KAJIAN ASIA BARAT PERLU DIGIATKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Kajian tentang rantau Asia Barat perlu digiatkan pada masa kini. Ini kerana banyak kepentingan dari ilmu pengentahuan, iktibar dan pengalaman kemanusiaan boleh diperoleh dan dipelajari masyarakat kita menerusi kajian atau penyelidikan yang bersifat objektif dan baik.

Dalam banyak buku ilmiah, pengajian Asia Barat sering dirujuk sebagai Timur Tengah. Istilah yang bebeza tetapi maksud yang sama ini disebabkan oleh kedudukan geografi pengkaji. Dalam satu catatan, istilah Timur Tengah mula digunakan apabila ia diperkenalkan oleh A.T Mahan, seorang pelayar dari Amerika dalam sekitar tahun 1900 dalam kajian strategiknya berkenaan rantau ini. Semasa dan selepas perang dunia pertama, istilah Timur Tengah telah diigunakan secara meluas oleh British dan beberapa ahli strategis yang lain. Ia kemudiaannya digunakan pula oleh masyarakat dunia seperti Rusia, China malah orang-orang di kawasan tersebut sendiri walaupun dari segi logik geografi tidak tepat. Istilah Timur Tengah kemudian diganti Asia Barat sebagai rujukan rasmi terhadap rantau itu kini kerana ia lebih tepat dari segi menunjukkan kawasan sebelah barat dari perspektif rantau Asia itu sendiri. Ia antara lain bagi menghilangkan pengaruh atau prejudis Eurocentrism dalam korpus tatabahasa pengentahuan geografi dan meraikan ramai pihak yang tidak menyenanginya.

Pada masa kini, Asia Barat tertonjol kerana banyak kisah konflik dan persaingan kuasa terjadi di rantau ini. Dalam erti kata lain, dimensi politik dan isu keselamatan rantau ini masih dalam persoalan atau tanda soal yang besar sekiranya dibandingkan dengan beberapa rantau dunia lain seperti di Asia Timur, Afrika dan Eropah. Ini tidak bermakna kawasan-kawasan lain ini bebas konflik, tetapi kadar dan publisitinya tidak sebesar yang diperoleh Asia Barat hari ini. Pertembungan kuasa lama dan baru yang masih belum berkesudahan, misalnya konflik Palestin-Israel dan krisis politik dalaman di Syria dan Mesir, menjadikan rantau Asia Barat terus memperoleh muka utama dalam akhbar tempatan dan antarabangsa.

Namun demikian, ia tidak bermakna dimensi-dimensi lain di Asia Barat juga dalam situasi tidak menentu. Ramai dari kalangan masyarakat kita tersalah anggap tentang persoalan ini. Beberapa aspek terutama dalam dimensi sosial dan budaya Asia Barat dalam keadaan stabil dan matang. Dari aspek bahasa misalnya, kebanyakan bahasa utama rantau ini seperti Arab, Parsi dan Turki telah mencapai tahap kematangannya yang kukuh. Bahasa-bahasa ini tidak sahaja digunakan secara meluas oleh rakyat mereka secara baik, malah menjadi antara sumber dan pengantara ilmu pengentahuan utama dan komunikasi masyarakat antarabangsa. Ia kelihatan tidak banyak tergugat oleh proses penglobalan bahasa dunia, misalnya bahasa Inggeris hari ini. Ini tidak bermakna pula masyarakat rantau ini menolak kepentingan bahasa-bahasa dunia lain. Kegiatan penterjemahan karya ilmiah dari sumber bahasa asing, misalnya, Inggeris, Perancis dan German, amat aktif dan meriah. Namun, penerimaan masyarakat Asia Barat terhadap kepentingan bahasa asing itu tidak pula mencabar sikap masyarakatnya terhadap kehormatan bahasa ibunda mereka.

Kematangan dimensi sosial dan budaya masyarakat Asia Barat boleh diteliti juga dari segi penerimaan sikap terhadap kepelbagaian kepercayaan dan budaya. Realiti kemajmukan agama nampaknya dihargai dengan baik. Keadaan ini amat berkaitan dengan pengalaman luas dari segi kepelbagaian agama yang tumbuh dan berkembang di rantau ini sejak berabad. Kedatangan Islam pada sekitar abad ke 7 telah mengayakan pengalaman keagamaan Asia Barat yang memang telah terkenal sebagai pusat kepercayaan dunia seperti Yahudi, Kristian dan Zoroastrian pada masa lalu. Sikap beragama kelihatan matang apabila semua agama memperoleh kedudukan dan kehormatannya yang tersendiri di samping perhubungan antara penganut yang muhibbah walaupun setelah agama Islam diterima oleh majoriti penduduk Asia Barat kini.

Aspek kepelbagaian bangsa di Asia Barat juga menarik diteliti. Di samping bangsa terbesar seperti Arab, Turki dan Parsi (Iran), warga rantau ini juga termasuk dari suku Afrika, Kurdish, Armenia dan Arzebaijan dan Yahudi. Kemajmukan bangsa atau etnik ini menjadikan Asia Barat unik dalam kepelbagaian dan pengaruhnya yang tersendiri. Ia juga antara realiti dan faktor yang mendorong usaha kajian dan penyelidikan harus terus digiatkan.

Kita juga harus mengentahui iaitu Asia Barat juga dikenali sebagai sumber utama perkembangan peradaban dunia hari ini. Ramai juga tersalah anggap iaitu rantau ini dipenuhi padang pasir, bercuaca panas dan terkenal dengan masyarakat badawi yang berpindah randah. Selain realiti itu memang wujud, kita harus menyedari iaitu Asia Barat ia pusat terawal konsep ‘bandar’ atau kehidupan perbandaran muncul. Bandar-bandar awal yang besar dan terkenal masa lalu, dan kini masih berkekalan seperti Kaherah, Iskandariah, Jerusalem, Damsyik, Baghdad, Istanbul, Ankara, Tehran dan Isfahan, kesemuanya berada di Asia Barat. Menerusi bandar-bandar ini, kegiatan perdagangan dan pengentahuan tumbuh dan interaksi ketamadunan yang pelbagai berkembang. Pengalaman ilmu dan kemahiran dari aspeknya yang luas tersebar dan kemudiannya dimanafaatkan oleh seluruh masyarakat dunia di Timur dan Barat.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s