MENDIDIK NILAI POLITIK MULIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Politik sebagai ibadah perlu ditunjangi oleh nilai-nilai yang mulia. Sekiranya amalan berpolitik tidak disertai dengan nilai-nilai yang mulia, maka ia tidak memberikan apa-apa erti dan makna dari perspektif Islam. Nilai dan amal adalah suatu yang sinonim yang akan menjadikan sesuatu perlakuan atau perbuatan itu sebagai ibadah.

Fenomena semasa memperlihatkan politik seolah kegiatan yang tidak disandari oleh nilai-nilai yang mulia. Oleh kerana itu, terdapat istilah yang mengaitkan politik sebagai kegiatan yang kotor. Politik digubungkan dengan perbuatan tipu helah, perdaya memperdaya dan cantas-mencantas di antara satu dengan lain. Terdapat kata-kata yang mengingatkan iaitu orang-orang yang jujur tidak boleh berkecimpung di dalam bidang atau kegiatan politik kerana mereka akan mudah diperdayakan.

Realiti ini adalah salah. Kefahaman yang mengaitkan politik dengan suatu yang kotor bertentangan dengan erti dan maksud sebenar bidang ini yang hakikatnya suatu ketrampilan tinggi tentang seni mengurus dan mentadbir hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan. Golongan yang berkecimpung di bidang ini adalah mereka yang terpilih kerana mesti memiliki satu kemahiran yang unik dan tersendiri dalam menjaga dan mengendalikan hal ehwal kehidupan dan persekitaran yang rencam dan mencabar.

Peranan penting ahli politik tentunya berkait dengan tuntutan memelihara dan menjaga kepentingan awam, memastikan sumber makanan dan keselamatan terjamin seterusnya memelihara masyarakat yang pelbagai berada dalam kehidupan yang harmoni dan bersatu padu. Kesemua cita-cita luhur politik ini menuntut kepada sebuah penghayatan kepada nilai-nilai mulia oleh warga politik seperti bersikap adil dan saksama, terbuka dan telus, amanah serta jujur dalam melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan.

Jelas, peranan nilai-nilai mulia seumpana pemangkin yang akan mewujudkan kewibawaan terhadap kepemimpinan politik serta meningkatkan keyakinan rakyat terbanyak terhadap peranan mereka dalam urusan pentadbiran masyarakat dan negara. Menerusi nilai-nilai mulia, seseorang ahli politik akan dipandang oleh rakyat terbanyak memiliki watak yang berintegriti atau bertanggungjawab dan amanah. Menerusi keyakinan yang tinggi, kepemimpinan yang berintegriti akan dihargai rakyat dan pasti didokong secara berterusan.

Dalam satu bengkel bagi membangunkan politik mulia yang dianjurkan oleh Kumpulan Kerja Perpaduan Ummah, Majlis Dakwah Negara (MDN) baru-baru ini, kesedaran tentang kepentingan nilai dalam mengukuhkan keutuhan struktur dan sistem kepemimpinan negara telah disepakati. Untuk itu, masyarakat dan warga pengamal politik negara hendaklah didedahkan dan dididik secara meluas tentang nilai-nilai mulia dalam politik yang perlu sama-sama dokongi. Nilai-nilai politik mulia seperti berpegang kepada prinsip-prinsip ajaran agama, membudayakan akhlak berbeza pendapat, menggunakan etika luhur dalam berkomunikasi, mengamalkan sikap menegur dan menasihat secara hikmah bagi perbuatan yang melanggari batas akhlak dan undang-undang, bersikap seimbang dan mementingkan keutamaan dalam membuat keputusan serta meletakkan kepentingan awam dalam pelaksanaan sesuatu dasar dan tindakan adalah antara aspek-aspek penting berkaitan nilai-nilai politik mulia.

Nilai-nilai politik mulia ini didapati juga sebagai asas yang akan menyatukan masyarakat pelbagai. Perpaduan masyarakat ialah sebuah cita-cita yang mesti diusahakan dan ia tidak tercapai dengan tiba-tiba atau dalam sekelip mata. Untuk itu, menerusi kesatuan nilai-nilai mulia yang dihayati oleh pengamal politik serta difahami pula oleh masyarakat, ia akan menjadi asas yang menyatukan fikiran dan perlakuan seluruh rakyat tentang fungsi politik dalam sesebuah negara serta peranan sebenar ahli politik dalam  kehidupan bermasyarakat. Kefahaman yang menyeluruh tentang nilai-nilai politik mulia akan menyumbang kepada kelahiran dan kemunculan barisan ahli politik dan pemimpin di segenap peringkat yang menjiwai nilai-nilai mulia dalam dalam kegiatan urustadbir negara.

Kesan pendidikan politik ini besar. Masyarakat yang mengerti dan memahami kepentingan nilai-nilai mulia dalam politik tidak akan memberikan sokongan dan pilihan kepada calon dari kalangan ahli politik yang tidak memenuhi ciri dan watak mulia dalam amalan perpolitikan mereka. Untuk itu, negara tidak akan terdedah kepada kepemimpinan yang tidak bersifat amanah dan jujur dalam urustadbir kenegaraan.

Sehubungan itu, membangunkan nilai-nilai politik mulia dan mendidik pengamal politik dan masyarakat terbanyak tentang kepentingannya adalah satu tuntutan dan kewajipan yang utama pada masa kini. Masyarakat di segenap peringkat perlu dididik secara berterusan tentang kewajipan dan tanggungjawab mereka kepada negara serta diberikan kefahaman tentang hak-hak asasi mereka di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

Terdapat pengesyoran supaya subjek Tatarakyat atau Pendidikan Sivik yang merupakan antara kurikulum penting di peringkat persekolahan terus diperkasakan dan diperluaskan perbahasannya untuk segenap warga pelajar di peringkat rendah, menengah dan tinggi. Subjek ini adalah antara saluran penting yang akan mendedahkan dan mendidik masyarakat dari peringkat awal tentang nilai-nilai mulia kewarganegaraan dan kepemimpinan terutama berkenaan nilai-nilai kebertanggungjawaban, kesukarelaan, penghormatan serta kasih sayang dalam kehidupan yang serba rencam pada masa kini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s