KONFLIK DALAMAN LEMAHKAN PARTI BURUH AUSTRALIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 2 Julai 2013.

Beberapa hari lalu, rakyat Australia memperoleh Perdana Menteri baru. Bekas Perdana Australia, Kevin Rudd yang telah memimpin negara tersebut pada tahun 2007-2010 telah dipilih semula oleh ahli parlimen dari parti Buruh Australia menggantikan Julia Gillard sebagai ketua parti.  

Ahli parlimen parti Buruh terpaksa membelakangkan Gillard bagi memilih Rudd demi survival politik mereka dan masa depan depan parti. Dalam tinjaun pendapat umum yang dibuat oleh pelbagai agensi dan institusi, kedudukan parti Buruh didapati berada di ambang kekalahan teruk sekiranya pilihan raya umum negara itu dilangsungkan pada Ogos atau September tahun ini. Bagi mengatasi jangkaan buruk itu, mereka memohon bantuan Rudd semula yang didapati masih mendapat perhatian popular sebahagian besar rakyat Australia.

Punca kemerosotan sokongan parti Buruh hakikatnya berpunca dari ahli parlimen mereka sendiri. Pada tahun 2010, sekumpulan ahli parti berpengaruh telah merencana projek ‘rampasan kuasa’ terhadap kepemimpinan Rudd dan memilih Gillard sebagai ketua parti. Pendekatan pentadbiran Rudd yang dilihat seolah ‘autokratik’ dijadikan alasan bagi menumbangkan beliau. Gillard menerima hasil dari projek rampasan kuasa tersebut dan dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Australia. Namun, beliau terpaksa membayar harga yang mahal juga dari penerimaan hasil tersebut. Imej beliau di mata sebahagian besar rakyat Australia menjadi hodoh. Beliau ditohmah sebagai seorang rakan yang tidak jujur dan gila kuasa kerana sanggup menikam belakang ketuanya sendiri demi kuasa dan jawatan.

Ketidakpuasan hati rakyat terhadap Gillard tergambar dalam pilihan raya umum Australia pada tahun 2010. Parti Buruh pimpinan beliau hanya memperoleh kemenangan tipis sehingga harus bergantung kepada undi dari calon bebas bagi membentuk kerajaan. Pencapaian besar sokongan rakyat diperoleh parti Buruh ketika Rudd memimpin pilihan raya pada 2007, lenyap. Ternyata, rakyat Ausralia memiliki penilaiannya sendiri terhadap kekuatan seseorang pemimpin negara. Mereka berasa dipermainkan oleh ahli-ahli Parlimen parti Buruh yang sesuka hati menukar kepimpinan mereka dengan alasan yang tidak sepadan. Mereka juga tidak boleh menerima pemimpin yang tidak menghargai persahabatan dan kesetiaan.

Semenjak itu, parti Buruh berdepan dengan krisis dalaman yang tidak berpenghujung. Persaingan kuasa dalaman antara penyokong Rudd dan Gillard setiasa bertembung. Percubaan mengambil alih kuasa dan kepemimpinan parti oleh kumpulan Rudd dicuba beberapa kali dalam sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu. Percubaan ketiga baru-baru ini memberi nasib yang baik kepada Rudd kerana ahli-ahli sudah tiada pilihan. Sebahagian mereka harus ‘menjilat ludah’ kembali terhadap sikap permusuhan mereka terhadap Rudd. Tanpa bertindak begitu, survival politik mereka sendiri akan berkubur.

Kisah pertembungan kuasa yang membawa kepada krisis dalaman yang dialami parti Buruh Australia ini mengandungi banyak iktibar dan pengajaran. Nampaknya politik ‘cah keting’ wujud di mana-mana saja. Dalam konteks parti Buruh di Australia, jatuh bangun pemimpin dan individu dalam parti digerakkan oleh ‘broker’ atau peraih politik yang bergerak di belakang tabir.  Bagi peraih politik ini, dunia politik seumpama sebuah padang permainan. Ia boleh dipercaturkan sesuka hati hanya demi memperoleh imbuhan yang pelbagai dalam bentuk kuasa dan jawatan. Nasib sedih yang menimpa Rudd pada 2010 adalah berpunca dari kumpulan atau ‘klik’ politik yang dibentuk oleh peraih-peraih politik dalam partinya. Beliau tersungkur sebagai Perdana Menteri dalam satu tempoh yang sekejap sahaja tanpa berupaya melakukan apa-apa tindakbalas.

Barangkali percaturan politik yang bersifat bebas nilai ini adalah antara ciri atau sisi buruk sistem demokrasi liberal.  Ia menjadikan kegiatan politik menjadi tidak menentu dan mudah dipermainkan. Bagi peraih-peraih politik, mereka seolah tidak berfikiran jauh melihat kesan-kesan krisis dalaman parti terhadap sentimen sokongan rakyat. Dalam sistem demokrasi terbuka, rakyat mempunyai hak penilaian tersendiri terhadap gelagat dan perbuatan ahli-ahli parlimen yang telah terpilih. Parti Buruh Autralia hari ini sedang menanggung akibat besar hilang sokongan dan kepercayaan rakyat akibat gelagat dan pemainan politik ahli-ahli parlimen mereka yang tidak berdisiplin dan hilang pedoman nilai.

Rudd kini berdepan dengan cabaran besar. Masa depan politiknya masih tidak menentu. Ia bergantung kepada sejauhmana rakyat Australia yakin dengan kepemimpinan beliau dan kelangsungan partinya pada pilihanraya umum negara itu akan datang. Pada masa kini, saingan dari parti Konservatif pimpinan Tony Abbott sedang mendapat dokongan. Kekecewaan rakyat Australia terhadap parti Buruh masih belum reda sepenuhnya. Ramai menjangkakan rakyat Australia akan memberi peluang kepada Abbott pada pilihanraya akan datang. Sekiranya demikian, masa depan politik Rudd juga akan menuju penamat. Parti Buruh pula dijangka akan memilih pemimpin baru bagi menangani kesan pasca kekalahan. Parti ini diramal akan mengambil tempoh masa lama untuk bangkit semula dan memulih kembali kepercayaan rakyat yang runtuh akibat krisis dalaman yang tidak berkesudahan kesan dari politik ‘cah keting’ yang tidak bertanggungjawab oleh sebahagian ahli parlimen mereka sendiri.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s