TUMPU PEMBANGUNAN POLITIK MASA DEPAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Beberapa bulan akan datang sehingga bulan Mac 2013 merupakan tempoh yang kritikal kepada pertubuhan-pertubuhan politik di negara kita. Sepanjang tempoh ini, rakyat terbanyak akan memberi tumpuan khusus membuat penilaian terbaik terhadap parti-parti politik yang bakal mereka pilih pada pilihan raya umum ke 13 akan datang. Parti-parti politik harus benar-benar memanafaatkan tempoh kritikal ini dengan meningkatkan tahap perhubungan atau komunikasi terbaik dengan rakyat terbanyak terutama menjelaskan agenda pembangunan politik negara masa depan.

Parti-parti politik harus sentiasa sedar iaitu pembangunan politik di negara ini berkembang serentak dengan proses perkembangan politik di seluruh dunia. Keadaan dunia kita kini yang bersifat global memberi kesan tersendiri terhadap perkembangan pemikiran politik di negara kita secara langsung juga. Istilah ‘politik baru’ yang sering digunakan dalam wacana politik semasa adalah suatu realiti bagi menjelaskan peralihan penekanan dan tumpuan pemikiran masyarakat dalam membuat penilaian mereka terhadap sesebuah parti politik yang berpartisipasi dalam pilihanraya. Wacana politik baru dari satu sudut boleh difahami sebagai perbahasan tentang fenomena peningkatan kematangan politik rakyat pada masa kini yang dilihat berbeza dengan cara atau corak berfikir mereka pada beberapa dekad yang lalu. Politik baru juga ditanggap sebagai perbahasan tentang perubahan tanggapan, pandangan, naluri dan selera politik rakyat hari ini terhadap hal ehwal politik di persekitaran mereka.

Pada jangkaan banyak pengalisis, parti-parti politik yang akan bertahan di era politik baru ialah yang berupaya menawarkan produk-produk politik yang sejajar dengan perubahan dan kematangan rakyat terbayak hari ini. Produk-produk politik ini harus bersifat menyeluruh meliputi tawaran dalam bentuk dasar, kepimpinan, pendekatan dan nilai yang ingin dibawakan oleh setiap parti politik sekiranya mereka dipilih oleh rakyat. Pada pandangan kita, parti-parti politik yang dapat menyediakan tawaran politik yang menyakinkan terutama dalam menjamin kesejahteraan hidup mereka serta mampu menunjukkan dengan jelas peluang yang cerah tentang agenda pembangunan politik negara masa depan, akan diberi peluang mentadbir negara ini pada pilihanraya akan datang.

Ramai dari kalangan ahli-ahli politik berhujah bahawa pola yang menentukan bentuk pilihan politik rakyat di negara ini masih lagi tidak dapat lari dari isu pembangunan asas seperti isu makanan dan kemudahan asas. Pendapat ini memang benar tetapi tidak tepat sepenuhnya. Di samping isu-isu asas ini, rakyat juga menantikan tawaran dan agenda berkenaan jaminan peluang pekerjaan kepada anak-anak mereka yang sedang membesar, peluang mereka meningkatkan pendapatan isi rumah, persoalan tentang tahap keselamatan mereka oleh ancaman jenayah serta bagaimanakah mereka boleh terus mengekalkan jatidiri keagamaan dan budaya di tengah kepesatan globalisasi. Ini adalah antara isu-isu masa depan yang perlu diberi penjelasan dengan baik dan menyakinkan oleh ahli-ahli politik kepada rakyat terbanyak.

Sejajar dengan kematangan politik baru rakyat, setiap percakapan dan perbuatan ahli-ahli politik dari mana-mana parti politik juga turut diberi penilaian. Kita menjangkakan bahawa sebahagian besar rakyat negara ini tidak lagi tergolong di kalangan orang-orang yang dikatakan sebagai ‘fanatik parti politik’. Dalam kata lain, golongan rakyat yang sanggup memilih sesiapa sahaja asalkan saja dari parti politik yang mereka dokongi bertambah mengecil dari segi peratusannya. Watak kepemimpinan ahli-ahli politik kini menjadi sebahagian dari taruhan penting dalam pemilihan. Ahli-ahli dari parti-parti politik yang tidak menunjukkan sikap keterbukaan, tidak menunjukkan sikap kesetiaan dan tidak memiliki kualiti akhlak yang terpuji akan mendapat peluang yang tipis dalam kacamata pemilihan rakyat.

Dalam banyak analisis perkembangan politik dunia juga, sekiranya diteliti, penentu kemenangan parti-parti politik ialah golongan pengundi yang diistilahkan ‘atas pagar’. Mereka ini juga dikenali sebagai ‘pengundi senyap’. Rentak dan sikap politik mereka tidak dapat dikesan kerana golongan ini tidak akan menonjolkan diri di acara-acara politik terbuka. Namun, mereka memiliki kesedaran politik yang tinggi serta kematangan yang tersendiri. Peralihan sikap politik golongan pengundi atas pagar atau pengundi senyap ini dijangka akan memberi kesan yang tersendiri terhadap keputusan pengundian di negara kita akan datang. Dalam keadaan ini, parti-parti politik harus memberi tumpuan mendekati kelompok pengundi ini dan menyakinkan mereka dengan cara yang paling berhikmah dan profesional.

Sepanjang tempoh yang kritikal ini, parti-parti politik juga harus meningkatkan kualiti disiplin para ahli mereka terutama dari aspek tingkah laku dan percakapan. Setiap perlakuan ahli-ahli parti akan menjadi aspek penilaian penting rakyat terhadap kualiti dan keupayaan parti secara keseluruhan. Sudah banyak peristiwa politik sebelum ini di mana kesalahan-kesalahan kecil dilakukan oleh ahli-ahli parti menjadi punca kekalahan parti-parti politik di kawasan-kawasan tertentu. Sikap dan perbuatan ahli-ahli politik seperti mencaci, memfitnah dan mengeji ahli dan parti politik yang berlawanan secara keterlaluan harus dielakkan kerana ia adalah nilai yang bertentangan dengan perkembangan politik baru kini. Perbuatan ini bukan saja akhlak buruk disisi agama, malah juga boleh memakan diri sendiri nanti.

This entry was posted in Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s