AZAM TAHUN BARU MEMBACA SEJAM SEHARI

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada tahun 2017 ini, kita ingin mengajak masyarakat seluruhnya untuk sama-sama berazam meningkatkan tahap ilmu pengentahuan ke arah yang lebih baik dan meluas.  Tentu banyak cara dan kaedah yang boleh digunakan bagi mencapai azam baru ini. Namun, di sini ingin dianjurkan  untuk kita berazam untuk membaca buku atau karya yang bermanafaat selama satu jam setiap hari.

Azam ini kelihatan mudah. Namun hakikatnya tidak. Azam ini memerlukan kita mengubah tabiat dan budaya hidup kita. Pertama ialah perubahan budaya kita terhadap ilmu pengentahuan itu terlebih dahulu. Kedua, perubahan sikap terhadap masa. Manakala ketiga ialah perubahan tabiat dalam menentukan keutamaan amalan terbaik dalam kehidupan.

Budaya terhadap ilmu bermaksud kita memahami dan menghayati terlebih dahulu hakikat kedudukan ilmu yang tinggi berbanding perkara-perkara yang lain. Ketinggian kedudukan ilmu pengentahuan boleh diperhatikan dengan mata kasar kita tentang kemuliaan yang dimiliki oleh mereka yang berilmu pengentahuan. Para ilmuwan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka ibarat seperti pelita yang menerangi jalan bagi masyarakat menuju kebaikan. Kedudukan mereka di sisi masyarakat amat tinggi walaupun mungkin dari sudut kebendaan mereka adalah dari kalangan orang kebanyakan.

Selain itu, apa yang lebih penting lagi ialah peranan ilmu pengentahuan dalam mencorakkan pemikiran dan halatuju kehidupan kita. Tidakkah kita perhatikan keadaan mereka yang kurang berpengentahuan dengan mereka yang berpengentahuan. Menerusi pengentahuan yang menyeluruh tentang sesuatu perkara, kita akan dapat membuat penilaian yang terbaik dalam apa juga keadaan apabila perlu membuat pilihan. Orang berilmu tidak akan menjadi ‘pak turut’ lagi tetapi bertindak dalam segenap aspek kehidupan ini secara sedar, dipandu kefahaman dan hikmah.

Dari sudut agama Islam, kedudukan orang berilmu ini berada pada tahap tinggi sekali dari segi darjahnya. Allah SWT menjanjikan untuk mengangkat kedudukan orang berilmu ke darjah-darjah terbaik di kehidupan dunia ini, malah di akhirat.

Menerusi penghayatan kedudukan ilmu dalam kehidupan ini, ia seharusnya mampu memberi satu halatuju berfikir untuk kita bercita-cita memiliki dan mengentahui sebanyak dan setinggi yang boleh tentang pelbagai persoalan tentang keagamaan, kemanusiaan dan ketamadunan.

Perubahan budaya pertama ini menjadi asas untuk seseorang menjayakan perubahan kedua iaitu sikap terhadap masa. Semua kita memiliki jumlah masa yang sama. Namun, apa yang akan membezakan antara kita adalah sikap kita terhadap masa. Seharusnya setiap detik masa dinilai sebagai suatu yang amat berharga. Pepatah ‘masa itu emas’ ialah gambaran tentang betapa bernilainya masa kepada kita.

Bagi seseorang yang memiliki kesedaran budaya ilmu yang tinggi, mereka tidak akan mensia-siakan masa yang dimiliki walau sedetik untuk melakukan perkara yang sia-sia. Dalam hubungan ini, mereka akan memanafaatkan setiap detik masa untuk meningkatkan ilmu pengentahuan dengan apa juga cara sekali pun. Mereka pasti akan menggunakan masa untuk mendalami pengentahuan baru, misalnya dengan membaca selama satu jam setiap hari.

Ramai dari kalangan kita yang membazirkan masa mereka setiap hari tanpa sebarang kegiatan ilmiah. Azam untuk membaca selama sekurangnya sejam setiap hari menuntut kita untuk memperuntukkan satu tempoh masa bagi tujuan untuk menjalankan aktiviti membaca. Sikap positif terhadap nilai masa membolehkan seseorang itu memberikan satu masa khusus dalam sehari kehidupannya untuk tujuan peningkatan diri menerusi kaedah pembacaan.

Untuk mencapai azam baru ini, perubahan tabiat dalam menyusun keutamaan amalan dalam kehidupan amat diperlukan. Kita sememangnya sentiasa berkejaran masa kesibukan dengan pelbagai tugasan dan urusan dalam kehidupan ini. Itu adalah lumrah terutama bagi yang bekerjaya. Namun, kesibukan tidak boleh dijadikan alasan selamanya untuk kita tidak membaca dalam masa sehari.

Oleh itu, saranan terpenting di sini ialah untuk kita menjadikan amalan membaca sebagai salah satu dari kegiatan utama dalam susunan amalan-amalan dalam kehidupan. Kita perlu memberikan waktu untuk amalan membaca berlangsung dalam sehari walaupun sekejap. Malah, kita perlu menangguhkan kegiatan atau amalan lain yang tidak terlalu mustahak untuk memberikan ruang kepada kegiatan membaca. Antara cara lain juga ialah mengurangkan tempoh masa kegiatan yang tidak penting  bagi memberi ruang masa kepada amalan membaca.

Sering juga orang bertanya apakah bentuk buku yang patut dibaca dan bilakah masa sesuai untuk seseorang itu membaca. Pada peringkat permulaan pemupukan budaya membaca, buku-buku yang dibaca hendaklah sejajar dengan minat setiap individu, misalnya agama, politik, budaya dan sukan. Namun, selepas beberapa tahap waktu, bentuk-bentuk buku itu hendaklah sistematik. Pembacaan yang berpandukan klasifikasi ilmu yang dipecahkan kepada ilmu teras, ilmu umum, ilmu khusus dan ilmu alat hendaklah dipatuhi. Kita juga hendaklah menentukan bidang keutamaan yang ingin dikuasai atau didalami. Namun, apa yang penting ilmu-ilmu yang didalami menerusi amalan membaca hendaklah ilmu boleh menambahkan pengentahuan, meluaskan pandangan dan membangunkan hikmah dalam diri dan kehidupan.

Masa membaca yang terbaik pula tergantung pada faktor biologi seseorang individu. Terdapat sesetengan ahli ilmuwan yang membaca di awal pagi. Sebahagian lain sebelum tidur dan sebahagian yang lain ketika waktu petang. Apa yang penting bagi mereka yang ingin memulakan azam baru membaca selama satu jam sehari di tahun 2017 ini, jadikan membaca sebagai budaya dan amalam hidup ketika di waktu lapang.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s