KERJASAMA AGAMA DAN NEGARA REALISASI POLITIK ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 16 Mac 2013

Sarjana Muslim mendapati masih ramai kalangan masyarakat yang keliru mengenai cita-cita dan tujuan politik Islam. Kekeliruan ini terjadi antaranya kerana dipengaruhi oleh perkembangan pemikiran yang bercorak dualisme dalam wacana kenegaraan di dunia Islam. Agama dan negara daripada perspektif dualisme berada dalam dua ruang berlainan dan kedua-duanya tiada perkaitan. Justeru, perbahasan mengenai politik Islam ditanggapi sebagai sesuatu yang tidak relevan dalam konteks diskusi kenegaraan semasa.

Kekeliruan terhadap peranan dan kedudukan politik Islam masa kini mendorong sarjana Muslim menjelaskan hakikat cita-cita dan tujuan politik Islam. Penjelasan ini antara lain bertujuan bagi membetulkan salah faham dan kekeliruan ini. Menurut mereka, cita-cita dan tujuan politik Islam luhur dan mulia yang mana ia merentasi tujuan kebendaan dan lahiriah kehidupan ini. Kekuasaan dalam bidang pemerintahan pada peringkat kenegaraan, serantau dan antarabangsa yang dicapai menerusi wasilah politik adalah langkah atau wadah bagi melengkapi tujuannya yang lebih tinggi, iaitu meninggikan syiar agama di muka bumi dan mengembangkan risalah dakwah secara lebih meluas ke seluruh alam. Cita-cita dan tujuan ini adalah sebuah misi bagi merealisasikan risalah kerahmatan Ilahi dalam seluruh bidang kemanusiaan dan ketamadunan manusia yang luas ini.

Bagaimanakah cita-cita luhur politik Islam ini boleh dijayakan? Seorang sarjana Muslim, Mustafa As-Sibaie dalam karyanya Agama dan Negara berpendapat, ia boleh direalisasikan sekiranya kedudukan dan peranan agama dan negara berada pada tahap kerjasama dan kesalingan hubungan yang akrab dan intim. Pertembungan agama dan negara merencatkan proses menjayakan cita-cita dan tujuan politik Islam ini.

Pada perspektif Mustafa, cita-cita bagi mencapai kekuasaan dan pemerintahan menerusi wasilah politik Islam ialah demi membangunkan negara dan peradaban terbina di atas sendi dan prinsip utama agama yang dipecahkan kepada empat teras iaitu akidah, ibadah, adab dan undang-undang. Untuk itu, kerjasama antara agama dan negara menjadi suatu keperluan asasi kerana ia secara langsung mendorong kelahiran sebuah sistem kehidupan di mana segenap dimensi ketamadunannya tersandar pada dasar ketaatan, pengabdian, kesopanan dan kesusilaan, keadilan, persamaan, kemudahan dan kemaslahatan.

Berkenaan kepentingan mewujudkan kerjasama agama dan negara sebagai wahana bagi merealisasikan cita-cita dan tujuan politik Islam, diskusinya juga tergambar menerusi pendapat Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya Fiqh Kenegaraan. Beliau menjelaskan, iaitu kekuasaan negara adalah suatu yang amat didambakan oleh dakwah masa kini dan diperlukan demi untuk melindungi agama Islam itu sendiri.

Menurut al-Qaradhawi, menerusi pendirian sebuah negara yang dilandasi oleh perlakuan dan pengamalan politik yang dipandu oleh prinsip dan nilai agama luhur, ia mendorong kelahiran sebuah negara yang menjadikan risalah Islam sebagai teras akidah dan sistemnya, asas bagi ibadah dan akhlaknya serta petunjuk bagi kehidupan dan tamadunnya. Inilah negara yang dapat meluruskan kehidupan rohani dan jasmani manusia berasaskan risalah yang universal.

Kedua-dua pandangan sarjana Muslim ini memberi penegasan, iaitu perjuangan politik Islam pada masa kini harus bertumpu kepada usaha mewujudkan kesalingan hubungan dan kerjasama utuh antara agama dan negara. Kesepaduan hubungan agama dan negara akan memenuhi maksud tertinggi kegiatan politik Islam, iaitu sebagai wadah bagi meninggikan syiar agama dan kebenaran di muka bumi ini. Ia juga secara langsung membetulkan kekeliruan dan salah faham terhadap peranan dan kedudukan politik Islam yang dilihat tidak relevan dan sesuai dalam wacana kenegaraan semasa seterusnya mengatasi kesan yang berlaku akibat keterpisahan antara agama dan negara dalam amalan pemerintahan dan kekuasaan di dunia Islam semasa.

Realiti keterpisahan agama dan negara dalam kehidupan masyarakat Muslim bukan bayangan yang direka. Ia boleh dikesan dalam banyak medan dan fenomena membabitkan kehidupan politik, sosial dan ekonomi masyarakat Islam hari ini. Penularan perbuatan salah guna kuasa dan rasuah dalam kehidupan bernegara, perbezaan jurang ekonomi yang tinggi antara golongan berada dan miskin, peluang pendidikan terhad serta berleluasa gejala sosial dalam kehidupan masyarakat adalah antara contoh berkenaan realiti keterpisahan hubungan agama dan negara dalam kehidupan Muslim. Realiti keterpisahan membawa kesan kemunduran dan kejatuhan maruah ketamadunan dunia Islam yang parah di pentas peradaban dunia masa kini.

Untuk itu, agenda mewujudkan kerjasama agama dan negara menerusi wasilah politik Islam menjadi tuntutan penting kepada seluruh masyarakat Islam. Kini ruang bagi merealisasikan cita-cita politik Islam bertambah terbuka apabila sebahagian besar negara Islam sudah menerima demokrasi sebagai prasarana kekuasaan dan pemerintahan. Corak kepemimpinan mutlak oleh seorang pemimpin atau kumpulan kini ditolak. Penerimaan terhadap sistem demokrasi membuka peluang kepada seluruh warga Muslim untuk terbabit dalam menjayakan model politik Islam yang memberi penekanan terhadap cita-cita mewujudkan kesatuan dan kesepaduan hubungan antara agama dan negara dalam seluruh dimensi kekuasaan dan pemerintahan yang luas dan rencam pada hari ini

This entry was posted in Dakwah, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s