PEMERIBUMIAN EPISTEMOLOGI MENANGANI KELESUAN TAMADUN ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar BH 7 Mei 2021

Para sarjana Muslim moden memberi banyak tumpuan dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan kelesuan umat Islam. Permasalahan ini didapati antara punca utama yang telah menghambat kelemahan dan kemunduran tamadun ummah hari ini. Sejarah perkembangan pemikiran Islam semasa menunjukkan pelbagai bentuk penawar atau metod penyelesaian terhadap permasalahan itu mencakupi pendekatan kerohanian, kependidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan. Tokoh-tokoh sarjana Muslim yang terkenal sejak dahulu hingga kini yang telah mengemukakan idea-idea penyelesaian terhadap kelesuan umat di dunia Islam hari ini  termasuklah antaranya Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh, Muhammad Iqbal, Hasan al-Banna, Abul Ala’ Maududi, Malik Bennabi, Hassan al-Turabi, Ismail al-Faruqi dan Yusof al-Qaradhawi.

Sesungguhnya umat Islam amat memerlukan cetusan idea-idea terbaik sepanjang masa memandangkan isu kelesuan umat adalah satu permasalahan ketamadunan yang besar. Dalam erti kata lain, kelesuan ialah satu bentuk gejala atau penyakit yang menjadi faktor utama yang telah membantut keupayaan umat Islam berperanan sebagai umat terbaik atau khayra ummah. Kelesuan umat hari ini terzahir pada fenomena kehilangan halatuju terhadap peranan dalam kehidupan masa kini, kerendahan semangat dan motivasi bagi mencapai kecemerlangan serta  penularan pemikiran dan sikap pasif terhadap perubahan dan kemajuan. Fenomena kelesuan ini antara penyumbang yang telah menjadikan pencapaian tamadun Islam ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan dan kemanusiaan semasa.

Universiti perlu iktiraf karya ilmiah popular ahli akademik

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 26 Mac 2021, Jumaat.

KEPEMIMPINAN universiti di negara ini wajar meningkatkan inisiatif bagi memberi motivasi tinggi kepada ahli akademik supaya aktif menghasilkan karya berbentuk separa ilmiah atau popular diterbitkan pelbagai institusi media arus perdana.

Didapati sebahagian universiti tidak memberikan penghargaan sewajarnya terhadap karya berbentuk popular dihasilkan ahli akademik mereka.

Sekiranya keadaan ini berlanjutan, ia boleh memberi kesan jangka panjang yang tidak baik terhadap kelestarian ekosistem pembangunan ilmu di negara kita terutama dari segi perpindahan ilmu tinggi dihasilkan menerusi penyelidikan di menara gading kepada kefahaman masyarakat awam.

Memang diakui golongan akademik terlatih dalam bidang pengajian tinggi, bertanggungjawab menghasilkan tulisan atau karya ilmiah diiktiraf kelompok dikenali ‘komuniti saintifik,’ iaitu golongan berkepakaran tinggi dalam bidang penyelidikan ilmu masing-masing.

Mengenang Wawasan Dr Surin Pitsuwan Bagi Keamanan ASEAN (1949-2017)

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada 30 November 2020, genaplah tiga tahun pemergian Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan (1949-2017) ke pangkuan Ilahi. Jasa Dr Surin hendaklah dikenang kerana beliau ialah seorang tokoh Muslim di era moden yang pertama dari Thailand yang berjaya mencapai tahap terbaik dalam bidang kepempimpinan ilmu dan politik di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak memberi tumpuan terhadap wawasan membangun sebuah komuniti Asia Tenggara yang makmur dan saksama.

Dr Surin dilahirkan pada 28 Oktober 1949 di Ban Tan iaitu sebuah perkampungan minoriti Muslim di Nakhon Si Thammarat, Thailand. Di kalangan ahli keluarga dan masyarakat setempat, beliau dikenali sebagai Abdul Halim Ismail. Dr Surin dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di pondok atau madrasah agama yang diasaskan datuknya, Haji Yaakob bin Abdul Rauf iaitu Maahad Misbah al-Din. Madrasah ini kemudiannya diwarisi ayahnya, Haji lsmail Pitsuwan dan ibunya, Hajjah Sofiah. Setelah menamatkan pendidikan asas agama, beliau menyambung pendidikan formal di peringkat rendah dan menengah di Nakhon Si Thammarat  dan berjaya memperoleh ijazah di Fakulti Sains Politik, Universiti Thammasat di Bangkok, Thailand. Kemampuan akademik Dr Surin mendapat perakuan dan beliau telah ditawarkan biasiswa mengikuti pengajian sarjana pada 1974 dan menamatkan ijazah kedoktoran dalam bidang Sains Politik di Universiti Havard, Amerika Syarikat pada 1982 di bawah tajaan Yayasan Rockefeller.

‘SHEIKH MAQASID’ ANJUR DIALOG BERTERUSAN BINA KEAMANAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Terbit di BH 30 Jan 2020.

Raisuni BH

Baru-baru ini, Profesor Dr. Ahmad al-Raisuni yang merupakan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia telah mengunjungi Malaysia sebagai Profesor Pelawat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Trengganu. Dr Ahmad al-Raisuni seorang ilmuwan yang amat dihormati di dunia Islam pada hari ini kerana sumbangan pemikirannya dalam bidang falsafah perundangan Islam atau ‘maqasid al-shariah’. Beliau telah menerbitkan puluhan karya dalam bidang tersebut yang kini menjadi antara bahan rujukan utama bidang maqasid al-shariah. Sumbangan keilmuan itu menjadikan beliau digelar ‘Sheikh Maqasid’ oleh dunia keilmuan Islam masa kini.

Sepanjang tempoh di sini, beliau telah menyampaikan syarahan di banyak seminar dan forum yang dianjurkan oleh pelbagai badan keilmuan Islam di Malaysia, Dr Ahmad al-Raisuni memberi penekanan terhadap kepentingan para ilmuwan Muslim hari ini mendalami disiplin ilmu ‘maqasid al-shariah . Menurut beliau, setiap bidang ilmu dalam Islam memiliki maqasid atau falsafahnya yang khusus. Maqasid di sini boleh juga difahami sebagai tujuan atau hikmah yang ingin dicapai atau dijayakan dalam kehidupan manusia ini. Ilmu-ilmu Islam samada ia terbina menerusi cabang usuluddin, fiqh atau akhlak, kesemuanya terangkum dalam kerangka pengertian ‘shariah’ yang luas iaitu sebuah aturan kehidupan yang menyeluruh.

Teruskan membaca

TULISAN JAWI WADAH INTEGRASI RAKYAT

Oleh Muhamad Razak Idris

Tulisan Jawi ialah alat atau medium persuratan bagi masyarakat Melayu-Islam di kepulauan ini sebelum kedatangan penjajah. Kedudukan tulisan jawi amat penting dalam struktur budaya masyarakat Melayu-Islam kerana ia adalah perantara penting yang telah memberi sumbangan ratusan tahun terhadap pembinaan peradaban masyarakat terutama sekali menyalurkan pengentahuan, meningkatkan keyakinan beragama dan mendidik tatasusila kehidupan sesama manusia. Akal budi umat Melayu-Islam yang berperadaban dan bertoleransi terhadap realitI kepelbagaian yang muncul dalam persekitaran mereka telah disumbangkan oleh tulisan Jawi sebagai pengantara utama. Malah, keupayaan aqidah Islam yang diyakini oleh umat Melayu-Islam hari ini yang terus bertahan walaupun berhadapan dengan cabaran penjajahan selama ratusan tahun adalah disumbangkan oleh peranan tulisan Jawi sebagai alat penyampai kebenaran agama.

Kedudukan tulisan Jawi boleh disimpulkan sebagai salah satu syiar kebudayaan Islam yang mesti dihormati. Tambahan pula, huruf-huruf yang terbangun dalam sistem tulisan Jawi berhubungan dengan bahasa Arab yang merupakan bahasa bagi al-Quran. Umat Melayu-Islam amat menghormati tulisan Jawi kerana kedudukan dan peranannya yang besar dalam sejarah ketamadunan mereka di rantau ini sejak sekian lama. Sekiranya rantau ini tidak mengalami penjajahan oleh negara-negara Eropah, tulisan Jawi pasti merupakan tulisan rasmi dalam segala urusan di negara ini yang mesti dipelajari oleh setiap warganegaranya yang berbilang kaum dan etnik.

Teruskan membaca