Pengarang: Muhamad Razak

UTAMAKAN PROJEK INFRASTRUKTUR JALANRAYA DI KELANTAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Salah satu tajuk utama perbincangan para perantau masyarakat Kelantan sepanjang sambutan Aidilfitri lalu ialah tentang kesesakan jalanraya yang dilalui mereka bagi menyambut hari raya di kampong halaman. Tajuk ini sebenarnya isu ulangan dan berlarutan hampir setiap tahun sejak akhir-akhir ini. Isu kesesakan jalan raya bukan hal yang direka-reka tetapi satu pengalaman semakin menjadi ‘ngeri’ bagi sesetengah perantau. Kedapatan mereka perlu menghabiskan waktu dalam kesesakan jalanraya antara 15 hingga 20 jam bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baru.

Banyak usaha telah dilakukan pihak kerajaan bagi memberi kemudahan perjalanan kepada rakyat di sebelah pantai timur semenajung Malaysia. Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) misalnya amat membantu sebagai pilihan perjalanan ke Kota Baru. Pilihan lain yang menjadi kebiasaan perantau ialah laluan menerusi Bentong, Raub dan Kuala Lipis. Kemudahan lebuhraya Kuala Lipis ke Gua Musang yang telah siap beberapa tahun lalu banyak mengurangkan kesesakan dan memendekkan perjalanan. Kesesakan di sepanjang laluan di negeri Pahang menuju ke Kelantan ini juga terjadi pada waktu tertentu dan boleh dipertimbangkan.

Namun, kesesakan yang amat mencabar biasanya dihadapi apabila kenderaan para perantau mula memasuki perjalanan dari Gua Musang ke Kota Baru dan laluan dari Pasir Putih ke Kota Baru bagi yang menggunakan kemudahan LPT. Pertambahan kenderaan yang mendadak terutama pada hari-hari puncak akan mengundang ngeri kepada para pemandu.

Continue reading “UTAMAKAN PROJEK INFRASTRUKTUR JALANRAYA DI KELANTAN”

MEMPERKASA PENDIDIKAN ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Pendidikan Islam ialah wasilah bagi proses menerapkan  prinsip dan nilai-nilai keagamaan ke dalam segenap dimensi kehidupan. Cita-cita bagi membina individu dan masyarakat yang menjadikan agama sebagai panduan kehidupan tidak akan dapat dicapai sekiranya pendidikan Islam sebagai wasilahnya berada dalam keadaan yang lemah.

Pada perbincangan bertujuan ke arah memperkasakan pendidikan Islam di Malaysia yang dianjurkan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (MAPIK), Fakulti Pengajian Islam UKM, Persatuan Alumni Fakulti Pengajian Islam UKM, Persatuan Bekas Siswa Kolej Islam Malaya dan Majlis Dakwah Negara (MDN) baru-baru ini di Bangi, para pakar pendidikan bersepakat iaitu agenda memperkasa pendidikan Islam ialah tanggungjawab berterusan dan seharusnya menjadi satu cita-cita bersama yang menyatupadukan umat Islam.

Pendidikan Islam di Malaysia telah melalui fasa-fasa perkembangannya yang dinamik. Perkembangan itu menurut Prof. Dr Wan Kamal Mujani, Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM sebagai proses perubahan dari ‘mengaji kepada mengkaji’. Dalam ertikata lain, sebelum pendidikan Islam secara formal berkembang hari ini, masyarakat Islam menjalankan amalan kependidikan Islam secara tidak formal menerusi tradisi mengaji. Malah tradisi ini masih terus berkembang di desa-desa tertentu di mana pada imam dan guru agama mendidik kanak-kanak belajar membaca al-Quran secara sukarela atau dengan jumlah upah yang manima. Proses mengaji itu yang biasanya berlaku di masjid, surau dan rumah-rumah amat berkesan sekali dalam membina jati diri dan mendekatkan generasi muda Islam kepada al-Quran iaitu sumber utama pendidikan Islam.

Continue reading “MEMPERKASA PENDIDIKAN ISLAM”

AZAM TAHUN BARU MEMBACA SEJAM SEHARI

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada tahun 2017 ini, kita ingin mengajak masyarakat seluruhnya untuk sama-sama berazam meningkatkan tahap ilmu pengentahuan ke arah yang lebih baik dan meluas.  Tentu banyak cara dan kaedah yang boleh digunakan bagi mencapai azam baru ini. Namun, di sini ingin dianjurkan  untuk kita berazam untuk membaca buku atau karya yang bermanafaat selama satu jam setiap hari.

Azam ini kelihatan mudah. Namun hakikatnya tidak. Azam ini memerlukan kita mengubah tabiat dan budaya hidup kita. Pertama ialah perubahan budaya kita terhadap ilmu pengentahuan itu terlebih dahulu. Kedua, perubahan sikap terhadap masa. Manakala ketiga ialah perubahan tabiat dalam menentukan keutamaan amalan terbaik dalam kehidupan.

Budaya terhadap ilmu bermaksud kita memahami dan menghayati terlebih dahulu hakikat kedudukan ilmu yang tinggi berbanding perkara-perkara yang lain. Ketinggian kedudukan ilmu pengentahuan boleh diperhatikan dengan mata kasar kita tentang kemuliaan yang dimiliki oleh mereka yang berilmu pengentahuan. Para ilmuwan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka ibarat seperti pelita yang menerangi jalan bagi masyarakat menuju kebaikan. Kedudukan mereka di sisi masyarakat amat tinggi walaupun mungkin dari sudut kebendaan mereka adalah dari kalangan orang kebanyakan.

Continue reading “AZAM TAHUN BARU MEMBACA SEJAM SEHARI”

AGAMAWAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGARA

Oleh Muhamad Razak Idris

Perhimpunan Agamawan Kebangsaan  yang dianjurkan Majlis Dakwah Negara (MDN) pada 20 Julai 2016 lalu di Bangi telah mencapai beberapa ketetapan penting  yang memperlihatkan komitmen menyeluruh sebahagian besar para agamawan tanahair untuk menyumbang sebagai pemangkin pembangunan negara. Seramai lebih 300 orang hadir ke perhimpunan itu dari seluruh negara.

Awalnya, sebahagian anggota masyarakat tertanya siapakah agamawan? Mereka bertanyakan perbezaan antara agamawan dengan para mufti, pendakwah dan ustaz serta ustazah yang biasa digunakan dalam media perdana negara.

Istilah agamawan mengandungi ruang definisi yang luas dan ia boleh difahami dalam pengertian yang khusus dan umum. Secara khusus, agamawan merujuk kepada mereka yang memiliki keahlian dalam bidang-bidang tertentu tentang ilmu-ilmu Islam yang amat luas. Kajian ilmu-ilmu Islam hari ini dinamik dan berkembang antaranya berkenaan aqidah, falsafah, pemikiran, syariah, muamalat, perbankan, bahasa arab, sejarah, tamadun Islam, ilmu-ilmu al-Quran dan hadis, dakwah, kepimpinan dan kaunseling serta lain-lain lagi. Mereka yang memiliki keahlian dalam pelbagai bidang ini dan memperoleh latihan asas dalam bidang pengajian Islam samada secara formal atau tidak formal adalah tergolong sebagai agamawan.

Continue reading “AGAMAWAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGARA”

PERPADUAN UMMAH BUKAN MUSTAHIL

Oleh Muhamad Razak Idris

Satu Multaqa Perpaduan Ummah akan berlangsung pada 18 Mei 2016 yang dianjurkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM dengan kerjasama beberapa pertubuhan Islam. Persidangan ini penting kerana ia sebuah inisiatif oleh perkumpulan masyarakat madani atau sivil yang berkongsi aspirasi dan kesedaran terhadap kepentingan persoalan perpaduan Ummah diperkukuhkan di negara kita

Ramai yang ragu tentang ikhtiar dan langkah menggerakkan perpaduan Ummah ini, malah kedapatan sebabahagian merasakannya ia satu inisiatif yang terlalu ideal dan mustahil dicapai. Sikap ini disandarkan pada anggapan iaitu tabiat semula jadi individu dan masyarakat adalah cenderung kepada perbezaan dan ini secara lumrahnya akan membawa kepada pertentangan dan perpecahan

Terdapat kebetulan tersendiri pada tanggapan itu, namun ia bukan mewakili kebenaran yang menyeluruh. Aspirasi kita dalam menggerakkan inisiatif perpaduan Ummah berasaskan pemikiran yang menerima konsep perbezaan dalam kehidupan ini sebagai suatu tabiat semula jadi dari penciptaannya. Agama Islam memperakui perbezaan yang wujud dalam kehidupan sebagaimana tergambar dalam pelbagai realiti kejadian di dunia ini. Namun, perbezaan dalam tasawur pemikiran Islam bersifat harmoni. Perbezaan yang dianjurkan agama tidak semestinya membawa kepada natijah pertentangan dan permusuhan. Ia sewajarnya mengarah kepada proses saling mempelajari antara pelbagai keunikan serta bersama memanafaatkan setiap kekuatan yang dimiliki antara satu dengan lain.

Continue reading “PERPADUAN UMMAH BUKAN MUSTAHIL”

MENDIDIK NILAI POLITIK MULIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Politik sebagai ibadah perlu ditunjangi oleh nilai-nilai yang mulia. Sekiranya amalan berpolitik tidak disertai dengan nilai-nilai yang mulia, maka ia tidak memberikan apa-apa erti dan makna dari perspektif Islam. Nilai dan amal adalah suatu yang sinonim yang akan menjadikan sesuatu perlakuan atau perbuatan itu sebagai ibadah.

Fenomena semasa memperlihatkan politik seolah kegiatan yang tidak disandari oleh nilai-nilai yang mulia. Oleh kerana itu, terdapat istilah yang mengaitkan politik sebagai kegiatan yang kotor. Politik digubungkan dengan perbuatan tipu helah, perdaya memperdaya dan cantas-mencantas di antara satu dengan lain. Terdapat kata-kata yang mengingatkan iaitu orang-orang yang jujur tidak boleh berkecimpung di dalam bidang atau kegiatan politik kerana mereka akan mudah diperdayakan.

Realiti ini adalah salah. Kefahaman yang mengaitkan politik dengan suatu yang kotor bertentangan dengan erti dan maksud sebenar bidang ini yang hakikatnya suatu ketrampilan tinggi tentang seni mengurus dan mentadbir hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan. Golongan yang berkecimpung di bidang ini adalah mereka yang terpilih kerana mesti memiliki satu kemahiran yang unik dan tersendiri dalam menjaga dan mengendalikan hal ehwal kehidupan dan persekitaran yang rencam dan mencabar.

Continue reading “MENDIDIK NILAI POLITIK MULIA”

TAJDID HADHARI JAYAKAN PEMBANGUNAN TAMADUN MASA DEPAN

Buku terbaru oleh Prof Osman Bakar
Buku terbaru oleh Prof Osman Bakar

Oleh Muhamad Razak Idris

Keutamaan umat Islam masa kini ialah menjayakan al-tajdid al-hadhari  atau pembaharuan tamadun Islam. Dalam istilah bahasa Inggeris, ia dirujuk ‘civilizational renewal’. Persoalan kepentingan bagi umat Islam bersama-sama menjayakan cita-cita pembaharuan tamadun Islam adalah antara tema utama dikemukakan oleh Profesor Emiritus Datuk Dr. Osman Bakar ketika menyampaikan syarahan bersempena pelancaran buku terbaru beliau ‘Islamic Civilization and The Modern World’ di Institut Antarabangsa Pengajian Tinggi Islam (IAIS), Kuala Lumpur pada 20 Disember 2014 lalu. Beliau kini ialah Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam.

Salah satu penekanan Osman dalam syarahannya ialah seruan kepada umat Islam menjayakan tajdid hadhari dalam konteks ketamadunan semasa. Tuntutan menjayakan tema ini ialah kerana tanggungjawab keagamaan yang terpikul oleh tamadun Islam hari ini di dalam menyumbang kepada pembinaan peradaban manusia yang sejahtera pada masa depan. Sebagai agama yang diturunkan kepada seluruh umat manusia, prinsip dan nilai ajaran Islam bersifat sejagat. Dalam erti kata lain, Islam sebagai agama mengandungi dan mendorong kepada pembangunan kerangka berfikir dan sistem nilai yang bersifat ‘universal’ yang sesuai dan sejajar dengan keperluan kehidupan kemanusiaan seluruhnya.

Continue reading “TAJDID HADHARI JAYAKAN PEMBANGUNAN TAMADUN MASA DEPAN”