KERAJAAN YANG BAIK DISUKAI RAKYAT

Oleh Muhamad Razak Idris 

Sekiranya kita telah terdedah dengan diskusi tentang bagaimana sesebuah kerajaan atau tamadun mengalami proses jatuh dan bangun di sepanjang sejarah kemanusiaan, kita tentu akan mudah memahami realiti di sebalik kemelut politik yang terjadi di Timur Tengah hari ini. Apakah realiti tersebut? Seorang pemikir Islam Ibn Khaldun (1322-1406) telah mendedahkan pemerhatiannya di berkaitan realiti ini di dalam falsafah sejarahnya menerusi al-Muqaddimah, sebuah pengenalan tentang kisah jatuh bangun kerajaan-kerajaan di dunia ini sepanjang pengentahuannya.

Ternyata, menurut Ibn Khaldun, kerajaan yang bertahan ialah kerajaan yang ‘baik’ di dalam segala urusan kenegaraanya. Kerajaan yang baik tentu sekali akan disukai rakyatnya. Sebuah kerajaan yang disukai rakyatnya sudah pasti akan dipertahankan dari tersungkur dari putaran perjalanan sejarah bangsa manusia. Begitulah sedikit gambaran mudah untuk kita memahami maksud di sebalik teori jatuh bangun bangsa yang diperkenalkan Ibn Khaldun.

Sekiranya kita mendalami pemikiran beliau dengan lebih mendalam, kita akan menemui satu prinsip yang dikenali sebagai ‘asabiyyah’ sebagai tonggak yang akan menentukan tahap kekuatan dan kelemahan sesebuah kerajaan atau tamadun. Asabiyyah ialah sebuah istilah sosial yang memberi maksud tentang semangat kesalingan hidup antara anggota sesebuah perkumpulan masyarakat. Dalam kata lain, assabiyyah atau semangat kesalingan sebagai satu realiti yang wujud di alam kehidupan sosial berada pada tingkat-tingkat yang berbeza.

Apabila asabiyyah terjelma atau tercapai di puncak tertinggi, maka ia adalah gambaran bahawa sesebuah kerajaan atau sesuatu bangsa itu berada pada tahap keutuhan yang terbaik. Begitulah sebaliknya. Persoalan penting di sebalik falsafah ini ialah tentang faktor yang boleh membawa semangat kesalingan hidup masyarakat atau asabiyyah ini mencapai tahap tertinggi? Faktor tersebut menurut Ibn Khaldun ialah ‘akhlak’. Akhlak yang dimaksudkan di sini ialah satu bentuk tatakelola kehidupan yang dipandukan oleh nilai-nilai mulia yang tercerna di dalam segenap sudut dan ruang perjalanan kemanusiaan.

Di dalam pandangan ini, akhlak meliputi hal ehwal perhubungan manusia sesama manusia dan perhubungan manusia dengan Penciptanya. Di dalam aspek perhubungan manusia sesama manusia, akhlak juga melewati tahap perhubungan antara rakyat dan kerajaannya. Dalam kata lain, kedua-dua unsur ini iaitu rakyat dan kerajaan haruslah sentiasa berada di dalam satu bentuk tatakelola perhubungan yang berakhlak sepanjang masa.

Hal ini amat penting bagi menjamin tercernanya asabiyyah yang utuh atau semangat kesalingan yang kuat antara keduanya di dalam segenap aspek kehidupan kemasyarakatan dan kenegaraan. Di dalam keadaan ini, sesebuah kerajaan atau tamadun manusia itu akan terus mekar, segar dan bertahan untuk sekian zaman. Begitulah kerangka kefahaman yang cuba ingin dihuraikan apabila kita menyatakan iaitu sebuah kerajaan yang baik akan disukai rakyat.

Sebuah kerajaan yang baik yang dimaksudkan disini boleh difahami juga sebagai sebuah kerajaan yang berakhlak terhadap rakyatnya. Maka, sekiranya demikian akhlak yang ditunjukkan sebuah kerajaan, maka rakyat secara langsung akan menyukainya. Sebuah kerajaan baik dan berakhlak akan mendorong rakyat membalas kebaikan kerajaan dengan akhlak yang baik juga. Balasan baik rakyat ini termasuklah dengan mempertahankan kerajaan yang disukainya dan bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran kerajaan tersebut.

Di dalam keadaan ini, kerajaan dan rakyat sentiasa berada di dalam keadaan kasih mengasihi atau saying menyayangi. Antara keduanya bersatu di dalam semangat kesalingan yang utuh atau mencapai tahap asabiyyah tertinggi kerana keduanya saling berada pada tahap cinta-mencintai. Inilah tahap tertinggi sebuah kenegaraan yang disanjungi oleh agama Islam sebagaimana tergambar di dalam bayangan al-Quran sebagai ‘sebuah negara yang makmur dan berada di dalam limpahan keampunan Tuhan’.

Persoalan selanjutnya ialah, apakah ciri-ciri sebuah kerajaan yang baik atau berakhlak? Di dalam kefahaman kita, ada dua sifat utama yang paling penting. Pertama, kerajaan yang berkeadilan (al-adl) dan kedua kerajaan yang berkebajikan (al-ihsan). Kerajaan yang adil meletakkan kedudukan hukum pada tahap tertinggi dan tidak ada sesiapa yang mampu melepasinya. Keadilan kerajaan terjelma di dalam memberikan kesaksamaan ruang dan peluang di dalam segenap bidang meliputi sosial, perekonomian dan politik kepada seluruh rakyatnya.

Kerajaan yang adil memastikan setiap rakyat terhindar dari sebarang bentuk penganiyaan dan kezaliman. Manakala kerajaan yang berkebajikan bersifat pemurah dan pengasih kepada rakyatnya. Kebajikan kerajaan tergambar di dalam keutamaannya di dalam dasar-dasar pembangunan dan pentadbirannya. Kerajaan berkebajikan mengutamakan rakyat bawahan yang berada di dalam keadaan yang daif di samping menggalakkan kemajuan golongan pertengahan dan tinggi.

Kebajikan kerajaan tercerna di dalam sikap tegas dasarnya bagi memastikan peluang pekerjaan yang mencukupi, sumber makanan yang meluas dan murah serta kemudahan penginapan yang mampu dimiliki. Rakyat yang berada di dalam sebuah kerajaan berkebajikan sentiasa berada di dalam keadaan tenteram, damai dan aman kerana keyakinan terhadap kemurahan dan sikap berkepedulian kerajaan yang menaunginya. Begitulah antara ciri-ciri sebuah kerajaan yang baik dan berakhlak yang disukai oleh rakyat.

Kemelut yang terjadi di Timur Tengah terutama di Mesir dan Tunisia sejak akhir-akhir ini terjadi kerana kerajaan yang menaungi rakyatnya sudah tidak lagi berkelakuan baik atau berakhlak. Hal keadaan pemerintahan di kedua negara ini yang bersifat menekan, menindas dan menzalimi rakyatnya sendiri adalah satu rahsia umum yang telah lama dibincangkan. Akibatnya, rakyat yang sepatutnya mengasihi kerajaannya bertukar menjadi musuh.

Mereka memberontak diatas kecuaian kerajaan mereka memberikan peluang pekerjaan yang saksama, kemudahaan pendidikan yang selesa, kebajikan perumahan yang wajar serta penglibatan terbuka di dalam penyataan pendapat dan pembangunan negara. Rakyat merasakan diri mereka dipermainkan dan tidak dihormati oleh kerajaan sendiri malah pada satu tertentu rasa terhina berada di negara sendiri. Ternyata, sesebuah kerajaan yang tidak berakhlak seperti ini dibenci oleh rakyat.

Tinggalkan komen