PUPUK PERPADUAN AGENDA BERTERUSAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada 19 Febuari 2013 nanti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Wacana Perpaduan Ummah. Menurut penganjur, wacana ini bertujuan bagi mengenalpasti asas dan aspek-aspek persefahaman yang dapat dipupuk dalam kalangan umat Melayu Islam selain merancang strategi pelaksanaan untuk mengembalikan dan meningkatkan perpaduan umat Melayu Islam. Pada wacana kali ini yang akan berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, DYMM Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Pemangku Sultan Perak Darul Ridzuan telah berkenan sebagai tetamu utama seterusnya menyampaikan Titah Diraja.

Peranan DBP dalam usaha memupuk usaha perpaduan di kalangan umat Melayu Islam bukan suatu yang baru. Pernah pada 8 Mei 2002, DBP bersama-sama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganjurkan Syarahan Perdana Palestin bertujuan mengukuhkan perpaduan dan komitmen umat Melayu Islam di Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus tertindas di tanahair mereka. Pada acara tersebut, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad, Perdana Menteri dan Dato’ Fadzil Nor, Ketua Pembangkang pada waktu itu telah sudi sebagai tetamu utama seterusnya menyampaikan amanat perpaduan ummah kepada seluruh masyarakat.

Agenda memupuk perpaduan ummah merupakan satu usaha mulia yang harus dilakukan secara berterusan tanpa mengira masa dan ketika. Persoalan tentang kepentingan umat Melayu Islam saling bersatu dan berpadu bukan suatu yang sukar untuk dimengertikan. Sudah banyak bicara dan perbahasan tentang persoalan ini dibincangkan. Perpaduan ialah perintah agama yang amat utama. Seruan ke arah perpaduan boleh ditelurusi dalam banyak ayat-ayat al-Quran. Ia juga ditunjukkan sendiri oleh kepemimpinan Nabi Muhammad SAW ketika baginda menyatukan dua kumpulan penduduk yang saling bertelagah iaitu Aus dan Khazraj di era awal pembentukan masyarakat Islam di Madinah. Seruan dan pengalaman sirah ini adalah asas terpenting yang menuntut kita semua terlibat menjayakan perpaduan di kalangan seluruh ummah pada masa kini.

Sesungguhnya, tuntutan berpadu di kalangan umat Melayu Islam pada hari ini amat penting sekali. Realiti kehidupan ummah semasa dan cabaran yang harus dimainkan oleh umat Melayu Islam di Malaysia menuntut kita berada dalam satu saf atau barisan yang kukuh. Kita tentu boleh meneliti keadaan ketamadunan ummah kini yang masih dalam keadaan lemah. Pergolakan politik, himpitan ekonomi dan kemunduran budaya masih terus berleluasa. Perkembangan ummah terutamanya di Afghanistan, Palestin, Syria, Somalia, Myanmar, Mindanao dan Selatan Thailand menuntut keprihatian dan kepedulian kita secara berterusan.

Bagaimanakah umat Melayu Islam di Malaysia boleh menyumbang dalam menjayakan agenda pembinaan semula peradaban ummah ini? Tentu, kita harus terlebih dahulu menjadi satu perkumpulan umat yang kuat dalam segala aspek ketamadunan di negara ini. Umat Melayu Islam hendaklah menjadi kumpulan masyarakat tauladan yang mampu berperanan sebagai sumber perubahan kepada proses kebangkitan dan kemajuan peradaban ummah seluruhnya.

Peranan dan tugas ini adalah satu tanggongjawab sejarah besar terhadap umat Melayu Islam di Malaysia. Beberapa keunikan dan kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada umat Melayu Islam di negara ini terutama dari segi sumber insan yang bersifat halus, berdisiplin dan tekun menjadi perhatian ramai sarjana. Penelitian ini mendorong mereka membayangkan dalam beberapa karya tentang kemungkinan peralihan pusat ketamadunan ummah yang akan tertumpu di sekitar rantau alam Melayu pada masa depan. Dalam kata lain, sekiranya takdir sejarah berkembang secara sempurna, umat Melayu Islam di Nusantara ini akan diwariskan tugas kepemimpinan ummah dan rantau ini bakal menjadi pusat baru kecemerlangan peradaban Islam yang disegani.

Namun, kesemua harapan ini tergantung kepada sejauhmana umat Melayu Islam menghayati peranan dan tanggungjawab sejarah ini seterusnya mempersiapkan diri dari segi pemikiran, semangat dan kebudayaan ke arah menjayakannya. Tentu, asas dan permulaan utama yang harus dipersiapkan bagi umat Melayu Islam berkeupayaan menjayakan peranan sejarah ini ialah memastikan pemikiran, semangat dan budaya perpaduan sentiasa utuh dalam kehidupan mereka. Tanpa kesatuan, persefahaman dan kerjasama, cita-cita dan peranan besar ini hanya menjadi sebuah angan-angan. Ini kerana, belum ada dalam rakaman sejarah sesebuah tamadun bangkit dan dan dibangunkan di atas asas perpecahan dan permusuhan dari kalangan warga masyarakatnya.

Inilah cita-cita utama yang tersurat dan tersirat dari usaha memupuk perpaduan ummah di negara kita. Perspektif murni tentang cita-cita perpaduan ini diharap dapat membetulkan perspektif dan sikap sinis sesetengah pihak terhadap idea perpaduan apabila ia diwar-warkan. Usaha memupuk perpaduan di kalangan ummah tidak boleh hanya dipandang dari perspektif politik semata-mata seterusnya menanggapinya sebagai sebagai satu bentuk helah dan perangkap politik. Bagi mereka yang beranggapan sedemikian, perspektif tersebut adalah pandangan yang sempit tentang perpaduan. Politik hanya sebahagian dari aspek perpaduan yang lebih menyeluruh. Hakikatnya, cita-cita perpaduan ialah agenda bagi mengukuhkan ikatan kerjasama sesama ummah dalam segenap aspek kehidupan dan ketamadunan. Kerjasama ini dipandu oleh kesatuan kerangka berfikir bagi menjayakan kebangunan semula peradaban Islam, yang merupakan satu bentuk maslahah atau kepentingan bersama seluruh ummah pada masa kini.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s