KEFAHAMAN AGAMA MENSEJAHTERAKAN NEGARA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 20 Julai 2013

Sepatutnya polemik berhubung pengenalan kursus Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS) di peringkat pengajian tinggi di negara ini tidak harus berlaku.  Ini kerana kepentingan peranan agama dalam proses pembangunan telah lama disepakati. Namun, realitinya tidak sedemikian. Jelas, polemik ini mengesahkan iaitu masih kedapatan segelintir anggota masyarakat yang masih dalam keadaan keliru berhubung persoalan hubungan agama dan negara sehingga terus mempertikaikan sebarang langkah dan usaha ke arah pengukuhan peranannya dalam proses pembangunan negara kita.

Kelompok masyarakat yang mengkritik pelaksanaan pengajaran TITAS ini boleh dianggap sebagai saki baki perkumpulan yang masih belum mampu meninggalkan kesan penjajahan pemikiran dan budaya yang terjadi di negara ini oleh kuasa Eropah beberapa dekad yang lalu. Memang salah satu dari warisan penjajahan yang wujud ialah doktrin permisahan hubungan agama dan negara sebagai satu bentuk pendekatan yang diyakini penting dalam proses pembangunan sesebuah negara.

Doktrin ini diamalkan oleh kuasa penjajah sepanjang penguasaan mereka di negara ini atas asas pengalaman ketamadunan mereka di Eropah. Sejarah pertembungan agama dan negara dalam ketamadunan Eropah memang dicatit secara meluas dalam teks-teks ilmiah terjadi dalam sekitara abad 17 dan 18. Pertembungan tersebut membawa masyarakat Eropah ke satu jalan keluar iaitu pendamaian antara keduanya hanya dapat diwujudkan sekiranya setiap pihak diberikan batasan khusus ruang pengaruh dan pertanggungjawaban.  Model ini digunapakai oleh penjajah di negara ini dalam menjalankan urusan penguasaan mereka.

Kelompok yang dipengaruhi doktrin ini melihat sebarang bentuk pencampuran hubungan dan peranan agama dan negara hendaklah diawasi dan ditegah. Cadangan agar TITAS bukan menjadi subjek wajib adalah antara jelmaan ketidakselesaan mereka atas penglibatan langsung negara dalam urusan membabitkan proses pembentukan nilai dan perspektif agama warganya.

Sekiranya ditinjau, sikap penentangan itu bukan hanya terjadi dalam konteks TITAS sahaja. Sebelum ini, sudah berlaku beberapa pertembungan yang hampir sama dalam beberapa isu membabitkan soal penerapan nilai agama dalam kehidupan negara seperti dalam aspek perundangan seperti isu pengawalan moral atau moral policing cadangan pelaksanaan hukum jenayah syariah di negara ini.

Bagi kelompok yang menganut doktrin pemisahan hubungan dan negara, langkah dan cadangan ini adalah satu bentuk usaha-usaha halus negara bagi melaksanakan proses Islamisasi dalam urusan kehidupan kenegaraan secara beransur-ansur. Oleh itu, ia harus diawasi dan ditegah bagi memastikan identiti negara ini kekal mewarisi pemikiran dan kebudayaan yang ditinggalkan penjajah lalu terutama dalam hal ehwal urustadbir negara.

Bagi pelopor pemikiran kesatuan agama dan negara, doktrin keterpisahan yang dianuti oleh sekelompok masyarakat negara kita sebagai tergambar dalam polemik TITAS harus menjadi ingatan bahawa cabaran mereka dalam usaha mengukuhkan peranan agama dalam kehidupan bernegara masih besar. Dalam erti kata lain, masih ramai yang berasa kurang selesa dengan pelbagai acara penerapan nilai agama dari kalangan masyarakat kita. Tentu ketidakselesaan dan ketidakpuasan hati yang ditunjukkan tersebut berpunca dari kejahilan terhadap hakikat keluhuran agama yang penting dalam memenuhi maksud pembangunan yang bersifat menyeluruh dan sempurna.

Kelompok ini nampaknya gagal memahami dan menghayati iaitu kedudukan agama dan peranannya dalam pembangunan warga dan negara pada perspektif masyarakat Muslim terutamanya adalah istimewa. Nilai-nilai ajaran agama yang luhur dan sejagat berfungsi sebagai idea-idea pendorong dalam membentuk masyarakat dan generasi yang progresif dan inovatif. Apabila penentangan berlaku terhadap pelbagai usaha penerapan nilai agama oleh negara, ia menunjukkan kefahaman agama kelompok ini masih berada pada tahap yang rendah terhadap hakikat agama Islam. Konsep Islam sebagai sebuah tatacara dan sistem nilai bersepadu masih tidak dapat dihayati. Mereka seumpama masih berada dalam tahap lama menanggapi agama Islam sebagai satu kegiatan ritual rohani yang tiada berkaitan dengan urusan kehidupan lahiriah yang kompleks kini. Pada mereka, penerapan nilai dan kefahaman agama boleh mengancam dan merencatkan agenda pembangunan sesebuah negara yang menuntut fakta dan penelitian objektif.

Kelemahan berfikir tentang peranan agama oleh sesetengah kelompok masyarakat ini mendukacitakan. Penentangan terhadap TITAS sebenarnya memberi justifikasi yang lebih kuat agar subjek tersebut terus diperkukuhkan dalam sistem pendidikan tinggi negara. Kejahilan yang ditunjukkan kelompok ini terhadap peranan kefahaman agama dan peradabannya menggambarkan pengenalan TITASramat penting dipertahankan. Seharusnya, mereka mencadangkan langkah-langkah bagi mengatasi kelemahan yang barangkali wujud dalam pelaksanaan kursus ini dan bukan melemahkannya.

Dalam konteks ini, Kementerian Pengajian Tinggi tidak harus tunduk dengan desakan kelompok ini kerana ia adalah langkah kebelakang.Pendedahan tentang hakikat keunikan peradaban Islam dan peradaban Asia lain akan mengayakan pengalaman dan mendekatkan persefahaman generasi muda negara. Ia juga akan mengukuhkan penghargaan mereka terhadap peranan agama sebagai wahana yang mensejahterakan negara dan bukan sebaliknya.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s