CABARAN JAMIN KESTABILAN GEOPOLITIK ASEAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 9 Mac 2013

Peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh sekumpulan warga Filipina mengundang banyak pengertian dan tafsiran. Satu daripadanya ialah betapa persoalan kestabilan geopolitik rantau ASEAN masih belum reda dan berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman. Pencerobohan itu adalah satu daripada beberapa bentuk ancaman baru yang muncul dalam konteks perkembangan rantau ini di era semasa.

Sebelum peristiwa pencerobohan itu berlaku, kepemimpinan ASEAN menangani beberapa isu keselamatan dan kestabilan rantau yang wujud sekian lama dan yang muncul pada masa kini. Konflik di Selatan Thailand dan Mindanao di Selatan Filipina serta isu etnik Rohingya di Myanmar adalah antara isu sejarah masa lalu yang berlarutan dan sedang ditangani. Manakala, isu mutakhir pula berkaitan dengan perkembangan sosiopolitik dunia seperti kewujudan kumpulan ekstrem serta isu pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia.

Menurut sumber berita, motif pencerobohan Lahad Datu dikatakan berhubung kait dengan cita-cita menuntut hak ke atas Sabah. Sekiranya andaian itu benar, ia bererti kepemimpinan ASEAN harus berdepan dengan satu lagi isu tuntutan sejarah lalu yang dilakukan menerusi keganasan. Dari perspektif rakyat Malaysia, perbuatan ganas itu adalah sesuatu yang amat mendukacitakan. Hubungan keturunan dan keagamaan antara keturunan Sulu dan Melayu di negara ini seharusnya menjadi satu sandaran kukuh yang boleh mengelakkan kedua-dua pihak terjebak dalam konflik berdarah. Namun, harapan sedemikian nampaknya sia-sia. Dorongan dan kepentingan tertentu di dunia ini tidak mampu mempertahankan ikatan persaudaraan agama dan bangsa yang terjalin sekian lama.

Dalam situasi sekarang, ruang dialog bagi mencari penyelesaian bersandarkan semangat persaudaraan menjadi tipis. Ia perlu ditangani kepemimpinan ASEAN berasaskan peraturan dan perundangan antarabangsa yang sudah disepakati sekian lama. Kita mengalu-alukan kebijaksanaan yang ditunjukkan kepemimpinan Filipina dalam mendepani krisis itu. Ia menunjukkan kepemimpinan Filipina memahami realiti geopolitik semasa di rantau hari ini dan tidak terikut-ikut dengan fikiran pendek sekumpulan kecil warganya cuba mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.

Realiti pergolakan baru ini memberi petunjuk bahawa isu keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN tidak boleh dipandang mudah. Banyak lagi isu berkaitan ini dijangka muncul pada masa depan yang memerlukan kebijaksanaan tinggi semua pihak. Untuk itu, prinsip dan semangat kerjasama ASEAN harus dipertegaskan semula dan dihayati oleh segenap komuniti.

Hal ini mustahak diberi perhatian kerana ketidakstabilan keselamatan menjadi hambatan besar kepada kesejahteraan hidup Komuniti ASEAN keseluruhannya. Ia boleh menggugat pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan di rantau ini serta menghalang proses kerjasama politik dan sosial yang lebih intim dan akrab pada masa depan.

Kepentingan menangani isu keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN juga berkaitan dengan keperluan untuk kita menutup kelemahan yang boleh dijadikan peluang eksploitasi oleh pihak yang bercita-cita melihat rantau ini bergolak. Bagi pihak ini, rantau ASEAN yang bergolak memberi peluang kepada mereka mengambil kesempatan terhadap sumber ekonominya. Dalam konteks sosioekonomi di sebelah utara Borneo ini, kekayaan sumber semula jadinya sentiasa menjadi tarikan dan perhatian pihak yang berkepentingan.

Dari segi percaturan politik dan ekonomi dunia pula, ketidakstabilan keselamatan ASEAN akan merencatkan agenda pembangunan rantau ini sebagai komuniti perdagangan baru yang menyerlah. Sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan memenuhi tujuan tersirat sesetengah pihak yang sentiasa cemburu dan iri hati terhadap perkembangan positif di rantau ini.

Kita menyeru masyarakat Muslim di Selatan Filipina supaya lebih bijaksana dan berhemah dalam mendepani apa juga isu berkaitan keselamatan rantau ASEAN. Ini penting supaya mereka tidak terjebak dalam percaturan pihak berkepentingan yang ingin melihat rantau ini bergolak. Sikap bijaksana dan berhemah akan mengelak mereka daripada diperalatkan pihak berkenaan.

Dalam era moden masa kini, persaudaraan agama dan ikatan serumpun Komuniti ASEAN adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan oleh semua pihak. Penyelesaian dalam apa juga isu dan persoalan masa lalu dan masa kini seharusnya diusahakan menerusi perundingan dan permuafakatan berasaskan prinsip perundangan yang sudah disepakati masyarakat antarabangsa.

Malaysia dalam konteks ini berhak mempertahan kedaulatannya. Justeru, seruan kita demi memelihara kestabilan dan keselamatan rantau ASEAN yang kukuh di masa depan, penceroboh di Lahad Datu perlu meletakkan senjata dan menyerah diri secara sukarela tanpa syarat kepada pihak berkuasa Malaysia.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s