KENANGAN PEMIKIRAN MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 30 Mac 2013

Almarhum Muhammad Uthman El-Muhammady (1943-2013) banyak meninggalkan kenangan pemikiran terhadap dunia keilmuan Islam di Malaysia. Antara perbahasan ilmu bermakna yang disumbangkan  Uthman ialah tentang cabaran pemikiran pascamodenisme terhadap identiti dan jatidiri keilmuan dan peradaban Islam. Boleh dikatakan, beliau merupakan antara tokoh ulama atau ilmuwan Muslim tanahair yang paling menonjol dalam membahaskan cabaran pemikiran ini secara agak terperinci serta konsisten menyeru seluruh masyarakat Muslim berwaspada terhadap ancamannya yang bersifat halus.

Sikap dan pendirian Uthman tentang persoalan pascamodenisme boleh diteliti dalam karyanya Pascamodenisme dan Islam: Satu Pandangan Awal, terbitan Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) pada tahun 2004. Sebelumnya, persoalan yang sama dibincangkan secara temubual dalam majalah Risalah terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Siri 3, tahun 2000. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti pemikiran Uthman menerusi ucapan dalam pelbagai acara ilmiah di negara ini, tentu dapat mengesan penegasan beliau secara berterusan tentang kepentingan masyarakat Muslim  berwaspada terhadap perkembangan arus pascamodenisme. Jangkaan beliau, aliran ini bakal menjadi antara gerakan berfikir yang berpengaruh dalam dunia kehidupan moden hari ini.

Uthman memahami pascamodenisme sebagai sebuah reaksi berfikir terhadap dominasi Barat moden sebagai sebuah peradaban terhadap kehidupan di dunia ini terutama selepas era ‘Renainsance’ atau Kebangkitan. Dominasi Barat moden ini dapat dilihat dalam perkembangan dan pengusaan faham ilmu (epistemologi), faham tentang nilai (aksiologi) dan pandangan tentang kehidupan (world-view) yang dibentuk oleh peradabannya terhadap corak dan pola berfikir masyarakat dunia semasa secara keseluruhan. Dalam kata lain, pascamodenisme ialah sebuah gerakan protes pemikiran yang berasa gelisah dan tidak berpuas hati dengan dominasi keterlaluan ini kerana ia telah membawa kepada fenomena keterpinggiran unsur-unsur penting yang bersifat kecil, halus dan tempatan dari arus perdana pemikiran manusia. Dominasi ini menghadkan kreativiti dan menumpulkan inovasi kepelbagaian, malah telah melupuhkan pertumbuhan cetusan berfikir yang wujud dalam segala kerencaman dan keunikannya.

Atas asas sebagai sebuah gerakan pemikiran yang bersifat reaktif dan protes, pascamodenisme dilihat tumbuh sebagai sebuah arus atau aliran berfikir yang menolak grand narratives atau kisah-kisah agung tentang pelbagai persoalan kehidupan. Kisah agung ini menurut warga pascamodenis tidak harus menjadi satu-satunya sumber dan pegangan tentang kesedaran dan kefahaman manusia tentang pelbagai persoalan kehidupan. Kebergantungan keterlaluan terhadap kisah agung beerti kita didominasi oleh satu arah pandangan. Pascamodenis yakin terdapat kisah-kisah lain lagi yang wujud dicelah atau disebalik kisah agung ini yang boleh memberikan tafsiran dan kesedaran baru kepada manusia tentang hakikat atau realiti kehidupan ini. Namun, dominasi menutup peluang pertumbuhannya.

Justeru, menurut Uthman pascamodenisme terkenal dengan pendekatan atau kaedah berfikir yang menekankan fragmentation iaitu keadaan yang terpecah-pecah dan bercerai-cerai, berjuzuk-juzuk, discontinuities iaitu keadaan yang terputus-putus. Pendekatan dan kaedah berfikir ini mula mendapat perhatian dan telah digunakan secara meluas dan terbuka dalam perbahasan dan perbicaraan yang bersifat ilmiah dan intelektual sehinggalah kepada perkara konkrit lain seperti dalam senibina. Wacananya kini juga merebak dalam pelbagai dimensi kehidupan meliputi aspek falsafah, seni grafik, tarian, muzik, sastera serta bidang budaya.

Mengapakah pascamodenisme harus diwaspadai oleh umat Islam? Menurut Uthman, pendirian pemikiran pascamodenis yang menolak grand narative – kisah agung dan pengamalan pendekatan atau kaedah berfikir yang bersifat terpisah dan berpecah-pecah memberi implikasi sikapnya yang tersendiri terhadap kedudukan dan peranan agama-agama besar termasuk Islam yang menganjurkan keyakinan terhadap kepercayaan hakiki dan abadinya sebagai satu bentuk kisah agung terhadap persoalan keimanan, adab dan etika dalam kehidupan. Pascamodenisme akan menjadikan rupa dan kedudukan agama dalam persoalan. Pendekatan berfikir secara terpecah melupuhkan dasar tetap ajaran akhlak dan adab anjuran agama dan membawanya ke tingkat kerendahan bersifat serba relatif. Apakah kaum beragama seperti umat Islam akan bergembira dengan keadaan kehidupan di mana perlakuan akhlak dan moral tidak menentu serta kehilangan hikmah serta kehalusannya? Tentu sekali tidak kerana ia bertentangan dengan tujuan pengutusan agama bagi menyusun kehidupan manusia berpandukan pedoman rohaniah dan akliah yang hakiki.

Uthman mengenalpasti lima bahaya arus pascamodenisme sekiranya berkembang dalam wacana ilmiah keagamaan. Pertama ia bakal mencabar kedudukan hakiki teras aqidah berkenaan kewujudan Tuhan, kerasulan, wahyu, alam ghaib, alam akhirat, keabadian roh dan keberadaan pahala dan dosa. Penolakan ini boleh membawa kepada kekufuran. Kedua, pascamodenisme akan membawa kehidupan rohaniah menemui bencana kerana sikapnya yang menolak nilai-nilai kerohanian yang hakiki serta ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan seterusnya. Ketiga, pascamodenisme memporak-porandakan keutuhan akhlak dan menjadikan perhubungan etika tidak menentu. Keempat, ia menghuru-harakan peradaban kesan dari penolakan sistem hukum yang absah. Kelima, pascamodenisme membunuh kedalaman makna seni dan budaya dan memudarkan keindahan hidup yang mencerminkan hakikat Ketuhanan dalam hidup insan dan alamnya. Al-Fatihah.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

One Response to KENANGAN PEMIKIRAN MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

  1. Izzuddin says:

    Dari mana sumber rujukan ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s