MENGUNDI IBARAT MEMBERI KESAKSIAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan Berita Harian, 24 Mac 2013

Wacana kenegaraan Islam sentiasa dinamik dalam erti terbuka menerima pemikiran atau kaedah baru yang berkembang dalam kehidupan semasa yang berubah selagi ia mampu mengukuhkan semangat dan prinsip utama ajaran Islam bagi membina sebuah sistem pemerintahan yang terbaik dalam masyarakat.

Dalam hubungan ini, pemikiran Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam karya beliau Fiqh Kenegaraan mengenai kewajipan dan hak mengundi menarik untuk diteliti dan diambil pengajaran. Dalam kefahaman al-Qaradhawi, kedudukan melaksanakan tanggungjawab mengundi adalah wajib dan pelaksanaan kewajipan ini ibarat tuntutan memberikan kesaksian bagi setiap individu Muslim.

Apakah yang dimaksudkan mengundi ibarat memberi kesaksian? Bayangkan sekiranya kita terdedah dan menyaksikan suatu peristiwa kemalangan yang membawa kepada pertelingkahan antara individu atau kelompok dalam masyarakat. Ketika itu, adalah suatu kewajipan kepada kita untuk menjadi saksi atau memberikan kesaksian terhadap peristiwa berkenaan secara tulus dan adil.

Kesaksian yang diberikan itu amat penting kerana ia menjadi antara satu bentuk sumber atau sandaran yang akan membolehkan kebenaran mengenai peristiwa kemalangan itu terserlah. Kesaksian yang diberikan secara langsung menutup ruang permusuhan dan pertelingkahan antara dua pihak yang keliru atau bertelagah.

Begitulah peranan hak mengundi dalam konteks amalan demokrasi. Proses mengundi atau dikenali sebagai pilihan raya adalah satu bentuk kaedah yang dibangunkan oleh pengalaman manusia bagi membolehkan setiap warga sesebuah negara menentukan pilihan dan kehendak mereka tentang tokoh pemimpin, corak pemerintahan dan tawaran kekuasaan yang dirasakan terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Menerusi proses mengundi, ia bererti seseorang itu memberikan kesaksiannya terhadap kebenaran dan kebaikan seseorang individu atau perkumpulannya bagi melangsungkan tugas dan amanah kepemimpinan dalam sesebuah negara.

Inilah sandaran pemikiran yang membawa kepada kedudukan mengundi menjadi satu bentuk amalan atau perlakuan yang wajib disempurnakan oleh setiap Muslim. Pemikiran ini berasaskan kaedah syariah yang menetapkan iaitu setiap perkara wajib yang tidak boleh disempurnakan kecuali dengan melakukan perkara lain, maka hukum melakukan perkara lain itu menjadi wajib (ma la yatimm al-wajib illa bihi fahuwa wajib). Bagi setiap Muslim, memilih seorang pemimpin yang adil, benar dan diredai adalah satu kewajipan yang mesti disempurnakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kenegaraan.

Dalam amalan semasa kini, kewajipan memilih pemimpin ini hanya diakui menerusi proses pengundian. Ia satu proses yang sudah disepakati oleh semua pihak sebagai kaedah dalam menentukan pemilihan rakyat terhadap individu dan perkumpulan yang dikehendaki mereka. Untuk itu, mengundi sebagai satu kaedah menjadi wajib kerana tanpa proses ini, kewajipan memilih pemimpin yang adil, benar dan diredai tidak akan dapat direalisasikan.

Al-Qaradhawi mengingatkan masyarakat Muslim supaya tidak lagi menimbulkan polemik mengenai kedudukan syariah mengenai tanggungjawab mengundi. Ingatan ini dikemukakan antara lain bagi menjawab salah faham dan pandangan serong sebahagian masyarakat Muslim yang masih menganggap bahawa mengundi sebagai satu bentuk kaedah yang diwarisi daripada peradaban asing dan oleh itu ia tidak menepati prinsip syariah.

Bagi menjelaskan kekeliruan ini, al-Qaradhawi menyatakan, iaitu tidak ada sebarang dalil syariah yang mencegah kita daripada mengambil pemikiran, teori atau penyelesaian praktikal yang berasal dari luar kerangka Islam untuk digunakan dalam amalan kehidupan Muslim. Bagi mereka yang keliru dan bersikap terlalu sempit dalam bidang pemikiran, beliau menyeru supaya menelusuri iktibar pengalaman yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam memanfaatkan kekuatan dan keistimewaan ilmu dan kemahiran dari sumber luar untuk kegunaan masyarakat Muslim.

Hal ini boleh diteliti dalam kisah peperangan al-Ahzab yang mana Rasulullah menggunakan kaedah menggali parit (Hafr al-Khandaq), satu taktik peperangan oleh bangsa Parsi bagi menewaskan musuh yang ingin menguasai daerah kekuasaan kaum Muslimin. Iktibar sama boleh ditelurusi terhadap sikap terbuka Nabi Muhammad yang memanfaatkan kemahiran ilmu tawanan perang Badar dalam kalangan orang musyrik dengan arahan supaya mereka menyumbang dengan memberi pengajaran membaca dan menulis kepada kanak-kanak Muslimin.

Sikap dan pengalaman sunnah ini mengesahkan, iaitu pengamalan kaedah mengundi yang digunakan dalam sistem demokrasi adalah suatu yang tidak bertentangan dengan prinsip keagamaan Islam walaupun dari segi asal usul kaedah ini berpunca daripada pengalaman ketamadunan Barat. Kini, menerusi amalan demokrasi, peluang setiap rakyat memimpin pemimpin beramanah dan berkualiti terbuka luas menerusi proses pilihan raya. Ayuh bersedia untuk mengundi.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s