TANGGUNGJAWAB MENGUNDI TUGAS KENEGARAAN MESTI DITUNAIKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 3 Mac 2013

Banyak kewajipan yang harus kita sempurnakan dalam kehidupan ini. Antaranya ialah tanggungjawab kenegaraan. Dari sudut pandangan Islam, tanggungjawab kenegaraan adalah sebahagian daripada aspek penting yang menyempurnakan proses pengabdian diri seorang Muslim di sisi Allah SWT.

Pandangan ini sejajar dengan pengertian agama, iaitu sistem atau cara hidup yang syumul atau menyeluruh. Dalam kata lain, manifestasi pengabdian seorang Muslim terhadap Penciptanya bukan terhad dalam aspek melaksanakan ibadah khusus seperti menyempurnakan perintah bersolat dan berpuasa, malah ia juga meliputi tugas dan tanggungjawab memelihara kesejahteraan hidup bermasyarakat serta menjayakan agenda kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai bidang kehidupan bernegara.

Asas keagamaan yang menyeru penganut Islam menyempurnakan tanggungjawab kenegaraan ini tergambar dalam banyak seruan al-Quran dan al-Sunnah. Misalnya, perintah al-Quran mengenai kewajipan setiap Muslim terbabit dalam menyeru kepada usaha kebaikan (al-amru bi al-maaruf) dan mengekang kegiatan yang boleh membawa masyarakat kepada kerosakan (al-nahyu an al-mungkar) adalah gambaran mengenai tanggungjawab kenegaraan seorang Muslim, terutama dari aspek menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat dalam keadaan terpelihara.

Bagi memastikan kehidupan berpolitik sentiasa utuh dan maju pula, seruan agama tergambar dalam perintah al-Quran yang menyeru setiap Muslim bersama-sama terbabit dalam menegakkan prinsip dan amalan syura pada segenap peringkat urusan dan amalan kenegaraan. Seruan keagamaan mengenai tanggungjawab kenegaraan ini juga ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam banyak hadis dan amalan Baginda.

Tentu kita pernah berbicara mengenai sabda yang menyeru setiap Muslim agar terbabit mencegah kerosakan daripada berleluasa dalam kehidupan ini menerusi apa juga keupayaan yang dimiliki walaupun barangkali hanya dengan bantahan menerusi hati dan perasaannya. Banyak rakaman hadis juga menunjukkan Nabi Muhammad sentiasa meminta pandangan dan pendapat sahabat Baginda sebelum memutuskan urusan penting kenegaraan seperti mana diberitakan dalam kisah persediaan bagi mendepani serangan musuh ketika peristiwa peperangan Uhud. Semua seruan dan pengalaman sirah ini menjelaskan mengenai tuntutan setiap Muslim untuk sama-sama terbabit dalam menjayakan urusan kenegaraan meliputi segenap aspek keperluan dan kepentingannya.

Huraian mengenai kefahaman asas berhubung tanggungjawab kenegaraan ini penting dibincangkan pada hari ini memandangkan negara kita akan melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi. Sesungguhnya, kita berasa amat sedih apabila rekod mendapati masih terdapat ramai mereka yang layak tidak mendaftar sebagai pengundi pada pilihan raya kali ini. Kebanyakan mereka adalah dalam kalangan umat Islam.

Rekod ini amat membimbangkan. Ia menjadi gambaran yang menjelaskan masih ramai lagi ahli masyarakat yang tidak memahami dan menghayati tanggungjawab kenegaraan. Sikap tidak peduli ini adalah jelmaan kejahilan mereka mengenai pengertian ibadah dari kaca mata Islam. Mereka seolah-olah tidak berasa bersalah dengan perbuatan tidak mengambil peduli itu. Sedangkan secara hakikatnya, sikap dan perlakuan itu menjejaskan nilai dan kualiti pengabdian diri seseorang terhadap tuntutan dan perintah agamanya.

Pada pandangan ramai sarjana Muslim hari ini, pembabitan dalam menjayakan amalan demokrasi terutama dari aspek penyertaan dalam membuat pemilihan kepemimpinan negara adalah memenuhi sebahagian besar prinsip dan semangat syura yang dianjurkan agama. Dalam kata lain, bagi seseorang Muslim, penyertaan mereka dalam pilihan raya bukan bertentangan dengan ajaran agama. Medan demokrasi ini adalah prasarana dan peluang paling sesuai buat masa kini bagi setiap Muslim menyempurnakan tanggungjawab kenegaraan mereka seperti yang dituntut oleh agama. 

Kita juga harus memahami, iaitu menjayakan tanggungjawab kenegaraan menerusi medan demokrasi tidak bererti ia hanya membabitkan peranan kita untuk hadir dan mengundi pada hari pilihan raya semata-mata. Mengundi hanyalah satu daripada tugas dan peranannya. Hakikatnya, banyak lagi tugas dan peranan lain yang perlu disempurnakan dalam menjayakan tanggungjawab kenegaraan menerusi medan demokrasi.

Antaranya mempersiapkan diri dengan pelbagai maklumat daripada sumber sahih, terutama dalam memahami dan menganalisis pelbagai tawaran politik yang dikemukakan oleh pelakunya yang terdiri daripada individu dan kumpulan.

Dalam tempoh terdekat, peranan kita sebagai rakyat atau pemilih ialah meneliti manifesto parti yang bertanding. Penelitian akan membolehkan kita membuat bandingan dan penilaian dari segi kebaikan dan keburukan kepada negara. Selepas itu, penelitian harus bertumpu kepada pemimpin yang menawarkan diri pada pilihan raya. Kewibawaan, ketrampilan dan integriti mereka perlu menjadi asas penilaian utama sebelum sebarang pemilihan dilakukan.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s