PENYATUAN NASIONAL MENERUSI PENDEKATAN DIALOG

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 18 Mei 2013

Keutamaan asasi barisan kepemimpinan negara yang baru dilantik ialah menjayakan agenda penyatuan nasional. Keutamaan agenda itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan harus didukung semua pihak. Sesungguhnya, ia amat mustahak dijayakan dengan kadar segera memandangkan kesan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelihatan masih belum reda walaupun sudah beberapa minggu ia berlalu.

Ada tiga bentuk keutamaan yang harus diberi perhatian dalam menjayakan agenda penyatuan nasional ini. Pertama, kepentingan persoalan keretakan persefahaman dan kelunturan semangat muhibah antara kaum ditautkan kembali. Hal ini diteliti antara kesan paling tertonjol akibat PRU-13 yang lalu.

Kelemahan sesetengah pihak yang menggunakan isu kaum sebagai bahan kempen meraih sokongan dan mendapatkan laba politik menyumbang kesan yang tersendiri. Tuduh menuduh dan sikap buruk sangka antara satu dengan lain yang dibangkitkan sepanjang musim pilihan raya lalu dilihat menjarakkan perhubungan dan menajamkan lagi jurang prejudis antara penduduk berbilang bangsa di negara kita.

Realiti ini harus ditangani secara berhemah, sederhana dan tegas. Tentu perbuatan dan percakapan mengandungi elemen yang boleh membawa kepada salah faham antara kaum hendaklah dihentikan, terutama dari kalangan pimpinan yang sentiasa mendapat perhatian media. Kepemimpinan harus berwaspada dalam ucapan dan tindakan serta harus sentiasa dilihat mendorong elemen positif berhubung perkara ini bukan sebaliknya. Manakala langkah penguatkuasaan secara tegas terhadap sesiapa saja yang secara sengaja cuba menimbulkan kekeruhan hubungan kaum hendaklah diambil tindakan undang-undang.

Bentuk keutamaan kedua yang perlu ditekankan bagi menjayakan agenda penyatuan nasional ialah penegasan komitmen pihak kepemimpinan pada peringkat persekutuan untuk memastikan dasar pembangunan yang saksama dan adil kepada seluruh negeri. Prinsip federalisme yang menjadi kerangka perhubungan antara kerajaan negeri dan Pusat hendaklah sama-sama dihormati.

Isu berbangkit sebelum ini seperti tuntutan royalti petroleum atau penyaluran peruntukan pembangunan Persekutuan kepada negeri yang diperintah pembangkang hendaklah diatasi dan dirangka bagi memastikan tidak timbul lagi perasaan tidak puas hati antara negeri dan Pusat. Selagi aspek ini tidak diatasi secara objektif dan berhemah, elemen penentangan akan terus berkembang dan ia tentu merencatkan usaha dan agenda penyatuan nasional secara bermakna.

Manakala bentuk keutamaan ketiga ialah dari segi menampilkan sikap dan pendekatan terbuka dalam menerima apa juga teguran dan kritikan oleh segenap lapisan masyarakat. Istilah ‘kerajaan tahu segala-galanya’ hendaklah dikikis dalam kadar segera. Keadaan negara kita yang sudah berkembang pesat sudah melahirkan lapisan masyarakat yang bersifat kritikal. Ia sejajar dengan perkembangan ilmu dan maklumat yang tumbuh di sekeliling mereka.

Dalam erti kata lain, ruang bagi penyertaan rakyat terbanyak dalam proses pembangunan negara hendaklah dibuka seluasnya. Ia boleh dijayakan menerusi proses keterbukaan yang bermula pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sehinggalah ke peringkat kerajaan negeri dan Pusat.

Pengukuhan peranan perkumpulan masyarakat madani atau sivil pada segenap peringkat dan mengalukan penyertaan mereka secara terhormat menerusi pelbagai saluran institusi atau agensi kerajaan adalah antara jalan keluar penting bagi meraikan penyertaan masyarakat dalam pembangunan.

Penyertaan secara meluas ini tentu akan meredakan penentangan dan ia tentu menjadi faktor positif ke arah peningkatan hubungan dan kebolehpercayaan bagi menjayakan agenda penyatuan nasional yang lebih menyeluruh.

Apakah pendekatan harus digunapakai bagi menjayakan agenda penyatuan nasional ini? Dialog ialah wasilah yang paling berkesan pada masa kini. Pendekatan ini menuntut sikap terbuka dan objektif mengatasi pelbagai persoalan yang berkembang. Dialog dalam pembangunan negara menuntut pemimpin segenap peringkat, terutama pegawai kerajaan untuk mengamalkan kegiatan ‘turun padang’ secara lebih berjadual dan lebih kerap.

Proses dialog langsung ini akan mengatasi halangan birokrasi yang juga antara punca yang menimbulkan rasa tidak puas hati atau kecewa rakyat bawahan terhadap kepemimpinan sebelum ini. Dalam konteks semasa, dialog segera yang perlu diberi tumpuan ialah mengatasi isu berbangkit selepas PRU-13 yang lalu. Pelbagai persoalan yang diutarakan berhubung amalan PRU-13 yang lalu hendaklah diteliti secara objektif. Sikap cuba meremehkan kritikan adalah langkah yang tidak menepati semangat dialog. Ia boleh menimbulkan rasa dan sikap kecewa yang akan membawa kepada penentangan berpanjangan.

Kekecewaan berterusan segenap peringkat masyarakat sekiranya tidak diatasi secara berhemah akan menjadi faktor penghalang kepada cita-cita penyatuan nasional yang kita dambakan. Ayuh rapatkan saf dan bersatu menjayakan penyatuan nasional demi kesejahteraan dan kemajuan negara tercinta.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s