RAKYAT PERLU PEKA DAN AKTIF DI MUSIM BERKEMPEN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan Berita Harian, 19 April 2013.

Tempoh berkempen secara rasmi sudah bermula. Selepas penamaan calon disahkan, calon dan parti yang mereka wakili diberikan hak demokratik untuk berkempen bagi meyakinkan pengundi mengenai kewajaran pemilihan mereka. Amalan berkempen ini adalah sebahagian daripada rukun sistem demokrasi. Ia wajar diambil kesempatan sepenuhnya oleh semua pihak yang terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), terutama rakyat.

Dalam sistem demokrasi yang menjadi amalan negara kita hari ini, kuasa memilih pemimpin terletak sepenuhnya kepada rakyat. Ini bererti rakyat adalah sumber kuasa yang sebenar. Pada PRU kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan selama 15 hari sebagai tempoh untuk rakyat membuat penilaian sebelum melakukan proses pemilihan pada 5 Mei nanti. Ia dikenali sebagai tempoh berkempen.

Dalam tempoh ini, rakyat perlu lebih peka, sensitif dan aktif untuk mendekati dan memahami pelbagai tawaran yang dikemukakan parti politik. Rakyat tidak boleh bersikap pasif atau mengambil sikap tidak peduli lagi dalam tempoh ini kerana penganjuran pilihan raya bertujuan memberi peluang kepada mereka melakukan penilaian terhadap barisan kepemimpinan yang akan mentadbir kehidupan dan masa depan mereka dalam tempoh mandat selanjutnya.

Teruskan membaca

BERTANDING DI PENTAS POLITIK BARU

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 15 April 2013

Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang akan bertanding di pentas politik Malaysia yang bercorak baru. Pentas politik baharu ini bukan saja mencabar tetapi menuntut pemikiran dan pendekatan baru daripada kedua-dua perikatan politik itu. Perikatan politik yang tidak berupaya memahami dan memenuhi keperluan ini akan menghadapi laluan yang sukar dan mungkin kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Sarjana serta penganalisis politik dan sosial sudah lama mengesan kemunculan pentas politik baru itu. Malah, istilah ‘politik baru’ yang dirujuk dalam banyak wacana politik semasa dibangunkan kerana perkembangannya memang unik dan tersendiri. Perbahasan mengenai persoalan politik baru ini dibincangkan sarjana bukan saja untuk keperluan latihan akademik tetapi juga membantu pelaku politik memahami pola perubahan yang berkembang di lapisan pemikiran dan sosial masyarakat agar mereka dapat melakukan perubahan sewajarnya dalam pendekatan dan gaya politik mereka.

Teruskan membaca

MUSIM BER ‘MAIN POLITIK’ DI KELANTAN BERMULA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 6 April 2013

Perbincangan mengenai politik juga menarik sekiranya ditinjau dari perspektif sosiologi. Masyarakat Kelantan misalnya, merujuk kegiatan mengundi dalam sistem demokrasi diamalkan di negara kita sebagai ‘main politik’. Oleh itu, bagi orang Kelantan, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen 3 April lalu, ia ibarat paluan gendang yang menandakan musim ‘bermain politik’ sudah bermula.

Ramai kalangan masyarakat Malaysia tersalah dalam memahami tabiat berpolitik orang Kelantan. Sebahagian mereka menganggap orang Kelantan sebagai masyarakat yang bersifat taksub melulu terhadap parti politik. Hakikatnya tidak sedemikian. Tanggapan itu barangkali benar pada sebahagiannya tetapi tidak keseluruhan. Ini boleh dinilai pada istilah ‘main politik’ yang merupakan satu kata perbualan yang digunakan secara meluas pada peringkat akar umbi masyarakat Kelantan.

Teruskan membaca

KENANGAN PEMIKIRAN MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 30 Mac 2013

Almarhum Muhammad Uthman El-Muhammady (1943-2013) banyak meninggalkan kenangan pemikiran terhadap dunia keilmuan Islam di Malaysia. Antara perbahasan ilmu bermakna yang disumbangkan  Uthman ialah tentang cabaran pemikiran pascamodenisme terhadap identiti dan jatidiri keilmuan dan peradaban Islam. Boleh dikatakan, beliau merupakan antara tokoh ulama atau ilmuwan Muslim tanahair yang paling menonjol dalam membahaskan cabaran pemikiran ini secara agak terperinci serta konsisten menyeru seluruh masyarakat Muslim berwaspada terhadap ancamannya yang bersifat halus.

Sikap dan pendirian Uthman tentang persoalan pascamodenisme boleh diteliti dalam karyanya Pascamodenisme dan Islam: Satu Pandangan Awal, terbitan Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) pada tahun 2004. Sebelumnya, persoalan yang sama dibincangkan secara temubual dalam majalah Risalah terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Siri 3, tahun 2000. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti pemikiran Uthman menerusi ucapan dalam pelbagai acara ilmiah di negara ini, tentu dapat mengesan penegasan beliau secara berterusan tentang kepentingan masyarakat Muslim  berwaspada terhadap perkembangan arus pascamodenisme. Jangkaan beliau, aliran ini bakal menjadi antara gerakan berfikir yang berpengaruh dalam dunia kehidupan moden hari ini.

Teruskan membaca

MENGUNDI IBARAT MEMBERI KESAKSIAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan Berita Harian, 24 Mac 2013

Wacana kenegaraan Islam sentiasa dinamik dalam erti terbuka menerima pemikiran atau kaedah baru yang berkembang dalam kehidupan semasa yang berubah selagi ia mampu mengukuhkan semangat dan prinsip utama ajaran Islam bagi membina sebuah sistem pemerintahan yang terbaik dalam masyarakat.

Dalam hubungan ini, pemikiran Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam karya beliau Fiqh Kenegaraan mengenai kewajipan dan hak mengundi menarik untuk diteliti dan diambil pengajaran. Dalam kefahaman al-Qaradhawi, kedudukan melaksanakan tanggungjawab mengundi adalah wajib dan pelaksanaan kewajipan ini ibarat tuntutan memberikan kesaksian bagi setiap individu Muslim.

Apakah yang dimaksudkan mengundi ibarat memberi kesaksian? Bayangkan sekiranya kita terdedah dan menyaksikan suatu peristiwa kemalangan yang membawa kepada pertelingkahan antara individu atau kelompok dalam masyarakat. Ketika itu, adalah suatu kewajipan kepada kita untuk menjadi saksi atau memberikan kesaksian terhadap peristiwa berkenaan secara tulus dan adil.

Teruskan membaca