RAKYAT PERLU PEKA DAN AKTIF DI MUSIM BERKEMPEN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan Berita Harian, 19 April 2013.

Tempoh berkempen secara rasmi sudah bermula. Selepas penamaan calon disahkan, calon dan parti yang mereka wakili diberikan hak demokratik untuk berkempen bagi meyakinkan pengundi mengenai kewajaran pemilihan mereka. Amalan berkempen ini adalah sebahagian daripada rukun sistem demokrasi. Ia wajar diambil kesempatan sepenuhnya oleh semua pihak yang terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), terutama rakyat.

Dalam sistem demokrasi yang menjadi amalan negara kita hari ini, kuasa memilih pemimpin terletak sepenuhnya kepada rakyat. Ini bererti rakyat adalah sumber kuasa yang sebenar. Pada PRU kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan selama 15 hari sebagai tempoh untuk rakyat membuat penilaian sebelum melakukan proses pemilihan pada 5 Mei nanti. Ia dikenali sebagai tempoh berkempen.

Dalam tempoh ini, rakyat perlu lebih peka, sensitif dan aktif untuk mendekati dan memahami pelbagai tawaran yang dikemukakan parti politik. Rakyat tidak boleh bersikap pasif atau mengambil sikap tidak peduli lagi dalam tempoh ini kerana penganjuran pilihan raya bertujuan memberi peluang kepada mereka melakukan penilaian terhadap barisan kepemimpinan yang akan mentadbir kehidupan dan masa depan mereka dalam tempoh mandat selanjutnya.

Dari sudut kenegaraan, rakyat harus melihat pembabitan mereka ketika tempoh berkempen ini sebagai satu tanggungjawab bagi mempertahankan corak pemerintahan demokratik di negara kita. Tanpa penyertaan rakyat, kehidupan bernegara secara demokratik tidak akan memberi sebarang makna. Kita harus menghargai peluang ini kerana kedapatan masih ramai penduduk di sesetengah negara tidak memperoleh peluang membuat penilaian terhadap kepemimpinan negaranya secara terbuka, terutama di negara yang mengamalkan sistem pemerintahan monarki mutlak atau sistem satu parti.

Dari sudut keagamaan pula, sarjana Muslim semasa sependapat bahawa pembabitan rakyat dalam proses demokrasi secara berhemah adalah sebahagian ibadah menurut Islam. Dalam erti kata lain, pembabitan rakyat bagi menjayakan amalan demokrasi yang sihat dan positif dengan niat yang tulus bagi membolehkan barisan kepemimpinan yang beramanah menguruskan pemerintahan negara terpilih bukan suatu perbuatan dan amalan yang sia-sia. Ia adalah perbuatan yang memperoleh ganjaran pahala kerana pembabitan itu bagi memenuhi seruan pelaksanaan perintah bersyura oleh al-Quran terhadap Muslim dalam segala urusan kehidupan mereka.

Harus diperjelaskan, iaitu ketetapan ini tidak bererti rakyat boleh melakukan apa saja dalam tempoh berkempen ini tanpa menghiraukan batas moral dan akhlak. Apabila berpolitik dianggap sebagai sebahagian daripada ibadah, segala perlakuannya terikat dengan batas nilai dan adab yang harus dipatuhi. Andai batas ini tidak dihormati, amalan berpolitik ketika tempoh berkempen adalah perbuatan sia-sia dan membawa seseorang itu melakukan perbuatan dosa pula.

Dalam tempoh itu, peluang rakyat melakukan penilaian terbaik calon dan parti politik yang bertanding terbuka luas. Kita boleh mengenali cita-cita dan keperibadian seseorang calon dan parti dengan menghadiri majlis ceramah politik dianjurkan. Kita juga boleh menilai mereka menerusi risalah politik diedarkan menerusi akhbar diterbitkan parti masing-masing. Bagi yang mempunyai kemudahan internet, kita boleh melayari pelbagai pautan yang menghubungkan kita dengan ucapan, tulisan dan tindakan calon dan parti. Dalam erti kata lain, alasan untuk kita tidak peka, sensitif dan aktif terhadap perkembangan politik tanah air adalah sesuatu yang tidak boleh diterima lagi pada hari ini.

Dalam proses membuat penilaian pada musim berkempen ini, rakyat perlu bersikap matang dan berpandangan jauh. Kualiti dan ketrampilan calon sudah tentu harus diambil kira secara serius dalam proses penilaian tawaran kepemimpinan. Kita inginkan barisan kepemimpinan yang mewakili kita di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri terdiri daripada mereka yang berkualiti dan mampu melaksanakan kerja secara profesional.

Tugas sebagai pemimpin hari ini amat mencabar kerana ia membabitkan proses perancangan dan penggubalan dasar terbaik demi kesejahteraan rakyat. Untuk itu, pemimpin yang memiliki kualiti pendidikan yang baik serta terkenal dengan sikap jujur dan amanahnya dalam kalangan masyarakat harus diberi diberi penilaian utama.

Dalam barisan calon yang ditawarkan parti politik kali ini, ramai kalangan generasi berusia 40 tahun ke bawah ditampilkan. Langkah ini perlu diberi pujian. Kita berpandangan calon sedemikian wajar diberi perhatian dan sokongan oleh rakyat sekiranya didapati mereka memenuhi ciri pemimpin berkualiti dan amanah. Kehadiran mereka secara berkesan di pentas politik nasional wajar diutamakan sebagai langkah memberi persediaan dan pengalaman kepemimpinan yang lebih mencabar selaku kelompok pemimpin pelapis.

Tambahan pula, dari segi demografi, generasi muda mewakili lebih 40 peratus jumlah rakyat negara ini. Pemilihan mereka sebagai wakil rakyat tentu akan memenuhi aspirasi generasi muda. Lebih penting lagi, mereka memperoleh ruang dan kapasiti baru lebih meyakinkan untuk terbabit mempengaruhi rentak dan kandungan wacana kepemimpinan negara yang kini mula beralih menuju era politik baru

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s