APABILA SITI NURHALIZA BERTUDUNG SEMPURNA

Oleh Muhamad Razak Idris

Menurut sumber berita, ramai dari kalangan peminat mengirimkan ucapan tahniah kepada Dato’ Siti Nurhaliza apabila beliau membuat keputusan untuk berhijab atau bertudung sempurna sempena hari kelahirannya ke 34. Rakaman tahniah ini adalah wajar malah ia harus dialu-alukan oleh para aktivis dakwah di negara ini. Ini kerana, pembaharuan imej Siti Nurhaliza ini memberikan beberapa petunjuk yang menarik sekiranya ia ditinjau dari perspektif peradaban.

Sejak sekian lama, terutama setelah era penjajahan yang berlangsung di dunia Islam, peradaban Islam pada keadaan tertentu berada dalam keadaan terhimpit. Sebahagian masyarakat Islam pada waktu-waktu ini dilanda krisis hilang keyakinan diri terhadap nilai dan kebudayaan peradabannya sendiri. Produk-produk peradaban Islam dari segi sistem, amalan dan penampilan dipandang rendah oleh masyarakatnya. Pada waktu-waktu tersebut, arus kemodenan melanda dunia Islam yang dibawa oleh masyarakat Eropah menerusi proses penjajahan menyebabkan umat Islam terlalu asyik dengan kemilaunya sehingga sesetengah mereka melupakan malah memperlekehkan warisan ketamadunannya. Produk-produk peradaban Islam dipandang sebagai mewakili model masa lalu dan dianggap ketinggalan. Kesannya, timbul perasaan segan dan malu yang meluas untuk mereka memperagakan atau mengamalkan produk-produk peradaban Islam dalam urusan kehidupan harian, apatah lagi dalam mengendalikan hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan.

Pemakaian secara berhijab atau menutup aurat adalah salah satu dari produk peradaban Islam. Ia adalah jelmaan prinsip dan nilai ajaran keagamaan yang menganjurkan umat Islam samada lelaki atau wanita menampilkan watak sopan, halus dan sederhana apabila berhubung dalam kehidupan sosialnya. Penyempunaan penampilan berhijab tidak sahaja memenuhi perintah ibadah dalam Islam, malah pengamalannya satu bentuk penonjolan syiar peradaban Islam yang akan membezakan mereka dengan perkumpulan masyarakat lain. Umat Islam yang menampilkan dirinya secara sopan menerusi persembahan pakaian berhijab yang sempurna memaparkan wataknya sebagai insan yang beragama. Mereka tentu akan dilebih dihormati dan dimuliakan oleh rakan taulan di sekeliling persekitarannya kerana penampilan berhemah memaparkan ketinggian maruah dan kehalusan budi pemakainya.

Namun, semangat dari seruan agama berkenaan pemakaian berhijab ini tidak dihayati sepenuhnya oleh masyarakat Islam di era mereka berada dalam krisis kerendahan diri terhadap peradabannya. Pada ketika model pakaian berhijab mula dikembangkan secara terbuka di negara ini dalam di awal tahun 70 an, ia mengundang banyak pengkritiknya dari kalangan masyarakatnya sendiri. Banyak juga sindiran dan perlian terbuka perlu dihadapi oleh seseorang yang berkeputusan menampilkan pemakaian berhijab pada waktu itu.

Sejak kebelakangan ini, arus kesedaran Islam yang terus subur di negara kita memberi kesan tersendiri terutama dalam membina keyakinan masyarakat Islam terhadap produk-produk peradaban Islam. Permintaan masyarakat Islam terhadap sistem persekolahan berasaskan Islam bertambah dari tahun ke tahun. Hal yang sama boleh diteliti dalam perkembangan sistem kewangan Islam yang tumbuh dengan amat rancak pada masa kini. Ini adalah antara contoh tentang gambaran peningkatkan keyakinan diri yang semakin tinggi masyarakat terhadap produk-produk peradabannya.

Fenomena peningkatan keyakinan diri ini semakin terserlah juga dalam aspek penerimaan terhadap pemakaian berhijab dari kalangan masyarakat. Model penampilan ini semakin meluas diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat samada di desa atau di kota. Sebagai pencinta peradaban Islam, kita tentu berasa gembira sekali melihat pertumbuhan industri pakaian berhijab di negara ini. Imejnya kini bukan lagi satu bentuk penampilan bagi mereka yang berasal dari kampung atau desa. Apa yang lebih menarik ialah pengamal dan pendokong yang terlibat dalam mempromosikan pemakaian berhijab sebagai produk peradaban Islam ialah dari kalangan mereka yang berada di peringkat tinggi. Malah, usaha mempopularkannya tidak sahaja di peringkat tempatan malah mencecah ke peringkat antarabangsa menerusi pelbagai bentuk rekaan yang inovatif dan kreatif.

Kita perlu mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bersama-sama memperkenalkan dan mempopularkan produk-produk peradaban Islam kepada masyarakat dunia. Dalam hubungan ini, langkah Siti Nurhaliza untuk melakukan pembaharuan imejnya tentu memberi kesan dan sumbangannya yang tersendiri terutama sekali dalam mengukuhkan produk pemakaian berhijab dalam industri seni dan hiburan di negara ini. Kedudukan beliau yang sudah sekian lama bertapak dalam industri seni tanahair serta sentiasa pula menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat akan menyumbang secara bermakna dalam mempopularkan gaya penampilan berhijab dalam masyarakat kita.

Kita yakin, langkah pembaharuan beliau menuntut komitmen yang tinggi. Ini memandangkan pengaruh nilai dan kebudayaan yang bersumberkan peradaban Eropah masih agak menebal dalam industri seni dan hiburan negara kita.  Apa pun, beliau sebenarnya tidak keseorangan. Kita sedia mengikuti fenomena pembaharuan imej yang diambil oleh beberapa rakan artis lain yang bergiat dalam industri ini. Kita menyeru lebih ramai para tokoh dalam masyarakat untuk memulakan langkah pembaharuan ini seterusnya bersama-sama mendorong keyakinan baru masyarakat terhadap model penampilan diri yang dianjurkan oleh peradaban Islam.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Budaya, Dakwah, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Wanita. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s