UTAMAKAN PROJEK INFRASTRUKTUR JALANRAYA DI KELANTAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Salah satu tajuk utama perbincangan para perantau masyarakat Kelantan sepanjang sambutan Aidilfitri lalu ialah tentang kesesakan jalanraya yang dilalui mereka bagi menyambut hari raya di kampong halaman. Tajuk ini sebenarnya isu ulangan dan berlarutan hampir setiap tahun sejak akhir-akhir ini. Isu kesesakan jalan raya bukan hal yang direka-reka tetapi satu pengalaman semakin menjadi ‘ngeri’ bagi sesetengah perantau. Kedapatan mereka perlu menghabiskan waktu dalam kesesakan jalanraya antara 15 hingga 20 jam bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baru.

Banyak usaha telah dilakukan pihak kerajaan bagi memberi kemudahan perjalanan kepada rakyat di sebelah pantai timur semenajung Malaysia. Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) misalnya amat membantu sebagai pilihan perjalanan ke Kota Baru. Pilihan lain yang menjadi kebiasaan perantau ialah laluan menerusi Bentong, Raub dan Kuala Lipis. Kemudahan lebuhraya Kuala Lipis ke Gua Musang yang telah siap beberapa tahun lalu banyak mengurangkan kesesakan dan memendekkan perjalanan. Kesesakan di sepanjang laluan di negeri Pahang menuju ke Kelantan ini juga terjadi pada waktu tertentu dan boleh dipertimbangkan.

Namun, kesesakan yang amat mencabar biasanya dihadapi apabila kenderaan para perantau mula memasuki perjalanan dari Gua Musang ke Kota Baru dan laluan dari Pasir Putih ke Kota Baru bagi yang menggunakan kemudahan LPT. Pertambahan kenderaan yang mendadak terutama pada hari-hari puncak akan mengundang ngeri kepada para pemandu.

Para perantau yang ingin memulakan perjalanan pergi dan balik ke Kota Bharu pada musim perayaan perlu melalukan ‘mind setting’ atau persediaan minda awal bagi menghadapi kemungkinan kesesakan dalam perjalanan. Malah beberapa hari sebelum memulakan perjalanan, para perantau biasanya akan membuat perbualan tinjauan sesame rakan mereka waktu-waktu yang selamat bagi memulakan perjalanan. Banyak syor dan nasihat yang akan diperoleh antaranya cadangan bertolak diawal pagi dan di pertengahan malam dengan harapan untuk lari dari cabaran kesesakan. Begitulah tabiat dan budaya perjalanan yang dilakukan para perantau. Walau apa pun, kebiasaannya, mereka harus juga menempuh waktu-waktu sukar kesesakan sebelum tiba ke destinasi dituju.

Jelas, kemudahan infrastruktur jalanraya sediada di Kelantan pada masa ini tidak lagi mampu menampung pertambahan kenderaan. Di sesetengah tempat seperti persimpangan Kuala Krai ke Tanah Merah, laluan jalanraya kecil dan sering menjadi punca kesesakan selama berjam-jam lamanya. Banyak kerugian masa perlu dihabiskan di sekitar persimpangan laluan itu sebelum kenderaan boleh bersurai ke destinasi lain.

Pengalaman kesesakan yang dialami para perantau ini perlu diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab. Kita yakin, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengenalpasti lokasi-lokasi utama yang menjadi punca kesesakan kerana fenomena ini bukan suatu yang baru. Langkah-langkah penyelesaian hendaklah disegerakan bagi memastikan keadaan kesesakan tidak berulang.

Rakyat terbanyak amat mengharapkan supaya projek penambahbaikan jalanraya sediaada diberi keutamaan oleh pihak kerajaan pusat dan negeri. Projek-projek asas seperti pelebaran jalan sediada, pembangunan laluan jejantas dan penyediaan sistem lampu isyarat pada persimpangan tertentu hendaklah dikenalpasti segera dan diberikan keutamaan. Projek-projek ini banyak boleh membantu mengatasi kesesakan pada masa akan datang.

Di samping itu, projek lebuh raya baru bagi menghubungkan Kota Bharu ke  Kuala Krai dan Gua Musang yang sedang dirancang dan dilaksanakan wajar dipercepatkan. Hal ini perlu dibangkitkan supaya ia tidak lagi terbantut oleh apa juga faktor yang tidak berkaitan. Projek lebuhraya itu apabila siap nanti  dan digandingkan dengan projek penambahbaikan jalanraya sediada akan banyak membantu mengurangkan kesesakan dan menggerakkan ekonomi masyarakat.

Perlu dinyatakan iaitu persoalan keperluan melipatgandakan pembangunan kemudahan infrastruktur jalanraya di Kelantan ini tidak sahaja bagi tujuan mengatasi kesesakan semasa musim perayaan. Hakikatnya, ia juga adalah strategi berganda bagi mendorong dan memangkin kemajuan ekonomi negeri. Kemudahan infrastruktur jalanraya boleh menjadi strategi mampan bagi menggerakkan industri berkaitan terutama menggalakkan sektor pelancongan, pertubuhan kegiatan pertanian, pembuatan dan peruncitan. Kemajuan dalam sektor-sektor ini boleh menjadi tonggak kepada pembukaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, mengatasi pengganguran dan merendahkan kadar penghijrahan.

Kepulangan perantau yang ramai di musim perayaan adalah petunjuk fenomena penghijrahan yang menjadi budaya hidup masyarakat Kelantan. Tanpa menafikan kebaikan budaya ini pada sudut tertentu, penghijrahan berleluasan rakyat memberi kesan negatif juga terhadap kesediaan sumber tenaga bagi pembangunan ekonomi negeri. Dari perspektif ekonomi, kekurangan jumlah penduduk secara langsung merencatkan aliran pertumbuhan ekonomi tempatan apabila permintaan pasaran berkurangan. Ia juga menjejaskan peluang pelaburan besar untuk kemajuan negeri.

Kita ingin meengajurkan supaya kerajaan pusat terutamanya menyediakan satu dana khas bagi pembangunan infrastruktur jalanraya di Kelantan terutama bagi projek penambahbaikan jalanraya sediaada di samping meneruskan projek-projek seumpanyanya yang telah diluluskan. Dana khas infratruktur jalanraya ini akan memberi sumbangan besar kemajuan ekomoni dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Menerusi pengenalan dana khas ini, tanggapan yang mengatakan rakyat Kelantan dianaktirikan atau gambaran iaitu Kelantan sebagai negeri yang menjadi mangsa pertembungan politik antara kerajaan pusat dan negeri akan dapat diatasi dan dihapuskan. Tanggapan dan gambaran ini penting untuk diatasi bagi memenangi hati rakyat Kelantan. Pada alaf baru ini, budaya politik akan tertumpu kepada kumpulan yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan tidak lagi tertumpu kepada persaingan dari segi ideologi. Penyediaan perkhidmatan jalanraya terbaik kepada rakyat Kelantan barangkali boleh menjadi penyejuk hati yang berkesan terutama terhadap para perantau yang sering berdepan kesulitan apabila pulang berhari raya di desa halaman.

Advertisements
  • Pelbagai

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s