HARGAI PENGALAMAN ROHANIAH SEPANJANG RAMADHAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 15 Julai 2013.

Umat Islam merupakan golongan istimewa kerana berpeluang merasai pengalaman rohaniah khusus menerusi ibadah berpuasa sepanjang Ramadhan. Keistimewaan ini harus dihargai. Bagi kelompok masyarakat yang mana kehidupan mereka tidak dipandu oleh pedoman keagamaan, mereka tidak berpeluang merasai pengalaman rohaniah ini. Malah, bagi yang berfahaman atheis atau tidak mempercayai kewujudan Ilahi, mereka melihat amalan meninggalkan makan dan minum sepanjang hari sebagaimana dilakukan oleh umat Islam sebagai sia-sia.

Kehidupan golongan ini dipandu oleh fahaman yang dikenali sebagai materialisme atau kebendaan di mana pada keyakinan mereka, hakikat tentang kehidupan ini terbatas dalam ruang lingkup pengalaman pancaindera sahaja. Sumber utama pengentahuan mereka tentang hakikat kehidupan ini bersandarkan penemuan atau tafsiran ilmu sains. Tentu, sains mempunyai keterbatasannya terutama dalam memahari erti dan makna pengalaman rohaniah kehidupan ini. Sains tidak mampu memahami dan menghargai pengalaman rohaniah yang dilalui umat Islam sepanjang Ramadhan.

Bagi umat Islam, kedatangan Ramadhan ditunggu-tunggu. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW membentuk sikap Muslim menerima kedatangan bulan ini seumpama ‘tetamu istimewa’ berkunjung ke kediaman mereka. Perumpamaan Nabi Muhammad ini ialah agar umat Islam menghargai dan meraikan secara sebaiknya kunjungan Ramadhan dalam kehidupan mereka. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak harus sama sekali berbuat sesuatu perbuatan yang boleh mencemarkan nama baik diri, keluarga dan masyarakatnya sepanjang menerima tetamu Ramadhan. Justeru, umat Islam harus menjaga tatasusila kehidupan samada fikiran, perasaan dan amalan sebagai menunjukkan kehormatan mereka sepanjang bulan ini.

Apakah keistimewaan bulan ini sehingga Nabi Muhammad mengumpamakannya sebagai tetamu istimewa? Pandangan Dr. Muhammad ‘Imarah tentang keistimewaan Ramadhan dalam karyanya Al-‘Ata’ al-Hadhari lil’il Islam (Anugerah Islam untuk Ketamadunan, diterjemahkan oleh Dr Muhammad Nur Manuty, 2007) amat menarik diteliti. Menurut beliau, keistimewaan Ramadhan ialah kerana pada bulan ini, suatu pertemuan rohaniah antara kehidupan insaniah di bumi dengan kebesaran pedoman wahyu dari Ilahi telah berlangsung. Dalam sirah keagamaan Islam, hari penurunan wahyu atau  Nuzul al-Quran yang berlangsung pada 17 Ramadhan merupakan satu peristiwa rohaniah terangung dan menjadi titik tolak  bermulanya sebuah perubahan dalam sejarah ketamadunan manusia.

Pertemuan rohaniah tersebut telah merubah seluruh ruang pandangan masyarakat Muslim terhadap hakikat kehidupan ini. Kebenaran Ilahiah yang terkandung dalam ajaran wahyu serta pengalaman sunnah yang tunjukkan oleh Nabi Muhammad sepanjang kehidupan baginda menjadi sumber dan pedoman tertinggi masyarakat Muslim dalam mendepani kehidupan dunia ini yang serba mencabar. Penurunan wahyu telah merungkai banyak persoalan kepercayaan dan kefahaman yang diwarisi oleh masyarakat terdahulu yang hanya bergantung kepada fikiran sendiri dan warisan nenek moyang sebagai sandaran. Semenjak penurunan wahyu, umat Islam ditunjukkan tentang erti dan tujuan ketaatan yang abadi serta tatacara kehidupan yang harus diikuti sejajar dengan fitrah kejadiannya.

Wahyu dan sunnah juga memandu pengalaman rohaniah insan tentang pelbagai makna tentang kehidupan kemanusian di muka bumi. Pedoman al-Quran membimbing umat Islam mengerti nilai kesaksamaan insan, menghargai erti maruah dan kehormatan serta menunjukkan kepentingan keadilan wajib ditunai dan dilaksanakan sesama insan. Umat Islam yang benar-benar dipandu oleh pedoman wahyu dalam kehidupan ini bukan lagi golongan teraba-raba mencari hakikat dan kebenaran. Mereka adalah golongan yang yakin serta tidak mudah berputus asa. Kehidupan abadi selepas kehidupan dunia ini menjadi titik akhir yang memandu perjalanan mereka. Umat Islam yang mengalami pengalaman rohaniah ini bukan kelompok yang mencintai kehidupan dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja sehingga membawa kepada kezaliman terhadap insan yang lain. Pengalaman rohaniah yang diperoleh dari sumber wahyu ini menunjukkan mereka tentang hakikat pembalasan amalan bagi yang mengingkari.

Perintah khusus berpuasa sepanjang Ramadhan ini mempunyai maksud dan nilai rohaniah yang tersendiri juga. Makna tentang nikmat kehidupan yang dianugerahkan Allah begitu banyak harus dialami sendiri oleh setiap manusia. Bayangkan andai seluruh nikmat ini hilang seperti halangan menikmati sumber makanan dan minuman serta keindahan hidup berpasangan dari diri seseorang insan sebagaimana banyak dialami oleh sebahagian manusia yang sedang berdepan dengan kebuluran atau bahana perperangan. Amalan berpuasa mendidik erti pertanggungjawaban, menghargai kesusahan saudara seinsan serta meninggikan nilai bersyukur terhadap kurniaan Allah terhadap diri manusia dalam segenap segi kehidupan. Kesedaran menerusi pengalaman rohanian ini harus mendorong nilai pengorbanan dalam diri manusia menegakkan kebaikan dan kesejahteraan di seluruh alam. Ayuh hargai Ramadhan kerana ia adalah bulan kelahiran seluruh umat Islam.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s