WUJUD KERJASAMA AKADEMIK BINA JIWA ASIA TENGGARA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian pada 3  November 2021

POTENSI penyelidikan dalam bidang pengajian Islam di Asia Tenggara mesti diterokai sarjana serantau. Dua isu potensi utama ialah keamanan global dan pembangunan mampan seperti ditekankan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Akademik dengan Universiti Islam Negeri (UIN) Antasari, Banjarmasin, Indonesia dan Princess of Naradhiwas University (PNU), Thailand baru-baru ini.

Isu keamanan global perlu menjadi fokus penting memandangkan rantau ini dan masyarakat dunia masih berdepan pelbagai bentuk ancaman keselamatan. Oleh itu, sarjana disyorkan mengkaji punca dari pelbagai sudut, termasuk aspek ideologi, pemikiran, psikologi dan budaya yang mempengaruhi keganasan.

Realitinya, kajian isu keamanan global di Asia Tenggara masih rendah sedangkan isu keselamatan dan ancaman terhadap keamanan serantau masih berleluasa. Myanmar adalah contoh terbaru mengenai ancaman keamanan di Asia Tenggara, manakala isu keamanan di Thailand antara mesti dikaji secara berterusan untuk merungkai penyelesaian terbaik.