POLITIK PEMBANGUNAN MASIH RELEVAN DI KELANTAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 15 Jun 2013

Walaupun wujud pola meluas daripada analisis Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu mengenai dapatan berhubung sikap penerimaan sebahagian besar rakyat terhadap isu politik yang bersifat urban atau kebandaran seperti persoalan pembanterasan rasuah, keterbukaan media dan keseimbangan peluang penyertaan dalam bidang ekonomi, namun ia tidak bermakna isu politik pembangunan sudah tidak relevan.

Di Kelantan misalnya, politik pembangunan bukan saja masih relevan, malah dijangka akan menjadi inti utama wacana politik pada PRU yang akan datang di negeri berkenaan. Dalam penelitian penulis, sekiranya antara kedua-dua parti terbesar di Kelantan hari ini, iaitu UMNO dan PAS dapat menawarkan agenda pembangunan secara meyakinkan kepada penduduk negeri ini dalam tempoh lima tahun ini, salah satu daripada kedua-dua mereka akan menjadi pilihan utama rakyat pada pemilihan akan datang.

Persoalan ini harus dibangkit lebih awal bagi mencetuskan buah fikiran kepada kepemimpinan kedua-dua pihak agar dapat memberikan tumpuan dan penelitian serius terhadap isu pembangunan di Kelantan dalam tempoh terdekat ini. Cetusan awal ini penting bagi membolehkan kedua-dua pihak meletakkan agenda pembangunan sebagai isu utama dalam perancangan kegiatan parti masing-masing. Tentu, kedua-dua pihak kini pada peringkat melakukan muhasabah terhadap pencapaian pada PRU yang lalu serta sedang dalam proses merangka strategi dan gerak kerja baru parti untuk tempoh mendatang. Untuk tujuan itu, isu pembangunan negeri hendaklah dijadikan aspek asasi dalam perancangan kerja yang bakal disusun.

Persoalan pembangunan di Kelantan membabitkan aspek fizikal dan insaniah. Kita harus akui mengenai perkembangan positif pembangunan fizikal di bandar Kota Bharu seperti pembinaan pelbagai ruang pejabat dan perniagaan, misalnya projek pembangunan Lembah Sireh dan Bandar Baru Tunjong. Begitu juga dengan penambahbaikan jambatan Sultan Yahya Petra yang banyak memberi keselesaan dan merancakkan ekonomi rakyat Kelantan.

Sementara projek pembangunan ini terus dijayakan di bandar utama serta di pinggirannya, selepas ini, perancangan pembangunan ekonomi daerah harus diberi perhatian. Kita yakin kedapatan amat banyak ruang perlu dimanfaat bagi tujuan pembangunan di daerah di Kelantan. Keluasan tanah pertanian, sumber asli yang kaya dan persekitaran indah dan menarik harus dieksploitasi bagi tujuan pembangunan dan menggerakkan ekonomi dan kekayaan negeri.

Penekanan aspek pembangunan fizikal ini boleh memberikan kesan secara langsung juga terhadap pembangunan insaniah rakyat tempatan. Pembangunan yang maju tentu akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan terutama generasi muda mudi. Dalam erti kata lain, ia boleh mengatasi isu pengangguran yang sekian lama dibincangkan, pada masa sama, mengurangkan penghijrahan rakyat Kelantan ke negeri lain bagi tujuan mencari pekerjaan. Aspek kesejahteraan ekonomi dan pemakmurannya akan mengatasi pula pelbagai isu sampingan lain seperti masalah kemiskinan, penularan aktiviti penyeludupan dan pengedaran barang bertentangan undang-undang.

Di samping aspek peluang pekerjaan, isu perumahan untuk rakyat miskin harus diberi tumpuan oleh parti politik utama di Kelantan. Tawaran bagi menjamin dan memberi peluang pemilikan rumah selesa kepada penduduk tidak berkemampuan adalah satu bentuk kegiatan politik yang akan menyentuh perasaan dan mengundang sokongan yang meluas rakyat Kelantan hari ini. Aspek perumahan yang selesa ini membabitkan pemilik belum memiliki kediaman sendiri dan juga pemilik rumah berkeadaan daif. Kita amat yakin, sekiranya program khusus bagi membantu masyarakat memiliki rumah sendiri serta menyediakan tabung khusus untuk pemilik rumah yang ingin menambah baik kediaman mereka, rakyat Kelantan tentu menghargai dan mengalu-alukannya.

Pemilikan kediaman selesa kepada penduduk akan memberi kesan berganda pula terhadap kualiti pembangunan insaniah rakyat keseluruhannya. Kediaman selesa adalah asas bagi proses pembangunan nilai kekeluargaan yang seimbang. Kualiti pendidikan pasti juga meningkat kerana anak berpeluang memanfaatkan ruang rumah yang selesa bagi tujuan menelaah pelajaran tanpa gangguan. Ini secara langsung mengurangkan permasalahan sosial yang sentiasa berkembang.

Banyak usaha boleh dilakukan perkumpulan politik Kelantan bagi menangani isu pembangunan di negeri pada masa kini. Langkah pertama yang wajar diutamakan ialah menukar strategi pergerakan parti daripada pendekatan berasaskan sentimen bercorak permusuhan kepada pendekatan politik berasaskan perkhidmatan. Ahli dan kumpulan parti politik harus meneruskan pusat khidmat di kawasan masing-masing bagi mengenal pasti permasalahan rakyat berkaitan pelbagai isu pembangunan.

Permasalahan dikenal pasti itu pula hendaklah dinilai untuk dijadikan panduan ke arah mencari jalan penyelesaian menerusi tawaran dan program politik pembangunan jangka pendek dan panjang. Untuk itu, kegiatan politik bercorak lapangan atau turun padang hendaklah dirancakkan. Bagi calon atau parti politik yang kecundang pada pilihan raya lalu, mereka hendaklah mengatasi kesedihan secepat mungkin dan mula menjalankan khidmat secara tulus tanpa rasa dendam atau menunjukkan sikap merajuk.

This entry was posted in Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s