PPW Sebagai Benteng Ketahanan Ummah

Berikut ialah teks ucapan aluan saya di Majlis Minum Petang PPW – Pusat Pembangunan Wanita, 19 Disember 2010, Ahad di Dewan Besar Kolej Dar al-Hikmah, Kajang.

Assalamualaikum, Saudara dan saudari sekelian,

Perhimpunan dan pertemuan ini amat penting sekali kepada kita selaku penggerak dakwah yang bernaung di bawan Madrasah Dakwah ABIM. Sekiranya saudara saudari bertanyakan saya : apakah persoalan utama yang sedang dihadapi dan harus ditangani oleh para pendakwah hari ini, maka, persoalan tersebut, pada pandangan saya ialah tuntutan untuk kita sama-sama membina, apa yang boleh kita istilahkan sebagai “benteng ketahanan yang kuat untuk masyarakat Islam atau Ummah mendepani cabaran yang pelbagai di persekitarannya hari ini.

 Kenapakah kita perlu membina dan mengukuhkan benteng ketahanan diri ini? Ini kerana sebagaimana yang kita tahu, kita sekarang berada di era masyarakat terbuka atau lebih di kenali di dalam istilah Inggeris sebagai ‘Open Society’. Era masyarakat terbuka ini digerakkan oleh satu fenomena yang sudah kita sedia ketahui – yang dikenali sebagai ‘globalisasi’. Kita boleh perhatikan bagaimana gelombang globalisasi telah membentuk suasana keterbukaan yang luar biasa yang tidak pernah kita alami sebelum ini.

Menerusi saluran komunikasi yang lebih mudah dan canggih, samada menerusi media elektronik atau maya, masyarakat kita, walaupun di mana juga mereka berada, di bandar tentu sekali, malah di hujung pendalaman, terdedah dengan pelbagai peristiwa yang belaku di seluruh dunia tanpa had.

Tentu sekali kita menyambut baik pencapaian dan kemajuan yang baik yang tersebar menerusi gelombang globalisasi ini. Akan tetapi, banyak juga unsur-unsur negatif, pengaruh nilai, pemikiran dan kebudayaan yang asing menular dengan sungguh cepat dan pantas sekali. Dan inilah hal yang menunut keprihatinan dan kepekaan kita selaku pendakwah di negara ini. Unsur dan pengaruh nilai dan kebudayaan asing yang berkembang secara deras ini, sekiranya tidak ditangani secara serius dan berperancangan, lama-lama kelamaan tentu akan menggugat keutuhan jati diri keagamaan masyarakat kita.

Saudara dan saudari sekelian,

Di dalam hubungan perubahan zaman yang terjadi inilah menuntut kita untuk meningkatkan usaha membina ketahanan diri umat Islam supaya umat kita terutama generasi baru dari kalangan kanak-kanak, remaja dan belia terus yakin dan teguh dengan jati dirinya sebagai seorang Muslim. Membina benteng ketahanan diri bermaksud kita harus berusaha dengan lebih gigih membina satu generasi dan masyarakat yang memiliki daya tahan kuat dari aspek aqidah dan pemikiran Islam dan dari aspek akhlak dan sakhysiyyah Islam.

Dengan daya tahan yang kuat ini, kita berhara generasi muda dan masyarakat akan mampu untuk membuat penilaian terbaik bersandarkan kayu ukur agama terhadap segala bentuk dakyah dan pengaruh yang bertentangan dengan prinsip-prinsip syariah Islam yang disogokkan kepada mereka oleh gelombang globalisasi di era masyarakat terbuka hari ini. Daya usaha dakwah ini perlu kita jayakan dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh pada masa kini.

Ini kerana, sebagaimana yang kita sedia ketahui, telah ramai dari kalangan masyarakat kita terutama dari kalangan muda mudi hari ini yang tidak memiliki ketahanan secukupnya untuk berdepan dengan sogokan nilai dan budaya baru ini sehingga membawa mereka terjerumus di dalam arus kerosakan yang amat memilukan kita. Kita semua telah sedia tahu statistik tentang peningkatan jumlah anak tidak sah taraf yang didaftarkan, penularan kes pencabulan dan pembudayaan kegiatan zina dalam masyarakat kita hari ini. Kesemua ini adalah realiti yang menakutkan dan ia harus memberikan kerisauan kepada kita semua.

Realiti ini harus ditanggap oleh kita semua sebagai sebahagian dari satu bentuk jelmaan tentang kerapuhan daya tahan keagamaan yang sedang dialami oleh sebahagian anggota masyarakat kita ini. Ia ibarat seperti loceng amaran untuk kita bertindak dengan kadar segera mengatasinya.

 Saudara dan saudari,

Dalam kaitan inilah, perhimpunan kita pada petang ini amat mustahak. Inilah juga latar belakang kepada usaha serius ABIM bagi penubuhan Pusat Pembangunan Wanita (PPW). PPW mempunyai tanggungjawab yang penting dan besar sekali dalam konteks pembangunan masyarakat Islam yang kuat di negara ini. Dalam kata lain, PPW harus berfungsi sebagai “Tonggak Ketahanan Ummah”. Ia harus berperanan selepas ini secara lebih khusus di bidang pembangunan keluarga dan pembinaan masyarakat wanita yang mampu menjadi benteng utama umat Islam.

Kita berharap selepas ini, PPW akan mula memikirkan produk-produknya yang unik dan menarik terutama dari aspek kependidikan keluarga dan kepimpinan rumah tangga . Saya berpendapat masih terdapat banyak ruang yang masih belum diterokai dalam aspek ini. Ini termasuklah tentang aspek kesedaran kesihatan, pendidikan anak-anak dan keceriaan diri.

Bagi tujuan tersebut, PPW selepas ini wajar mempunyai saluran komunikasinya sendiri samada menerusi web atau penerbitan bahan berkala dan terus mengajurkan seminar dan ceramah-ceramah yang melibatkan masyarakat wanita terbanyak. Dalam kaitan ini juga, program-program lawatan-lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang bersesuaian samada di dalam atau di luar negara wajar dianjurkan secara berkala bagi memberikan ruang untuk menimba pengalaman baru dan peluang beristirehat.

Di samping kegiatan-kegiatan umum ini, PPW juga mempunyai tugas khusus terutama memberi khidmat dari aspek perlindungan dan mengatasi kes-kes tertentu yang dilaporkan kepadanya. Saya yakin menerusi Baitul Rahmah, PPW akan dapat member sumbang langsung kepada para wanita yang memerlukan khidmat sokongan dari pelbagai bentuk.

Saudara dan saudari,

 Usaha penyempurnaan agenda dan peranan besar ini menuntut sokongan semua pihak terutama dari kalangan para penggerak dakwah itu sendiri. Kita perlu meningkatkan jumlah sukarelawan dan masih perlu mengemaskini dan menyempurnakan keperluan asas bangunan Baitul Rahmah. Dalam ertikata lain, kita perlu mempunyai sumber dana yang kuat dan ini memerlukan sokongan kita semua untuk menghebahkan kisah PPW ini kepada penderma yang pemurah di negara ini.

Saya amat berharap PPW ini akan menjadi satu agensi pembangunan keluarga dan wanita yang cemerlang untuk gerakan dakwah ABIM pada masa depan dan kita berharap Baitul Rahmah akan menjadi mercu dakwah baru untuk ABIM. Kita perlu berazam untuk memperluaskan mercu ini ke negeri dan daerah dalam kadar yang cepat.

Sebelum saya menutup, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat langsung di dalam usaha ini dari kalangan kepimpinan Helwa, penggerak dan sukarelawannya terutama sekali kepada  mantan-mantan ketua Helwa ABIM: Yang berbahagia Ustazah Aminah, Prof Dr Khalijah, Prof Dr Rahmah, Prof Dr Rosnani, Puan Nordiran dan tidak dilupakan Ketua Helwa semasa Puan Fadlina Sidek.

Kita juga harus mengentahui iaitu Baitul Rahmah ini tidak akan terdiri sekiranya tanpa jariah wakaf yang diberikan oleh allahyarham Hj Othman. Kita berdoa semoga pewakaf ini berada di dalam rahmat Allah disini para anbiya dan ulama sentiasa.

Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada semua kita untuk terus setia dengan gerakan dakwah ini. Marilah kita bergerak secara berjemaah demi mengharapkan reda Allah. Untuk itu, kita hendaklah sentiasa memantapkan tarbiyyah diri kita ke arah menjadi seorang pendakwah yang ikhlas dan beradab di dalam setiap gerak usaha dakwah kita.

Kita hendaklah mengamalkan sikap rendah diri, tawaduk. Kita jangan sesekali mudah lalai dan alpa kepada Allah sehingga membawa kita keliru dan tergelincir dari batas-batas syariah Islamiyyah dalam kehidupan kita. Jangan sesekali kerana sedikit kedudukan yang kita miliki, kita sudah berasa sempurna dalam ilmu dan adab sehingga boleh melanggar batas-batas adab hidup berjemaah. Kesetiaan kita semua akan memastikan madrasah dakwah kita terus kuat dan ini tentu akan membolehkan kita menyumbang dengan bermakna kepada pembangunan agama di negara kita secara berterusan pada masa akan datang.

Sekian.

2 thoughts on “PPW Sebagai Benteng Ketahanan Ummah

Tinggalkan Jawapan kepada yie Batal balasan