PERPADUAN UMMAH BUKAN MUSTAHIL

Oleh Muhamad Razak Idris

Satu Multaqa Perpaduan Ummah akan berlangsung pada 18 Mei 2016 yang dianjurkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM dengan kerjasama beberapa pertubuhan Islam. Persidangan ini penting kerana ia sebuah inisiatif oleh perkumpulan masyarakat madani atau sivil yang berkongsi aspirasi dan kesedaran terhadap kepentingan persoalan perpaduan Ummah diperkukuhkan di negara kita

Ramai yang ragu tentang ikhtiar dan langkah menggerakkan perpaduan Ummah ini, malah kedapatan sebabahagian merasakannya ia satu inisiatif yang terlalu ideal dan mustahil dicapai. Sikap ini disandarkan pada anggapan iaitu tabiat semula jadi individu dan masyarakat adalah cenderung kepada perbezaan dan ini secara lumrahnya akan membawa kepada pertentangan dan perpecahan

Terdapat kebetulan tersendiri pada tanggapan itu, namun ia bukan mewakili kebenaran yang menyeluruh. Aspirasi kita dalam menggerakkan inisiatif perpaduan Ummah berasaskan pemikiran yang menerima konsep perbezaan dalam kehidupan ini sebagai suatu tabiat semula jadi dari penciptaannya. Agama Islam memperakui perbezaan yang wujud dalam kehidupan sebagaimana tergambar dalam pelbagai realiti kejadian di dunia ini. Namun, perbezaan dalam tasawur pemikiran Islam bersifat harmoni. Perbezaan yang dianjurkan agama tidak semestinya membawa kepada natijah pertentangan dan permusuhan. Ia sewajarnya mengarah kepada proses saling mempelajari antara pelbagai keunikan serta bersama memanafaatkan setiap kekuatan yang dimiliki antara satu dengan lain.

Perbezaan yang harmoni samada dalam bentuk pandangan, tabiat dan budaya seseorang sekiranya berada dalam kesaksamaan dan ditangani dengan baik boleh menyumbang kepada ruang-ruang kemudahan dan kebaikan yang menyenangkan serta merahmati kemudahan seluruh kehidupan. Perbezaan yang harmoni dan positif ini tergambar misalnya dalam pedoman al- Quran ( Al-Hujurat 49:13) dan mafhum sabda Nabi Muhammad SAW di mana pelbagai perbezaan dalam realiti kehidupan kemanusiaan ini membolehkan masyarakat insan saling mengenali malah boleh menjadi sumber kepada kerahmatan

Konsep perpaduan Ummah yang ingin dikembangkan menerusi Multaqa yang dianjurkan itu berasaskan prinsip kesatuan dalam kepelbagaian. Ia bererti, perpaduan Ummah itu hendaklah meliputi segenap sektor dan kedudukan individu dan perkumpulan dalam masyarakat. Menerusi konsep ini, tiada sesiapa pun akan berasa ketinggalan atau terpinggir dari semangat perpaduan yang ingin dibentuk. Setiap segmen dari komuniti masyarakat yang luas dan pelbagai mempunyai ruang dan peluang yang saksama di dalam menyumbang ke arah pembangunan negara menerusi semangat perpaduan Ummah yang terbina. Model perpaduan Ummah di era awal kerasulan Nabi Muhammad sebagaimana tergambar dalam peristiwa Hijrah serta kesatuan yang terbentuk menerusi pengenalan Piagam Madinah adalah sebuah ideal yang menjadi kerinduan dan himbauan untuk direalisasikan dalam kehidupan Ummah masa kini

Perpaduan dari perspektif ini seumpama payung besar yang kukuh di mana setiap individu dan perkumpulan berasa tenteram, yakin dan saksama berada di bawah lembayungnya yang luas serta dalam masa yang sama saling menyumbang tanpa rasa takut dan gundah demi kesejahteraan bersama berpandukan kerangka nilai dan prinsip hidup yang disepakati dan diperakui.

Dalam hubungan ini, perpaduan Ummah ialah sebuah wasilah atau medium yang merangkumkan seluruh pandangan dan tindakan dalam sebuah aturan yang tersusun dan berhaluan. Perpaduan ini didorong oleh sebuah cita-cita bersama yang luhur tentang tanggungjawab kita sebagai warga Ummah bagi menyumbang kepada kemakmuran kehidupan yang luas. Perpaduan yang terbentuk akan berfungsi sebagai penggerak yang menyatukan kekuatan serta membina sebuah kesepaduan yang utuh bagi memajukan negara dan seterusnya membina semula tamadun Ummah mencapai kegemilangannya

Ibarat yang mudah bagi menjelaskan konsep perpaduan menyeluruh ini ialah gambaran pada sebuah taman bunga yang indah dan nyaman. Taman itu terbentuk dari kepelbagaian bungaan yang berwarna warni lagi harum bauannya. Kepelbagaian bunga itu telah mengindahkan taman kerana keseluruhan unsur bungaan berfungsi di dalam ruang yang tersendiri secara sepadu untuk menyumbang kepada kesejahteraan persekitarannya. Taman itu telah berperanan dalam merahmati kehidupan dengan keupayaannya menjelma sebagai kesatuan dalam kepelbagaian. Itulah ibarat tentang maksud perpaduan yang ingin dijelmakan dalam taman kemanusiaan di negara kita pada hari ini

Persoalan penting kini ialah bagaimana untuk merealisasikan aspirasi perpaduan Ummah yang luhur dan murni itu? Sebagai satu agenda dakwah jangka panjang serta memahami pula persoalan perpaduan ialah antara isu peradaban Islam yang paling mencabar di era ini, langkah-langkah awal hendaklah didahului menerusi dua proses iaitu kependidikan dan sosialisasi.  Matlamat akhir dari dua langkah ini ialah bagi membina persefahaman dan membangunkan jiwa perpaduan Ummah di kalangan pelbagai peringkat individu dan kumpulan. Kegiatan kependidikan meliputi usaha memberi kefahaman tentang kepentingan untuk kita memiliki fikrah perpaduan dan menolak minda perpecahan. Kesedaran tentang asas berfikir ini boleh dibina menerusi pembinaan konsep dan agenda perpaduan yang jelas memenuhi kepentingan semua pihak. Ia hendaklah merentas ideologi dan kefahaman. Langkah ini memerlukan inisiatif berterusan terutama dari kalangan para ulama, ilmuwan dan aktivis yang prihatin tentang cita-cita perpaduan Ummah

Untuk tujuan itu, proses sosialisasi fikrah perpaduan perlu dirancakkan. Kesemua segmen komuniti hendaklah dipertemukan secara rancak dan berterusan di dalam suasana yang positif dan terbuka bagi berkongsi pandangan dan hasrat. Kepelbagaian pandangan, sikap dan pendirian tentang persoalan perpaduan Ummah serta hal-hal yang berkaitan dengan isu ini hendaklah dikongsikan bagi tujuan mencapai satu persefahaman bersama semua peringkat goloongan. Sosialisasi fikrah perpaduan masyarakat perlu dinaungi dan dipermudahkan oleh perkumpulan yang berwibawa dan dihormati. Dalam konteks ini, peranan MDN sebagai payung perpaduan diharapkan akan dapat berfungsi secara berterusan dan Multaqa Perpaduan Ummah yang berlangsung menjadi satu wadah atau jentera yang  menggerakkannya

Pada Multaqa itu, sejumlah warga masyarakat madani dari kalangan individu politik, intelektual, budayawan, birokrat dan teknokrat akan menyumbang buah fikiran dan cadangan mereka bagi menjayakan perpaduan Ummah di negara kita secara khusus. Kematangan, pengalaman dan keilmuan mereka menjadi cagaran terpenting bagi tujuan membahaskan usul-usul berbentuk praktikal yang boleh diaplikasikan dalam realiti masyarakat kita hari ini. Persoalan dan realiti perpecahan yang terjelma dalam masyarakat semasa samada berbentuk perbalahan politik atau perbezaan fahaman keagamaan perlu ditangani menerusi langkah-langkah jangka panjang dan pendek secara hikmah dan bertahap

Harapan besar ini amat didambakan oleh seluruh masyarakat supaya satu kehidupan bernegara yang harmoni, makmur dan sejahtera dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat. Seluruh Ummah mengimpikan sebuah perjalanan masyarakat dan negara yang tertib, teratur dan seimbang dalam segenap segi urusan dan tatakelola pentadbiran dan pemerintahan. Perpaduan yang direalisasikan nanti diharap akan dapat membina satu kekuatan jitu dalam negara yang dilihat sebagai satu asas penting mempersiapkan umat Islam di Malaysia sebagai peneraju dan pemimpin kehadapan di kalangan warga dunia Islam hari ini bagi menjayakan agenda pembinaan semula tamadun Ummah pada masa akan datang.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s