TEORI POLITIK ISLAM BERKESAN BAIKI SISTEM DEMOKRASI

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 24 Febuari 2012

Penghargaan harus diberikan kepada kepemimpinan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) atas inisiatif terpuji menganjurkan Seminar Kebangsaan Pelaksanaan Siyasah Syariyyah Dalam Konteks Masa Kini: Isu dan Cabaran pada 21 Februari lalu. Pendedahan mengenai ilmu siyasah syariyyah atau politik Islam kepada masyarakat terbanyak, terutama generasi muda adalah satu keperluan asasi pada masa kini.

Ilmu siyasah syariyyah ialah perbahasan mengenai sistem urus tadbir atau tatakelola kenegaraan yang dipandu oleh pedoman syariah. Perbahasannya meliputi segenap aspek kehidupan kenegaraan dan ia dicerna dalam bentuk dasar, agenda dan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Diskusi ilmu ini bertumpu kepada pembangunan tatakelola kenegaraan yang syumul, dipandu bagi memenuhi falsafah dan tujuan syariah yang juga dirujuk sebagai maqasid al-syariyyah.

Banyak kepentingan dari pendedahan mengenai ilmu ini. Pertama, ia mustahak bagi membetulkan salah faham terhadap maksud politik Islam itu sendiri. Disebabkan kejahilan terhadap ilmu siyasah syariyyah, sebahagian masyarakat memandang serong terhadap politik dan kegiatannya serta menanggapinya sebagai sesuatu yang buruk dan negatif. Imej politik sebagai kegiatan yang kotor masih lagi menjadi tanggapan umum oleh sebahagian mereka. Kesannya, sebahagian masyarakat bersikap pasif terhadap urusan politik dan menganggap urusan politik hanya untuk orang politik.

Salah faham selanjutnya mengenai politik Islam juga tergambar dari segi tujuannya. Sering perjuangan politik Islam ditanggapi sebagai satu gerakan bagi menegakkan undang-undang syariah seperti hukum hudud saja. Konsep syariah yang difahami secara cetek menyebabkan citra politik Islam ditanggap sebagai perjuangan yang sempit juga.

Salah faham bertambah buruk apabila imej pendukung perjuangan politik Islam sering dikaitkan dengan perkumpulan yang berimej keras seperti Taliban di Afghanistan. Propaganda ini yang terjadi sekian lama, terutama oleh media Barat menjadikan hakikat sebenar politik Islam menjadi keliru.

Citra negatif terhadap maksud sebenar politik Islam yang tidak ditangani secara baik dan berkesan dalam masyarakat ini, didapati memberikan akibat yang tidak baik juga terhadap perkembangan dan pembangunannya terutama dalam kalangan masyarakat di negara kita. Ini boleh dikesan, terutama dari segi minat dan kesungguhan masyarakat untuk mendalami ilmu politik Islam atau siyasah syariyyah masih belum tinggi.

Sebagai contoh, jika diteliti, ilmu siyasah syariyyah bukan subjek kuliah yang meluas di surau dan masjid negara kita hari ini, manakala pada peringkat pengajian formal di universiti, ia hanya menjadi subjek yang dipelajari oleh mahasiswa yang menceburi bidang pengajian Islam. Keadaan ini sebenarnya tidak wajar berlaku di Malaysia sama sekali memandangkan statusnya sebagai negara Islam. Seharusnya ilmu politik Islam menjadi satu disiplin yang dominan pada peringkat arus perdana sejajar dengan cita-cita negara yang ingin menjadi contoh kepada dunia. Untuk itu, pada pandangan penulis, satu pelan strategi khusus bagi merencana agenda perkembangan dan pembangunan ilmu siyasah syariyyah mesti dirangka dalam kadar segera.

Perencanaan ini penting berasaskan beberapa faktor. Pertama, pembangunan politik Islam di negara ini hendaklah digerakkan secara pesat agar pertumbuhannya seiring dengan perkembangan bidang lain seperti kewangan Islam dan pendidikan Islam. Dalam dua sektor ini, kita dapati ia sudah berkembang dengan amat meriah sekali seperti tergambar dalam pelbagai institusi yang mendukungnya yang kini menjadi contoh dan ikutan di negara lain.

Sekiranya ilmu politik Islam dapat dibangunkan secara seiring dengan dua bidang ini, kita yakin kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh akan lebih sempurna dan dihormati.

Kedua, perencanaan ini akan menjadikan ilmu politik Islam berperanan sebagai satu bentuk tenaga pendorong yang berkesan dalam membentuk masyarakat Malaysia yang matang dan proaktif menyumbang di dalam agenda pembangunan dan kemajuan negara. Aspek penting dalam ilmu politik Islam meliputi penjelasan mengenai falsafahnya yang murni, hak dan kewajipan mereka dalam sesebuah negara serta adab dan etika berpolitik yang seharusnya dihayati, akan menjadi petunjuk yang jelas dan utuh kepada masyarakat ketika mereka membabitkan diri dalam bidang kenegaraan.


Ilmu politik Islam akan menjadikan masyarakat berpandangan positif terhadap kegiatan dan urusan politik serta terhadap pelakunya yang pelbagai. Ia juga akan memupuk sikap kepekaan dan pertanggungjawaban yang tinggi dalam segenap warga rakyat terhadap segala perancangan kepemimpinan. Kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi terhadap politik oleh rakyat terbanyak ini pasti akan memberi kesan langsung terhadap kepesatan perkembangan sistem dan institusi politik dalam negara.

 

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

One Response to TEORI POLITIK ISLAM BERKESAN BAIKI SISTEM DEMOKRASI

  1. JIWA HAMBA says:

    Reblogged this on .

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s