KRISIS POLITIK MESIR TANDA AWAL KEJATUHAN LIBERALISME

Oleh Muhamad Razak Idris

Golongan liberal yang bergembira riang meraikan pengulingan tentera ke atas Mohammad Morsi hakikatnya dalam kejahilan akan akibat dari ‘dosa moral’ yang dilakukan mereka terhadap negara Mesir. Keriangan mereka itu telah menutup pandangan jauh tentang akibat buruk yang bakal tertimpa ke atas fahaman liberalisme yang anuti dan nasib golongan yang memperjuangkannya pada masa depan. Krisis politik yang sedang dihadapi Mesir hari ini dari sudut pandangan yang lain adalah antara tanda penting permulaan kejatuhan liberalisme di negara tersebut. Perbuatan golongan liberal sebagai tali barut pihak tentera mengkhianati ‘pilihan rakyat’ yang ditunjukkan menerusi prinsip dan amalan demokrasi,  menjadikan liberalisme dan para pendokongnya kini kehilangan dasar akhlak yang paling teras untuk mengabsahkan penglibatan mereka dalam perjuangan menegakkan nilai-nilai kehidupan sivil di Mesir dan di pentas peradaban dunia hari ini.  

Secara lahiriah krisis politik Mesir ini ditanggapi oleh sebahagian pihak berpunca dari kegagalan politik Islam di negara tersebut. Malah terdapat pandangan yang tersebar iaitu kejatuhan Presiden Morsi yang merupakan calon dari Ikhwan al-Muslimin adalah permulaan berakhirnya Islamisme. Pandangan sebegini boleh dikatakan bersifat  ‘separuh masak’. Malah ia terpengaruh dengan skrip yang dibina oleh pihak tentera dan golongan liberal bagi tujuan menjustifikasikan tindakan pengulingan mereka serta menghilangkan keyakinan dan menjauhkan rakyat Mesir dari pengaruh politik Islam dan Ikhwan al-Muslimin secara khusus.

Bagi pihak yang teliti dengan rentak perjalanan politik Islam di Mesir ‘pasca Mubarak’, mereka sedia mengerti pelbagai perbuatan sabotaj yang dilakukan oleh para penentang politik Islam terhadap pemerintahan Presiden Morsi. Jaringan media, ekonomi dan kuasa berkepentingan antarabangsa memang telah dikenalpasti terbabit dalam agenda pengulingan ini menerusi pelbagai tipu helah politik dan propaganda. Oleh kerana itu, sebahagian besar rakyat Mesir yang memahami permainan kotor ini tidak mudah terpedaya dengan skrip yang cuba merendahkan dan menghilangkan keyakinan mereka terhadap peranan dan masa depan politik Islam  di Mesir. Bantahan awam yang berpanjangan dan tidak berganjak semenjak Presiden Morsi digulingkan menunjukkan dakyah dan propaganda buruk terhadap politik Islam dan agenda Islamisme tidak kendur atau tumpas.

Sekiranya krisis politik Mesir ini ditanggapi secara halus, ia sebenarnya bakal memberi kesan jangka panjang menyakinkan terhadap masa depan politik Islam dan golongan Islamis. Iktibar yang paling jelas sekali di sebalik krisis ini ialah penonjolan citra golongan Islamis sebagai benteng nilai hidup sivil dan penegak amalan pemerintahan berteraskan prinsip demokrasi. Rakyat Mesir dan masyarakat dunia kini dapat menyaksikan secara langsung hakikat Islamisme dan tabiat politik Islam yang berpegang teguh terhadap nilai dan prinsip sivil dalam urusan pemerintahan dan kenegaraan. Krisis ini menunjukkan golongan Islamis berpegang kepada janji-janji yang disepakati bersama malah sanggup mengadai nyawa demi mempertahakannya. Golongan Islamis bukan kelompok yang sering diuar-uarkan media sebagai bermuka-muka menerima demokrasi bagi tujuan mencapai matlamat terselindung membina negara kuku besi berasaskan agama. Islamisme dan politik Islam adalah satu gerakan yang tulus menjayakan agenda kehidupan luhur dan berperadaban sebagaimana anjuran oleh cita-cita agama.

Citra buruk tentang politik Islam dan aliran Islamisme sebelum ini nampaknya sudah terbalik dan kini ia dimiliki pula oleh liberalime dan para pendokongnya. Begitulah rukun alam yang terjadi diluar jangkaan. Rupanya, golongan liberal yang sebelum ditanggap sebagai kelompok penegak nilai hidup sivil dan pengamal budaya bertamadun, bukanlah golongan yang  boleh dipercayai. Pengalaman krisis politik Mesir menunjukkan golongan ini tidak bersikap amanah dalam berpegang kepada perjanjian serta mudah terdorong melakukan khianat  demi memenuhi kepentingan jangka pendek. Golongan liberal rupanya bersifat ‘dua wajah’. Penglibatan mereka bersama rejim tentera bagi memusnahkan pemuafakatan demokrasi menjadikan citra golongan liberal terlalu buruk untuk ditauladani. Helah berselindung di sebalik ‘kehendak rakyat’ sebagai rasional terhadap tindakan mereka membunuh prinsip demokrasi tidak akan diterima secara mudah dalam konteks dunia hari ini yang terbuka dan bertambah matang. Kejelikan akhlak ini meruntuhkan teras moral liberalisme untuk mereka bergaul dan diterima bagi sebarang bentuk perjanjian dan persepakatan akan datang dalam pelbagai urusan kehidupan.  Perbuatan gopoh dan gelojoh golongan liberal mencapai kekuasaan dengan cara kotor dan tidak bermoral hakikatnya telah meruntuhkan keyakinan masyarakat terhadap kepentingan dan masa depan mereka di pentas peradaban dunia.   

Golongan Islamis di Mesir kini sedang berduka dengan pengulingan Presiden Morsi. Sikap tidak berundur adalah tindakan yang paling tepat bagi menunjukkan kepada masyarakat dunia iaitu Islamisme tidak akan berakhir dan masa depan politik Islam akan terus menyinar di Mesir. Dalam banyak catatan tentang sejarah politik Islam, didapati pelbagai tribulasi, halangan dan ancaman yang dihadapi mereka tidak pernah meluturkan kehadiran pergerakannya di pentas masyarakat. Malah,  setiap cabaran baru yang ditempuh menyumbang kepada proses pengkayaan pengalaman dan pertumbuhan kreativiti baru dari segi idea dan pendekatan bagi mereka berdepan dengan realiti dunia yang rencam dan penuh dengan aneka kepentingan.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s