AGENDA PEMBANGUNAN ISLAM PERLU TERUS DIPERKASA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 25 Mei 2013

Agenda memperkasa pembangunan Islam di Malaysia harus terus dijayakan oleh kerajaan hari ini. Sebagai pemerintah di sebuah negara Islam, agenda ini merupakan satu keutamaan yang paling asasi. Proses pemerkasaan pembangunan Islam di negara kita secara hakikatnya sudah berlangsung sekian lama. Ia boleh dijejaki semenjak agama Islam mula tiba ke rantau alam Melayu ini. Peranan pemerkasaannya diperingkat seawal itu dimainkan oleh para ilmuwan atau ulama menerusi kegiatan pendakwahan mereka. Peranan para ulama ini amat besar terutama dalam menanam benih-benih kepercayaan dan kesedaran baru berteraskan pandangan wahyu dalam pemikiran dan amalan kehidupan masyarakat.

Pada tingkat tempoh selanjutnya, agenda pemerkasaan agama dilakukan menerusi struktur kesultanan setelah seruan dakwah diterima secara meluas oleh Raja-Raja Melayu. Sumbangan kesultanan Melayu dalam memperkasa agenda pembangunan Islam amat terserlah. Ini tergambar dalam pembukuan undang-undang seperti Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang dilaksanakan bagi mengatur kehidupan masyarakat. Semangat dan nilai keadilan agama yang terkandung di dalam kanun itu menjadi paksi pemerintahan dan tatasusila masyarakat secara menyeluruh di segenap tanah jajahan takluk kesultanan Melayu.

Namun, perkembangan agenda pemerkasaan agama ini terbantut akibat takdir sejarah setelah berlangsung era penjajahan Eropah di rantau ini. Usaha murni pembangunan Islam hasil sinergi akrab Raja dan ulama dihambat oleh pelbagai kisah penentangan dalaman dan pertembungan fahaman pemerintahan dengan penjajah yang menakluk. Dalam satu tempoh yang lama, sinergi Raja dan ulama tidak tergabung secara intim dalam pemerintahan dan kehidupan. Pada tempoh tersebut, ulama dan institusinya yang berpengaruh tidak lagi berada di arus perdana pemerintahan atau terpinggir dari lingkungan pusat kekuasaan negara.

Aspek gandingan dan jalinan raja atau pemerintah dengan ulama dalam agenda pemerkasaan pembangunan Islam di Malaysia adalah unsur asasi yang harus diberi perhatian dalam proses memartabatkan agama di negara ini. Sebarang bentuk perseteruan antara dua paksi ini tentu merencatkan pembangunan agama dan ummah secara keseluruhan.

Dalam dekad-dekad selepas kemerdekaan, kesedaran tentang kepentingan gandingan bukan satu pengentahuan yang terselindung. Syukur halangan penjajahan yang diatasi telah membolehkan jalinan akrab pemerintah dan ulama kembali diperkukuh semula. Pelbagai ruang telah dibuka bagi merancakkan kerjasama ini samada menerusi saluran pentadbiran atau perundingan. Sebarang langkah lanjut yang difikir sesuai dan wajar pada masa kini perlu diusahakan bagi memastikan peranan pemerintah dan ulama berada tahap keseimbangan yang produktif. Sekiranya terdapat penemuan yang menunjukkan kedua pihak ini berada dalam situasi yang tidak serasi, usaha penjalinannya mesti diusahakan demi kemaslahatan umum negara dan ummah.

Di samping  kepentingan langkah meningkatkan hubungan dan peranan pemerintah dan ulama ini, aspek lain  yang harus diberi penekanan ialah pengenalan dasar pembangunan Islam yang didokong oleh semua pihak yang berkepentingan.  Kita ingin menganjurkan supaya satu dasar pembangunan Islam digubal dan diperkenalkan di era kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.  Dasar ini harus mengandungi semangat perjuangan masa lalu, gabungan pengalaman dasar yang telah diperkenalkan serta penambahan ciri-ciri baru sejajar dengan perkembangan masyarakat Muslim semasa hari ini.

Beberapa ciri berikut harus diberi perhatian dalam dasar pembangunan Islam di negara kita nanti. Pertama, penjelasan visi dan misi yang ingin dicapai dalam tempoh beberapa dekad akan datang di negara kita.  Ia membabitkan aspek pengupayaan masyarakat Muslim dari segi pendidikan, ekonomi dan kebajikan. Juga berkenaan pembangunan syiar Islam dari segi kepercayaan, ibadah, simbol dan kebudayaan. Pembangunan institusi Islam secara lebih kukuh dan menyeluruh juga hendaklah ditekankan di samping kepentingan aspek penambahbaikan bidang penyelarasan pentadbiran di peringkat negeri dan pusat hendaklah diatasi secara khusus. Aspek lain yang penting ialah membabitkan isu peningkatan taraf profesionalisme para pengawai di bidang keagamaan dari segi keterampilan, penjawatan dan imbuhan.

Ciri kedua dasar pembangunan Islam ini hendaklah menumpu kepada usaha pengukuhan pemuafakatan dan pengupayaan pertubuhan sukarelawan Islam di seluruh negara. Memandangkan kesedaran tentang kepentingan dakwah telah tumbuh dan berkembang pesat, ia telah merangsang penglibatan pelbagai elemen di peringkat individu dan perkumpulan masyarakat dalam proses menjayakannya. Kelahiran pelbagai pertubuhan sukarelawan Islam perlu diraikan penyertaan mereka dan diberikan dokongan oleh para pemerintah.

Manakala ciri ketiga dasar pembangunan Islam harus menekankan aspek penerapan prinsip dan nilai agama Islam yang syumul dalam sistem pemerintahan dan kehidupan. Pada tahap kematangan baru terhadap agama yang sedang tumbuh kini, pembangunan Islam tidak lagi dinilai dari aspek fizikalnya sahaja seperti penyediaan tempat ibadah yang selesa, institusi kehakiman dan saluran media yang berciri Islam. Penilaian terhadap komitmen keagamaan juga dipandang dari segi penghayatan pengamalannya. Pentadbiran yang cekap dan amanah, sistem pendidikan berteraskan pembangunan akhlak, pengangkutan awam yang selesa dan tepat, penguatkuasa yang mesra , adil dan tegas, pentadbir yang merendah diri serta para pemimpin yang berkebajikan adalah contoh nilai-nilai Islam yang harus diberi penonjolan dan pemerkasaan berterusan.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s