TAJDID HADHARI JAYAKAN PEMBANGUNAN TAMADUN MASA DEPAN

Buku terbaru oleh Prof Osman Bakar

Buku terbaru oleh Prof Osman Bakar

Oleh Muhamad Razak Idris

Keutamaan umat Islam masa kini ialah menjayakan al-tajdid al-hadhari  atau pembaharuan tamadun Islam. Dalam istilah bahasa Inggeris, ia dirujuk ‘civilizational renewal’. Persoalan kepentingan bagi umat Islam bersama-sama menjayakan cita-cita pembaharuan tamadun Islam adalah antara tema utama dikemukakan oleh Profesor Emiritus Datuk Dr. Osman Bakar ketika menyampaikan syarahan bersempena pelancaran buku terbaru beliau ‘Islamic Civilization and The Modern World’ di Institut Antarabangsa Pengajian Tinggi Islam (IAIS), Kuala Lumpur pada 20 Disember 2014 lalu. Beliau kini ialah Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam.

Salah satu penekanan Osman dalam syarahannya ialah seruan kepada umat Islam menjayakan tajdid hadhari dalam konteks ketamadunan semasa. Tuntutan menjayakan tema ini ialah kerana tanggungjawab keagamaan yang terpikul oleh tamadun Islam hari ini di dalam menyumbang kepada pembinaan peradaban manusia yang sejahtera pada masa depan. Sebagai agama yang diturunkan kepada seluruh umat manusia, prinsip dan nilai ajaran Islam bersifat sejagat. Dalam erti kata lain, Islam sebagai agama mengandungi dan mendorong kepada pembangunan kerangka berfikir dan sistem nilai yang bersifat ‘universal’ yang sesuai dan sejajar dengan keperluan kehidupan kemanusiaan seluruhnya.

Sebagai agama yang diturunkan Allah SWT yang menciptakan seluruh alam sejagat ini, sudah pasti nilai ajarannya adalah untuk keseluruhan umat manusia. Realiti Islam yang sebenar adalah bersifat universal. Untuk itu, umat Islam mestilah berkeyakinan iaitu segenap dimensi pentunjuk dan ajarannya sebagaimana terkandung di dalam kitab suci al-Quran dan pedoman al-Sunnah adalah sumber yang terbaik bagi membina kesejahteraan ketamadunan manusia hari ini dan masa depan.

Umat Islam berperanan utama menterjemahkan nilai-nilai luhur dari ajaran Islam yang bersifat universal atau sejagat dalam sebuah ketamadunan manusia masa depan. Ini sejajar dengan kedudukan umat Islam sebagai ‘khayra ummah’ atau umat terbaik yang dianugerahkan Allah kepada mereka. Umat Islam ditabal sebagai terbaik ialah kerana mereka adalah kelompok manusia yang dikurniakan dengan pegangan ajaran Islam yang bersifat universal. Dengan keistimewaan ini, umat Islam adalah yang paling layak memikul amanah keagamaan bagi merealisasikan cita-cita ketamadunan umat manusia yang sejahtera pada masa depan.

Tanggungjawab yang terpikul umat Islam ini suatu amanah keagamaan yang berat. Namun selaku umat yang ditanam dengan nilai keyakinan dan semangat perubahan sejarah, amanah ini diyakini akan dapat disempurnakan sekiranya ia dijayakan berpandukan sebuah manhaj atau model pemikiran pembaharuan yang sejajar dengan cita-cita kesejagatan dan misi ketamadunan Islam itu sendiri. Dalam hubungan ini, kepentingan wacana  tajdid hadhari menjadi tuntutan.

Bagi menyambut cita-cita ketamadunan Islam yang luhur itu, umat Islam hari ini terlebih dahulu hendaklah menjayakan beberapa langkah islahatau  pembaikan dalaman terhadap peradaban semasanya. Ini sejajar dengan kedudukan umat Islam selaku salah unsur utama dalam sebuah sistem ketamadunan yang dinamik. Tanpa proses islah dalaman yang berterusan, umat Islam tidak akan berkeupayaan memanafaatkan unsur-unsur bumi dan masa yang dimilikinya bagi tujuan membangunkan keutuhan kedudukan peradabannya untuk memimpin proses tajdid hadhariperadaban kemanusiaan yang menyeluruh.

Dalam penelitian Osman, tuntutan pengislahan utama umat Islam pada masa kini hendaklah tertumpu kepada peningkatan pemahaman dan penghayatan falsafah Tauhid sebagai prinsip dan kerangka terpenting bagi proses tajdid hadhari di masa depan.  Pada Osman, falsafah Tauhid yang mengandungi perbahasan utama tentang konsep ‘kesatuan dalam kepelbagaian’  merupakan sebuah prinsip yang terutama dalam tajdid hadhari.  Falsafah Tauhid berasaskan kepada pengucapan Syahadah iaitu perakuan terhadap Keesaan Allah sebagai Pencipta seluruh makhluk serta kedudukan dan peranan Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan ketamadunan kepada seluruh umat manusia. Peningkatan kefahaman dan penghayatan falsafah Tauhid akan mendorong kepada proses penanggapan akliah dalam kerangka keseluruhan berkenaan kesalingan hubungan di antara prinsip keEsaan Ilahi dan ketauladan sejagat Rasulullah dengan realiti kepelbagaian kejadian makhluk dan proses perkembangan kemanusiaan yang bertahap-tahap dan berbeza-beza di kehidupan yang serba ragam pengalaman  yang rencam di kehidupan dunia ini.

Penghayatan falsafah Tauhid terlalu penting kepada umat Islam kerana fungsi falsafah ini di dalam membangunkan kerangka berfikir keseluruhan dan membawa mereka kepada perakuan terhadap erti dan makna agama Islam dalam realitinya yang sebenar. Pengembangan kerangka berfikir yang luas dalam ruang keseluruhan realiti kemanusiaan yang saling berhubungan adalah terlalu asas bagi mereka memulakan usaha dan ikhtiar bagi menjayakan tajdid hadhari yang meluas pada masa depan. Lebih penting dan utama lagi, falsafah Tauhid akan menemukan minda umat Islam tentang hakikat kepelbagaian realiti kehidupan di dalam sebuah makna kesatuan yang menyeluruh.

Kita harus memperakui iaitu tanggungjawab umat Islam menjayakan tajdid hadhari adalah tuntutan bagi menjadikan ajaran Islam yang mengandungi prinsip dan sistem nilai yang universal sebagai ‘tenaga penggerak’ yang mendorong proses pembinaan tamadun manusia seluruhnya. Tajdid hadhari yang berpaksi kepada keutuhan tamadun Islam  membabitkan seluruh dimensi dinamik kemanusiaan sejagat. Cita-cita tajdid hadhari  bukan terhad kepada pembaharuan peradaban Islam semata-semata. Dalam model berfikir berpandukan manhaj tajdid hadhari, tamadun Islam berperanan sebagai paksi dan sumber kepada proses pembaharuan ketamadunan manusia seluruhnya pada masa depan.

Dalam hubungan ini, penghayatan falsafah Tauhid secara langsung adalah sebuah agenda pengupayaan dan persediaan fikrah umat Islam bagi menyempurnakan peranan keagamaan dan ketamadunannya yang berat. Umat Islam tidak akan berupaya mendepani cabaran dalam cita-cita pembaharuan tamadun sekiranya minda mereka masih berada dalam kerangka fikrah yang terpecah-pecah atau masih dibentuk oleh fahaman kumpulan, kabilah atau puak yang sempit dan setempat. Minda berbentuk sebegini bersifat lemah dan sempit kerana dorongan emosi atau taasub terhadap unsur setempat secara keterlaluan menghalang mereka kepada penghayatan dan perakuan terhadap realiti ajaran Islam yang universal, bersifat menyeluruh serta luas merentasi seluruh dimensi kemanusiaan sejagat. Selagi mana umat Islam tidak berkeupayaan meningkatkan tahap keupayaan fikrah yang sejajar dengan falsafah Tauhid, selama itu fungsi dan peranan umat Islam tidak akan dapat dikecapi sebagai pencetus dan penggerak tajdid hadhari, cita-cita menjayakan pembinaan tamadun manusia sejahtera di masa depan.

Karya terbaru Osman yang dilancarkan oleh beliau sendiri dalam suasana yang sederhana adalah amat besar pengertian dan sumbangannya kepada proses peningkatan penghayatan falsafah Tauhid dalam erti yang sebenar dan menyeluruh. Karya ini adalah himpunan esei ilmiah dalam tempoh terbaru penglibatan beliau di dunia ilmiah terutama dalam kajian falsafah dan pemikiran Islam. Ia mengandungi 14 bab di mana pada setiap bab mengandungi perbahasan tentang pelbagai dimensi ketamadunan yang dibincangkan menerusi perspektif falsafah Tauhid. Perbincangannya amat meluas meliputi tema tamadun Islam, identiti Muslim ummah, peranan Islam dan tamadunnya dalam menjambati hubungan dengan tamadun Timur dan Barat, klasifikasi ilmu dan sains dari perspektif Islam, sistem perubatan dan kesihatan, alam sekitar, isu etika dalam bidang sains dan teknologi dan penghuraian pencapaian tamadun Islam di bidang ini di era keemasannya, isu Islam dan globalisasi dan tidak ketinggalan persoalan masyarakat Islam di Asia Tenggara terutama berkenaan identiti umat Melayu.

Sumbangan ilmiah terbaru oleh seorang sarjana Muslim tempatan harus diraikan oleh kita semua. Ia adalah sebuah sumbangan yang amat bermakna kerana persediaan bagi penghasilan sebuah karya tinggi Islam menuntut pengorbanan tenaga dan waktu yang panjang dan cabarannya tersendiri. Semasa melancarkan karyanya, Osman memberikan penghargaan yang tinggi kepada beberapa organisasi ilmiah yang sentiasa mendokong bidang kesarjanaan. Antara organisasi tersebut ialah IAIS Malaysia, Islamic Book Trust (IBT), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Kesemua wakil organisasi ini diberikan penghormatan menyampaikan ucapan pembukaan di majlis pelancaran buku beliau. Kita mengajak semua masyakat mengambil kesempatan menelaah karya yang penting dan bermakna ini.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to TAJDID HADHARI JAYAKAN PEMBANGUNAN TAMADUN MASA DEPAN

  1. I like Chipotle.nThat’s a better addiction than McDonald’s !nGuess who’s behind the Chipotle chain? Click https://twitter.com/moooker1

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s