DIALOG PENYATUAN NASIONAL PERLU DISEGERAKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 1 Jun 2013

Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada ahli Barisan Nasional (BN) supaya bersedia menerima perubahan baru-baru ini adalah sejajar dengan beberapa kenyataan beliau sebelumnya berhubung kepentingan agenda penyatuan nasional dijayakan di negara kita terutama bagi mengatasi isu dan perkembangan politik tempatan pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu. Komitmen ini ditunjukkan secara serius apabila Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan ia antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat parti.

Nampaknya idea penyatuan nasional yang didorong semangat melihat kerukunan kehidupan politik dan sosial yang sihat dan produktif dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia sudah merentasi perbincangan kalangan pelbagai parti. Pada Kongres Nasional PKR, baru-baru ini, Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan keterbukaan pandangan terhadap idea penyatuan nasional apabila mengajak semua pihak bekerjasama dalam menjayakan cita-cita mewujudkan satu iklim politik negara yang sihat berasaskan prinsip demokrasi.

Seruan dan pengucapan politik oleh barisan kepemimpinan parti itu dilihat sebagai isyarat atau petunjuk yang sihat bagi permulaan proses dialog menjayakan penyatuan nasional. Kita yakin pengucapan itu bukan sekadar retorik dan harus diraikan dan dipandang secara positif kerana kepentingannya dalam membina dan membentuk mood atau suasana perdamaian politik selepas PRU-13. Petunjuk ini seolah-olah satu usaha kepemimpinan politik bagi mendorong rakyat untuk mula terbabit secara aktif dalam membina wacana penyatuan nasional.

Dalam konteks bagi mendokong semangat penyatuan nasional yang ditunjukkan ini, saya ingin mencadangkan penganjuran dialog nasional diadakan segera. Ini bagi memastikan suasana atau mood perdamaian politik yang disuburkan menerusi pelbagai seruan dan pengucapan pemimpin politik menjadi arus deras atau gelombang baru kepada peningkatan kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Dalam menganjurkan dialog nasional, ada beberapa pendekatan yang boleh digunakan. Pertama, dialog nasional itu hendaklah dianjurkan kerajaan sendiri. Dalam erti kata lain, kerajaan membuat inisiatif penubuhan sebuah badan atau majlis dialog nasional. Bagi menggerakkannya, individu tertentu yang diterima semua pihak dipilih dan diberi amanah bagi menjalankan tugas perhubungan mengumpulkan pelbagai pihak yang dikenal pasti berkepentingan sebagai peserta dialog.

Pemilihan individu bagi menggerakkan dialog nasional itu hendaklah dilakukan secara berhemah. Mereka boleh terdiri daripada kalangan tokoh agama, ilmuwan, budayawan atau belia yang dilihat bersifat adil dan memiliki hikmah dalam ucapan dan tindakan mereka. Individu ini tentu mesti bersifat objektif, menjiwai semangat patriotisme yang tinggi dan memiliki kualiti integriti yang diakui.

Majlis dialog nasional ini boleh menjadi kumpulan perantara yang berperanan mengenalpasti isu berbangkit mengenai hal ehwal kenegaraan semasa dalam pelbagai aspeknya yang dinamik pada masa kini. Peranan majlis ini juga ialah menilai pelbagai saranan dari pelbagai pihak sama ada daripada kalangan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan terpilih berkenaan langkah terbaik bagi menjayakan penyatuan nasional.

Pendekatan kedua yang boleh digunakan dalam menjayakan dialog nasional ini ialah menerusi inisiatif pihak ketiga. Dalam erti kata lain, majlis itu dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan yang memiliki kewibawaan tersendiri untuk mempertemukan semua pihak dalam satu acara dialog nasional.

Inisiatif ini boleh dilakukan secara muafakat oleh badan ilmiah, agama, bahasa, kebudayaan dan belia di negara kita. Sekiranya pendekatan ini dipersetujui semua, maka semua pihak harus memberi pengiktirafan kepada badan ketiga yang diwujudkan ini menghormati peranan mereka sebagai penganjur dialog nasional.

Kedua-dua pendekatan itu adalah praktikal dan saya yakin ia boleh dijayakan sekiranya usaha bagi proses penyatuan nasional dilakukan secara telus demi kepentingan negara yang menyeluruh. Dasar dan prinsip penyatuan nasional harus diatur secara jelas dan dipersetujui semua pihak. Pendekatan dan adab dialog hendaklah dihormati oleh semua peserta dialog nasional yang terpilih.

Sementara inisiatif dan langkah menjayakan dialog nasional ini berlangsung, adalah wajar semua pihak menyumbang idea dan tindakan ke arah memastikan suasana atau mood penyatuan nasional terus dipupuk dan dikembangkan dalam setiap ruang yang wujud sama ada politik, sosial dan kebudayaan

This entry was posted in Budaya, Dialog Peradaban, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s