Kategori: Budaya

AZAM TAHUN BARU MEMBACA SEJAM SEHARI

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada tahun 2017 ini, kita ingin mengajak masyarakat seluruhnya untuk sama-sama berazam meningkatkan tahap ilmu pengentahuan ke arah yang lebih baik dan meluas.  Tentu banyak cara dan kaedah yang boleh digunakan bagi mencapai azam baru ini. Namun, di sini ingin dianjurkan  untuk kita berazam untuk membaca buku atau karya yang bermanafaat selama satu jam setiap hari.

Azam ini kelihatan mudah. Namun hakikatnya tidak. Azam ini memerlukan kita mengubah tabiat dan budaya hidup kita. Pertama ialah perubahan budaya kita terhadap ilmu pengentahuan itu terlebih dahulu. Kedua, perubahan sikap terhadap masa. Manakala ketiga ialah perubahan tabiat dalam menentukan keutamaan amalan terbaik dalam kehidupan.

Budaya terhadap ilmu bermaksud kita memahami dan menghayati terlebih dahulu hakikat kedudukan ilmu yang tinggi berbanding perkara-perkara yang lain. Ketinggian kedudukan ilmu pengentahuan boleh diperhatikan dengan mata kasar kita tentang kemuliaan yang dimiliki oleh mereka yang berilmu pengentahuan. Para ilmuwan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka ibarat seperti pelita yang menerangi jalan bagi masyarakat menuju kebaikan. Kedudukan mereka di sisi masyarakat amat tinggi walaupun mungkin dari sudut kebendaan mereka adalah dari kalangan orang kebanyakan.

Continue reading “AZAM TAHUN BARU MEMBACA SEJAM SEHARI”

Advertisements

DIALOG PENYATUAN NASIONAL PERLU DISEGERAKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 1 Jun 2013

Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada ahli Barisan Nasional (BN) supaya bersedia menerima perubahan baru-baru ini adalah sejajar dengan beberapa kenyataan beliau sebelumnya berhubung kepentingan agenda penyatuan nasional dijayakan di negara kita terutama bagi mengatasi isu dan perkembangan politik tempatan pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu. Komitmen ini ditunjukkan secara serius apabila Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan ia antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat parti.

Nampaknya idea penyatuan nasional yang didorong semangat melihat kerukunan kehidupan politik dan sosial yang sihat dan produktif dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia sudah merentasi perbincangan kalangan pelbagai parti. Pada Kongres Nasional PKR, baru-baru ini, Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan keterbukaan pandangan terhadap idea penyatuan nasional apabila mengajak semua pihak bekerjasama dalam menjayakan cita-cita mewujudkan satu iklim politik negara yang sihat berasaskan prinsip demokrasi.

Continue reading “DIALOG PENYATUAN NASIONAL PERLU DISEGERAKAN”

MUSIM BER ‘MAIN POLITIK’ DI KELANTAN BERMULA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 6 April 2013

Perbincangan mengenai politik juga menarik sekiranya ditinjau dari perspektif sosiologi. Masyarakat Kelantan misalnya, merujuk kegiatan mengundi dalam sistem demokrasi diamalkan di negara kita sebagai ‘main politik’. Oleh itu, bagi orang Kelantan, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen 3 April lalu, ia ibarat paluan gendang yang menandakan musim ‘bermain politik’ sudah bermula.

Ramai kalangan masyarakat Malaysia tersalah dalam memahami tabiat berpolitik orang Kelantan. Sebahagian mereka menganggap orang Kelantan sebagai masyarakat yang bersifat taksub melulu terhadap parti politik. Hakikatnya tidak sedemikian. Tanggapan itu barangkali benar pada sebahagiannya tetapi tidak keseluruhan. Ini boleh dinilai pada istilah ‘main politik’ yang merupakan satu kata perbualan yang digunakan secara meluas pada peringkat akar umbi masyarakat Kelantan.

Continue reading “MUSIM BER ‘MAIN POLITIK’ DI KELANTAN BERMULA”

APABILA SITI NURHALIZA BERTUDUNG SEMPURNA

Oleh Muhamad Razak Idris

Menurut sumber berita, ramai dari kalangan peminat mengirimkan ucapan tahniah kepada Dato’ Siti Nurhaliza apabila beliau membuat keputusan untuk berhijab atau bertudung sempurna sempena hari kelahirannya ke 34. Rakaman tahniah ini adalah wajar malah ia harus dialu-alukan oleh para aktivis dakwah di negara ini. Ini kerana, pembaharuan imej Siti Nurhaliza ini memberikan beberapa petunjuk yang menarik sekiranya ia ditinjau dari perspektif peradaban.

Sejak sekian lama, terutama setelah era penjajahan yang berlangsung di dunia Islam, peradaban Islam pada keadaan tertentu berada dalam keadaan terhimpit. Sebahagian masyarakat Islam pada waktu-waktu ini dilanda krisis hilang keyakinan diri terhadap nilai dan kebudayaan peradabannya sendiri. Produk-produk peradaban Islam dari segi sistem, amalan dan penampilan dipandang rendah oleh masyarakatnya. Pada waktu-waktu tersebut, arus kemodenan melanda dunia Islam yang dibawa oleh masyarakat Eropah menerusi proses penjajahan menyebabkan umat Islam terlalu asyik dengan kemilaunya sehingga sesetengah mereka melupakan malah memperlekehkan warisan ketamadunannya. Produk-produk peradaban Islam dipandang sebagai mewakili model masa lalu dan dianggap ketinggalan. Kesannya, timbul perasaan segan dan malu yang meluas untuk mereka memperagakan atau mengamalkan produk-produk peradaban Islam dalam urusan kehidupan harian, apatah lagi dalam mengendalikan hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan.

Continue reading “APABILA SITI NURHALIZA BERTUDUNG SEMPURNA”

PEMBANGUNAN KURIKULUM PENDIDIKAN PERLUKAN INOVASI BERTERUSAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Daya saing bidang pendidikan banyak bergantung kepada tahap kualiti kurikulum pengajiannya. Oleh kerana itu, kita dapati banyak inisiatif penyelidikan dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan tertumpu dalam pembangunan aspek ini pada masa kini. Ia bagi menjamin pendidikan agar benar-benar dapat memenuhi peranan asasinya sebagai wadah atau saluran terpenting pembangunan manusia, seterusnya memastikan generasi yang dibangunkan dapat bersaing secara yakin di pentas dunia baru yang serba mencabar di masa depan.

Dalam makalah Voice, terbitan The University of Melbourne, (vol. 8, no. 8), Gabrielle Murphy misalnya memulakan tulisannya dengan persoalan, apakah bentuk kerjaya yang bakal diceburi oleh seorang kanak-kanak yang dilahirkan pada 2012 setelah beliau menamatkan pendidikan tinggi pada 2035? Dalam telahan Murphy, kanak-kanak ini berkemungkinan besar sudah tidak lagi dapat menceburi bidang-bidang pekerjaan yang kebiasaan dilakukan oleh ibubapa mereka hari ini setelah 23 tahun akan datang.  Ini kerana, kepesatan perubahan dan pencapaian dalam kehidupan manusia hari ini terutama dari ilmu, maklumat, kemahiran dan kemudahan, akan menjadikan bentuk-bentuk pekerjaan pada masa depan juga berubah sepenuhnya.

Continue reading “PEMBANGUNAN KURIKULUM PENDIDIKAN PERLUKAN INOVASI BERTERUSAN”

PELIHARA NAMA BAIK NEGARA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 30 September 2012

Rentetan peristiwa penghinaan terhadap agama Islam menerusi filem yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mengundang banyak komentar di media tempatan dan antarabangsa. Dalam penelitian, pandangan Greg Sheridan, kolumunis The Australian pada 22 September 2012 menarik dan berlainan. Analisisnya bukan sekitar filem tersebut tetapi tentang kedudukan nama baik AS yang nampaknya terus tercemar di mata masyarakat di dunia Islam terutamanya sejak peristiwa tersebut.

Dalam telahannya, AS perlu melakukan banyak usaha lagi, mencari strategi dan pendekatan baru bagi memulihkan nama baiknya. Kepimpinan dan rakyat AS tentu tergamam dan sedih melihat pelbagai reaksi masyarakat terhadap negara mereka di dunia Islam selepas penerbitan filem tersebut. Jelas, bukan sekadar penerbit dan pelakon filem tersebut sahaja yang menjadi sumber kemarahan, negara AS secara keseluruhan menjadi bahan pelepas kemarahan. Di sesetengah acara bantahan, bendera AS dibakar secara terbuka sebagai tanda protes dan ketidaksukaan. Persoalan tentang kewajaran tindakan ini dari segi etika perlu dibincang kemudian, namun, fenomena ini dinyatakan bagi menunjukkan tentang kedudukan AS hari ini pada pandangan masyarakat Islam global.

Continue reading “PELIHARA NAMA BAIK NEGARA”

‘BORAK BUKU’ STRATEGI PUPUK MINAT MEMBACA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Bharian, 2 Ogos 2012

Pembudayaan nilai kecintaan pada ilmu pengentahuan perlukan strategi pemupukan yang berterusan dan pelbagai. Antara strategi penting tentunya mendorong minat masyarakat terhadap buku dan budaya membaca. Penulis amat tertarik dengan penganjuran siri ‘Borak Buku’ oleh sekumpulan anak muda baru-baru ini. Mereka bernaung di bawah Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Wilayah Tengah dan Alumni Minggu Penulis Muda DBP.

Acaranya mudahdan ringkas sahaja. Suasananya pula santai. Setelah mengenalpasti pembicara buku dan menentukan pilihan buku yang bakal di’borak’kan atau dibicarakan, anak-anak muda ini menghebahkan program menerusi laman sosial Facebook. Urusanpenganjuran ini hanya dikendalikan oleh seorang saja. Pada acara baru-baru ini, seorang remaja perempuan bernama Nisa Yusof menjadi pengendali penganjuran. Pada hari dan waktu yang ditentukan, seramai lebih kurang 10 hingga 15 orang anak-anak muda berkumpul di sebuah kedai kopi di pusat hentian KL Sentral bagi berborak tentang buku sambil menikmati minuman kopi pilihan.

Continue reading “‘BORAK BUKU’ STRATEGI PUPUK MINAT MEMBACA”