MEMAHAMI POLA KECENDERUNGAN PENGUNDIAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan oleh Berita Harian, 27 April 2013

Penganalisis politik menemui tiga pola utama kecenderungan pengundian rakyat Malaysia pada setiap musim pilihan raya umum. Pola pertama ialah kecenderungan memilih parti politik. Kecenderungan ini boleh dikategorikan sebagai kelompok yang bersikap ideal dalam berpolitik. Pola ini amat besar dan berpengaruh. Ia adalah penentu kemenangan sesebuah parti yang bertanding.

Kecenderungan ini lahir daripada pemikiran yang menanggapi kegiatan berpolitik sebagai satu kegiatan berkumpulan atau berjemaah. Agenda dan cita-cita besar politik tidak akan dapat direncanakan dalam bentuk dasar dan amalan tanpa dukungan dan sokongan secara berkumpulan.

Apatah lagi dalam konteks amalan demokrasi moden hari ini. Ketua negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong hanya akan memberikan izin penubuhan kerajaan kepada parti yang mendapat persetujuan umum atau majoriti. Bagaimana ketua negara akan menentukan parti yang mana mendapat persetujuan umum? Ia berasaskan jumlah perolehan atau kemenangan yang dicapai oleh sesebuah parti dalam proses pilihan raya yang sudah dijalankan.

Oleh itu, pemilihan parti harus lebih diutamakan berbanding faktor yang lain bagi memastikan perkumpulan atau jemaah politik yang didukung memperoleh keabsahan kepemimpinan secara meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan.

Pola kedua ialah kecenderungan bagi memilih calon berbanding parti politik. Kecenderungan ini lahir dari pandangan yang melihat politik sebagai wasilah bagi menjalankan perkhidmatan setempat. Kelompok ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang pragmatis. Kebergantungan mereka kepada calon melebihi kepada parti politik.

Pada mereka, calon yang berkesan dalam menjalankan perkhidmatannya, memiliki kualiti ilmu dan pentadbiran serta bersikap mesra dan senang dihubungi lebih diperlukan demi kebaikan masyarakat setempat. Kecenderungan ini amat berpengaruh juga. Dalam sejarah pengundian di Malaysia, pola ini tergambar secara jelas dalam kemenangan calon yang bertanding di atas tiket parti Bebas. Ini menunjukkan sebahagian rakyat akan memberikan keutamaan dan peluang kepada calon yang mampu memenuhi inspirasi dan imaginasi mereka sebagai wakil rakyat yang baik dan berkualiti.

Kebiasaannya, rekod perkhidmatan yang baik, hubungan kekeluargaan yang akrab serta kualiti ilmu dan akhlak seseorang calon itu adalah antara faktor yang mendorong kelahiran pola kecenderungan ini.

Pola ketiga pula ialah kecenderungan yang tidak memihak kepada parti atau calon tetapi berasaskan penilaian bagi memenuhi kepentingan dan keperluan politik setempat dan nasional secara menyeluruh. Kecenderungan politik ini sering dirujuk sebagai pola bercorak strategik. Pola ini lahir daripada tanggapan mengenai kepentingan mewujudkan keseimbangan dalam sistem dan amalan politik negara.

Pada pandangan pola ini, sesebuah parti tidak boleh diberikan kelebihan politik secara keterlaluan kerana ia akan membawa kepada monopoli yang tidak sihat. Oleh itu, realiti politik yang saling mengimbangi antara parti politik penting diwujudkan.

Pola ini sering didorong oleh perkumpulan rakyat yang tidak berparti tetapi memiliki kesedaran dan kematangan politik yang tersendiri. Pola kecenderungan politik ini tergambar dalam kemenangan calon secara tidak sekata dari segi parti di sesebuah kawasan Parlimen. Misalnya, ada rekod pengundian yang mana calon daripada parti tertentu kalah dalam pertandingan pada peringkat Dewan Undangan Negeri tetapi menang pula pada peringkat Parlimen. Begitu juga sebaliknya.

Hasil pengundian berbentuk ini didorong oleh kecenderungan yang dibentuk oleh pola politik ketiga ini. Mewujudkan keseimbangan demokrasi adalah keutamaan terpenting dalam pengundian. Oleh itu, tindakan politik yang perlu dilakukan ialah memberikan undi yang berbeza kepada calon dan parti yang bertanding pada peringkat DUN dan Parlimen.

Baru-baru ini, terjadi debat yang meluas mengenai apakah bentuk pola pengundian yang harus diutamakan oleh masyarakat Muslim di Malaysia pada pilihan raya kali ini. Ada satu perkumpulan politik yang menganjurkan supaya calon yang berwibawa diutamakan dan tidak melihat kepada parti yang diwakilinya. Alasannya demi memastikan jumlah Ahli Parlimen daripada kalangan Muslim lebih ramai dan ini akan dapat menjamin kepentingan agama dan ummah terpelihara di negara ini. Pandangan ini disanggah oleh pendapat yang melihat keutamaan pada masa kini harus diberikan kepada parti berbanding calon. Alasannya, isu kewibawaan calon suatu yang bersifat subjektif atau terdedah kepada penilaian yang pelbagai

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s