islam yang dibawa oleh masyarakat Eropah menerusi proses penjajahan menyebabkan umat Islam terlalu asyik dengan kemilaunya sehingga sesetengah mereka melupakan malah memperlekehkan warisan ketamadunannya. Produk-produk peradaban Islam dipandang sebagai mewakili model masa lalu dan dianggap ketinggalan. Kesannya, timbul perasaan segan dan malu yang meluas untuk mereka memperagakan atau mengamalkan produk-produk peradaban Islam dalam urusan kehidupan harian, apatah lagi dalam mengendalikan hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan.

Teruskan membaca

JAMINAN KESELAMATAN WANITA PERLU DITINGKATKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Seluruh masyarakat antarabangsa sedang memberi perhatian terhadap kes pemerkosaan seorang remaja wanita di India oleh sekumpulan lelaki yang membawa kepada kematiannya akibat kecederaan parah yang dialami. Barangkali ini adalah antara peristiwa yang paling menyayat hati yang berlaku ke atas seorang wanita di dalam sejarah moden kemanusiaan hari ini.

Perbahasan hangat tentang punca kejadian dan faktor yang membawa peristiwa tersebut kini sedang dibicangkan secara terbuka. Nampaknya, keselamatan wanita terus terancam dan mereka sentiasa sahaja terdedah dengan pelbagai perbuatan yang boleh meragut kehormatan dan nyawa oleh individu dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan.

Dalam kes yang berlaku di India ini, berasaskan laporan semasa yang diikuti, wanita yang menjadi mangsa keganasan ini bukan seseorang yang mengancam kepada persekitarannya dalam erti memiliki senjata berbahaya atau seumpamanya. Beliau dianiayai oleh penyerang semasa dalam perjalanan bagi memenuhi urusan kehidupan hariannya sebagai seorang individu dan warganegara. Tentu sesiapa sahaja yang memiliki perasaan halus berasa sedih dan kecewa dengan penganiayaan yang tidak berperikemanusiaan ke atas individu yang tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi perundangan. Ini adalah kes kezaliman terbuka yang perlu dikutuk oleh kita semua.

Teruskan membaca