POLITIK ISLAM TIDAK TERLEPAS DARI KELEMAHAN MANUSIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Politik Islam sebagai antara salah satu wadah atau saluran bagi menjayakan cita-cita ideal kenegaraan Islam tidak terlepas dari kelemahan manusia. Ini antara pengajaran penting dari kisah kebangkitan dan kejatuhan YB. Nasharudin Mat Isa dari pergerakan politik Islam yang disertainya. Kisah beliau bukan suatu pengalaman atau peristiwa baru dalam sejarah pergerakan politik Islam di negara ini. Jatuh bangun dalam pergerakan politik boleh dikatakan lumrah. Ia membabitkan ahli atau aktivis politik Islam di segenap peringkat. Pada peristiwa terbaru kali ini, takdirnya terkena kepada Nasharudin.

Kita harus memahami iaitu pergerakan politik Islam merupakan medan kegiatan manusia. Cita-cita unggul yang ingin dijayakan oleh mana-mana juga pergerakan politik Islam tidak akan terlepas dari berdepan dengan karenah kemanusiaan. Memandangkan sifat manusia pelbagai dan mereka bukan makhluk yang terlepas dari sebarang bentuk kesalahan, maka perbezaan pandangan dan kecenderungan sikap serta pendirian antara para anggota pergerakan politik Islam merupakan antara faktor utama yang membawa kepada salah faham dan pertembungan sesama sendiri. Cabaran menangani karenah kemanusiaan ini adalah hambatan terbesar kepimpinan pergerakan politik Islam. Perselisihan yang tidak dapat ditangani secara baik dan terhormat akan membawa kesan-kesan tersendiri terhadap organisasi malah boleh membawa kepada perpecahan yang parah.

Barangkali sebahagian kita pernah tertanya mengapakah wujud perpecahan dari kalangan para sahabat selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW seperti kisah perselisihan politik antara Khalifah Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Sufyan semasa di era perkembangan awal kenegaraaan Islam. Ramai yang berfikiran ideal bertanggapan iaitu perselisihan antara kedua mereka tidak harus berlaku kerana keduanya pernah berada di bawah pendidikan dan kepemimpinan Nabi Muhammad semasa hayat baginda. Namun, realiti sejarah tidak sedemikian. Ternyata, faktor kemanusiaan yang disumbangkan oleh pelbagai kecenderungan dan kepentingan telah mewarnai rentak jatuh dan bangun individu dan kumpulan dalam perjalanan pergerakan politik Islam sehingga dalam keadaan tertentu berakhir dalam suasana yang amat pilu dan tragis sekali.

Ramai pengkaji politik Islam klasik dan semasa menemui faktor kemanusiaan ini sebagai antara aspek utama yang menjadi punca kepada kelemahan sistem politik dan kenegaraan Islam. Oleh kerana itu, sekiranya kita meneliti banyak karya tentang teori kenegaraan Islam, aspek kualiti akhlak pemimpin dan para warga pergerakannya sering menjadi tumpuan perbahasan. Pada satu-satu keadaan, para sarjana ini meletakkan syarat yang amat ideal sekali dari kualiti kemanusiaan yang perlu dicapai oleh seseorang sebelum dia boleh diangkat dan dinobatkan sebagai pemimpin sesebuah negara Islam. Hal ini boleh diteliti dalam perbahasan seperti oleh Al-Farabi dan Ibn Khaldun tentang persoalan ini dalam karya-karya mereka. Pada pandangan kita, penegasan aspek kualiti kemanusiaan ini ialah bagi mengatasi fenomena kelemahan dan kejatuhan sistem politik Islam yang seringkali berulang-ulang dalam sejarah perkembangannya yang didapati terjadi kerana disumbangkan oleh faktor kelemahan manusia dari kalangan para pemimpin dan aktivis pergerakannya.

Dalam kisah Nasharuddin ini, faktor kelemahan manusia dalam pergerakan politik Islam kini terdedah. Ia kini menjadi perdebatan umum. Tentu terdapat pelbagai faktor dalaman yang tidak terdedah yang membawa kepada rentetan pemecatan beliau sebagai ahli Majlis Syura PAS. Provokasi politik yang dilakukan oleh Nasharuddin menerusi ucapan dan perbuatan terhadap kepimpinan utama partinya adalah antara faktor utama. Dalam mana-mana pergerakan politik, kepimpinan parti tentu tidak akan hanya menonton sahaja perbuatan ahli yang dilihat sudah tidak lagi seiring dengan semangat dan perdiriannya.

Namun, timbul persoalan, adakah Nasharuddin seorang yang begitu lemah dan naif sekali melakukan provokasi politik terhadap kepimpinannya secara terbuka tanpa mengentahui akibat dan kesannya? Apakah bentuk dan tahap kekecewaan yang dialami Nasharudin sehingga membawa beliau begitu nekad menunjukkan penentangan terhadap sikap dan pendirian semasa partinya dalam pelbagai persoalan dan cabaran hari ini? Adakah sudah tidak ada lagi ruang dialog atau musyawarah dalaman yang membolehkan beliau menyuarakan sikap dan pendirian politiknya?

Persoalan ini menuntut penelitian kerana ia membabitkan perbahasan tentang pelbagai isu antara tentang budaya kepemimpinan, sistem kependidikan dan amalan etika sesebuah pergerakan politik Islam. Dalam kisah ini, ternyata, kejelasan cita-cita perjuangan politik Islam semata-mata tidak menjamin ketahanan pergerakan politik Islam. Faktor-faktor kemanusian tidak boleh dipandang ringan dalam proses menjayakan cita-cita perjuangan. Kejayaan sesebuah pergerakan politik amat berkait dengan keupayaan kepemimpinannya menangani perbezaan sikap dan pandangan yang pelbagai secara berhemah, memberi keseimbangan terhadap aneka kepentingan dalaman dan luaran serta melayani dan meletakkan kedudukan seseorang secara terhormat dalam ekosistem pergerakan sesebuah pergerakan politik.

Dalam masa yang sama, sikap keras dan budaya memonopoli pendapat oleh individu atau kumpulan dalam pergerakan politik perlu ditegah kerana ia pasti mengundang perpecahan. Jelas, keutuhan dalam politik dicapai apabila pemimpinnya menunjukkan sikap bertimbangrasa dan tidak membuat provokasi sesama sendiri secara begitu keras dan sinis secara terbuka sehingga boleh menimbulkan kekecewaan dan rasa terpinggir berpanjangan di pihak yang lain. Dalam keadaan ini, tentu sekali ia mengundang tindak balas politik lain pula secara berlarutan dan tidak berkesudahan.

This entry was posted in Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s