HASSAN ROWHANI HARAPAN BARU RAKYAT IRAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 18 Jun 2013

Rakyat Iran meletakkan harapan baru kepada golongan pembaharuan bagi menjayakan kemajuan negara dan membela kesejahteraan hidup mereka. Pada pilihan raya baru-baru ini, rakyat Iran memilih Hassan Rowhani  sebagai Presiden yang baru menggantikan Mahmoud Ahmadinejad yang telah tamat tempoh kepemimpinannya. Rowhani terkenal di Iran sebagai mewakili golongan pertengahan dan pembaharuan. Sesetengah akhbar di Barat menggelarnya ‘Sheikh Diplomat’ kerana kemahirannya dalam bidang diplomasi terutama ketika sebagai ketua perunding isu nuklear yang membabitkan negaranya dengan negara-negara Barat, sebelum meletakkan jawatan selepas kemenangan Ahmadinejad kerana berbeza pendapat. Pencalonanan Rowhani  sebagai Presiden Iran disokong oleh Akbar Hashemi Rafsanjani dan Mohammad Khatami, dua bekas presiden Iran sebelum ini memang dikenali sebagai tokoh politik beraliran pertengahan dan pendokong agenda pembaharuan ekonomi dan politik di Iran.

 Kemenangan Rowhani banyak didorong oleh faktor dalaman negaranya. Pendekatan kepemimpinan Ahmadinejad yang dilihat bercorak ‘keras’ terutama dalam berdepan dengan negara-negara Barat, mempunyai dokongannya yang tersendiri dari kalangan penduduk Iran. Namun, akhirnya rakyat Iran menyedari iaitu pendekatan tersebut bukan satu-satunya langkah mengatasi kemelut negaranya dengan kuasa Barat. Rakyat Iran menerima realiti geo-politik dunia semasa iaitu sesebuah negara tidak mungkin mampu bersendirian dalam sebuah dunia yang saling bergantungan dan terbuka. Apatah lagi Iran harus berdepan dengan sistem politik dan ekonomi dunia yang masih berpusat di Barat.

Memang, langkah protes terhadap sikap ‘ketidakadilan’ akibat dominasi atau hegemoni Barat terhadap kehidupan dunia yang sering ditunjukkan oleh  Ahmadinejad menerusi tindakan dan ucapannya ada kewajarannya. Namun, sikap atau pendekatan keras tersebut memberikan kesannya yang tersendiri pula terhadap keadaan sosio-ekonomi negararanya. Isu logi nuklear yang menjadi antara titik pertembungan dan pertikaian Iran dengan negara-negara kuasa besar ternyata menuntut pendekatan baru penyelesaiannya.

Pendekatan yang dilakukan sepanjang sedekad lalu telah mengundang bebanan yang berat terhadap Iran. Sekatan ekonomi yang berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu nyata memberi kesan besar terhadap negara dan rakyat. Iran kini berdepan dengan isu ekonomi yang rumit antaranya masalah inflasi dan pengangguran. Nilai mata wang yang makin rendah menambahkan kesulitan yang sedia ada. Rakyat seperti dalam situasi tersepit antara mempertahankan jatidiri negaranya dengan tunduk kepada tekanan kuasa besar atau menanggung beban ekonomi yang bertambah berat yang tentu menjejaskan kualiti kehidupan sosial yang terbaik yang seharusnya diperoleh dari sumber kekayaaan negara yang dimiliki.

Dilema yang berlanjutan ini membawa kepada rakyat Iran membuat keputusan baru memberikan peluang seterusnya kepada golongan pembaharuan pimpinan Rowhani menawarkan pendekatan baru bagi menangani kemelut dan cabaran dihadapi negaranya dalaman dan luaran. Barangkali, pendekatan baru yang bercorak pertengahan dan sederhana boleh memberikan arah dan nafas baru terhadap kedudukan Iran di pentas kehidupan politik dunia dan seterusnya merancakkan semula pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakatnya. Untuk tujuan itu,  pembangunan imej baru Iran di mata dunia dilihat antara keutamaan penting Rowhani.  

Dalam beberapa kenyataan terbaru Rowhani yang banyak dilaporkan oleh akhar antarabangsa, beliau telah menyeru kepada pemulihan hubungan dengan kuasa-kuasa besar di Eropah dan bersedia meneruskan rundingan bagi mencari jalan keluar berkekalan terhadap isu nuklear negaranya. Beberapa pemimpin dunia juga seolah memberikan harapan terhadap pendekatan dialog yang ditunjukkan Rowhani dan mengangap beliau sebagai rakan baru yang boleh didekati.

Sebenarnya, harapan terhadap Rowhani tidak sahaja oleh rakyat Iran dan negara-negara Barat malah juga masyarakat di Asia Barat. Kemenangan Rowhani yang mewakili golongan pertengahan di Iran akan memberi nilai tambah tersendiri terhadap pengukuhan arus pembaharuan di Asia Barat yang kini sedang dalam prosesnya kemajuannya yang rancak. Pengukuhan golongan pembaharuan di Iran tentu sekali akan memberikan kesan berganda terhadap perkembangan politik di Iraq serta terhadap kemelut dalaman yang terjadi di Syria. Dalam banyak analisis, memang diakui Iran mempunyai pengaruh dan kepentingan tersendiri di kedua-dua negara ini. Masyarakat Asia Barat sedang menunggu bentuk sikap atau tabiat pentadbiran yang akan ditunjukkan oleh Rowhani terhadap kedua negara tersebut terutama berhubung konflik di Syria.

Dengan pengukuhan golongan pembaharuan di Iran, perspektif baru terhadap geo-politik Asia Barat dijangka akan lebih bersifat sederhana. Perundingan yang lebih kerap dan mesra dijangka akan berlangsung terutama antara Iran dengan Mesir dan Turki yang merupakan antara dua negara tonggak utama masa kini yang juga diwakili oleh golongan pembaharuan. Sekiranya dinamisme perhubungan ini berlangsung seperti yang dijangka, kita bakal melihat kelahiran wajah baru Asia Barat yang bersifat terbuka, menghormati nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan serta memberi tumpuan kepada agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan serantau.  Wajah baru Asia Barat ini pasti berlainan dengan sebelumnya yang terkenal dengan watak kepemimpinan yang autokratik, tertutup serta sering bermusuhan sesama sendiri demi kepentingan individu dan kelompok yang kecil.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s