GERAKAN SEKULAR HALANG DEMOKRASI DI ASIA BARAT

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 17 Julai 2013

Pelbagai cabaran harus ditempuh bagi menjayakan demokrasi di Asia Barat. Peristiwa terbaru di Mesir sejak beberapa hari lalu menunjukkan ia harus dibayar dengan darah dan nyawa bagi merealisasikan cita-cita itu. Cabaran ini sejajar dengan kedudukan rantau itu yang unik dari sudut sejarah dan istimewa pula dari segi kekayaan serta pengaruhnya dalam menjamin ketahanan kekuasaan dan kepemimpinan dunia. 

Faktor yang rencam ini menjadikan rantau Asia Barat dipenuhi pelbagai kepentingan membabitkan kelompok dalaman masyarakatnya, malah juga perkumpulan dalam kalangan bangsa luar lingkungannya. 

Menjayakan demokrasi dilihat sebagai kepentingan strategik asasi bagi perkumpulan masyarakat sivil dan pergerakan Islam. Sudah sekian lama rantau ini ditadbir secara autokratik menggunakan pendekatan keras dan tertutup. Pemerintahan sebegini memberi kesan buruk terhadap pembangunan insaniah masyarakat Asia Barat serta perkembangan peradabannya yang menyeluruh. 

Sejak sekian lama, rantau Asia Barat menjadi lubuk konflik berpunca pelbagai pertikaian dan pertembungan. Pentadbiran tertutup menjadikan sumber kekayaan yang meluas tidak dapat dinikmati secara rata kerana faktor monopoli. Pembangunan ilmu, teknologi dan penyelidikan juga terencat kerana taraf hidup rakyat yang lemah serta kehidupan yang sering dilanda ketakutan serta ancaman keselamatan. 

Sejak beberapa dekad lalu, pelbagai pergerakan sivil dan politik Islam menggerakkan kesedaran masyarakat iaitu penyelesaian kepada kemajuan rantau Asia Barat harus menerusi mekanisme baru yang bersifat terbuka dan berasaskan perundingan serta pemuafakatan bersama rakyat dan pemerintah. Mekanisme demokrasi dilihat berpadanan dengan cita-cita ini. Ia boleh menghubungkan kerjasama dua hala yang rancak menerusi sistem pentadbiran yang mesra. 

Jika keadaan ini boleh diwujudkan, rantau Asia Barat yang unik kembali mekar dan warganya dapat menyumbang secara berkesan kepada pembangunan kehidupan dunia seperti zaman kegemilangan peradaban Islam. Berasaskan inspirasi ini, sarjana Muslim melihat menjayakan demokrasi sebagai jalan dan pendekatan paling baik bagi menjayakan maksud serta ajaran Islam dari sudut pemerintahan yang menekankan prinsip keadilan dan kebajikan. Inspirasi ini mula dihayati secara meluas sebagai sebahagian daripada jihad kenegaraan pada masa kini oleh masyarakat di Asia Barat. Namun, cita-cita luhur ini tidak dikongsi semua warga Asia Barat. Kemunculan dan kebangkitan kesedaran demokrasi dilihat sesetengah pihak akan mengorbankan pelbagai kepentingan yang sudah sekian lama bertapak. Bagi kelompok penguasa yang terbiasa dengan pemerintahan autokratik, tidak mudah menerima amalan dan budaya terbuka serta telus dalam sistem politik dan sosial. 

Pendekatan ini boleh menggugat kepentingan mereka dari segi kebendaan dan kekuasaan. Apa yang lebih mencabar, saluran demokrasi akan melahirkan penguasa baru bukan daripada perkumpulan yang mereka restui. Kepentingan kekeluargaan dan kelompok tentu tergugat. Dalam erti kata lain, pendekatan demokrasi yang dilaungkan pelbagai pertubuhan sivil dan pergerakan Islam hakikatnya bukan suatu yang didambakan, malah dianggap nilai asing yang akan mengancam kepentingan penguasa yang sekian lama terbina dan berkembang dalam pelbagai ruang kehidupan. 

Begitulah cabaran realiti geo-politik Asia Barat yang harus ditempuh pendukung demokrasi di rantau itu. Kisah di Mesir yang tragis berlaku kerana pertembungan kepentingan yang rencam antara pelbagai pihak di Asia Barat. Pemuafakatan pelbagai kelompok direncanakan bagi mengekang kebangkitan kesedaran demokrasi setelah dilihat bakal mengancam masa depan kepentingan jangka panjang penguasa autokratik di rantau itu. Kerjasama beberapa pemerintah di rantau itu mendokong rampasan kuasa di Mesir adalah sebahagian daripada langkah mengekang kebangkitan demokrasi di Asia Barat. Kali ini, menerusi program penajaan pemerintah tentera. Perencanaan ini harus berjaya walaupun ia memakan korban nyawa dan harta yang tinggi. 

Pelbagai kepentingan di Asia Barat bergabung dan bekerjasama merestui tindakan penajaan ini. Turut serta ialah Amerika Syarikat yang memiliki kepentingan strategik di rantau itu. Golongan liberal dan sekular pula bergandingan dengan tentera atas asas mengekang kebangkitan kelompok agama dan pengaruh mereka dalam sistem politik serta kebudayaan. 

Peristiwa di Mesir menjelaskan iaitu bagi penguasa autokratik dan kumpulan pendukungnya yang pelbagai, menjayakan demokrasi di rantau ini bukan lagi kepentingan utama, sebaliknya harus ditangguhkan. Bagi mereka, demokrasi yang sedang berkembang di Asia Barat, sekiranya ia tumbuh secara baik dan segar, tidak akan memberikan kebaikan jangka panjang kepada kelompok mereka.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s