POLITIK MALAYSIA DAN ASIA BARAT TUMPUAN 2013

 Oleh Muhamad Razak Idris

Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang dijangka berlangsung dalam beberapa bulan akan datang adalah antara peristiwa yang dijangka akan menarik tumpuan dan perhatian masyarakat terhadap Malaysia pada 2013. Ia bakal menjadi medan penelitian berkenaan pola sikap dan pemikiran masyarakat negara ini terhadap model atau bentuk kepemimpinan negara yang mereka yakini boleh menjadi benteng yang bakal menjaga kepentingan mereka di pentas kehidupan dunia yang serba mencabar hari ini.

Persoalan asasi yang sedang diperdebatkan dalam wacana politik Malaysia hari ini ialah berkenaan peluang partisipasi atau penyertaan rakyat terbanyak dalam berkongsi nikmat kemakmuran negara.  Setelah lebih 5 dekad mencapai kemerdekaan, kemakmuran negara ini dapat dilihat secara jelas dan dapat dirasai di segenap peringkat kehidupan masyarakat. Pihak kerajaan menjelaskan iaitu pencapaian ini adalah kesan dari model permuafakatan yang berjaya diamalkan dalam kepemimpinan negara yang dipimpin oleh parti pemerintah sekarang dan merayu rakyat agar terus mengekalkan pencapaian ini demi kelangsungan kemakmuran yang dikecapi. Namun, pandangan ini tidak sepenuhnya diterima oleh sebahagian yang lain. Pandangan kedua berhujah iaitu model sedia ada kini masih bertunjangkan prinsip politik berasaskan kaum dan ia mendorong kepada kewujudan dominasi secara tidak seimbang dalam penyertaan pembangunan negara. Oleh itu, ia harus diubah kerana dikatakan tidak menjamin kesaksamaan yang rata dalam menikmati kemakmuran negara.Polemik dalam wacana politik ini telah berlarutan sekian lama dan pelbagai isu berkaitan dengannya dibangkitkan oleh setiap pihak bagi mengesahkan perspektif masing-masing.

PRU kali ini benar-benar menguji minda seluruh pengundi Malaysia. Ini kerana mereka sedang diberi tawaran oleh perkumpulan parti-parti yang terlibat untuk memilih di antara pengekalan tradisi yang sedia ada atau perubahan ke arah keterbukaaan baru dalam amalan kepemimpinan dan pemerintahan negara. Keputusan pilihanraya nanti akan memberikan petunjuk terhadap tahap keyakinan rakyat Malaysia terhadap dua tawaran besar ini serta  akan menjelaskan pola sikap masyarakat negara ini terhadap seruan menuju perubahan. Inilah antara persoalan yang menjadikan PRU ke 13 nanti menarik perhatian dan tumpuan ramai.

Di peringkat dunia Islam pula, perhatian akan tertumpu kepada kelahiran dan perkembangan Asia Barat yang kini berwajah baru. Di antara negara yang sedang mencuri tumpuan dunia pada 2013 ini ialah Mesir, Turki dan Iran. Tiga negara ini unik kerana mereka dilihat bakal menjadi negara teras yang akan mempengaruhi geo-politik Asia Barat secara khusus dan rentak politik dunia secara umum. Baru-baru ini, Muhammad Morsi, Presiden Mesir telah menunjukkan pengaruh kepemimpinannya apabila berjaya menjadi orang tengah kepada penyelesaian konflik Palestin – Israel di Gaza. Peranan dan kejayaan ini satu pengiktirafan penting yang diterima Mesir dan secara khususnya Morsi memandangkan beliau berlatarbelakangkan Islamis yang sering dipandang berwatak keras. Sikap terbuka Mesir ini nampaknya mengundang keyakinaan Israel dan kuasa-kuasa besar untuk menerima peranan dan pengaruh Mesir di Asia Barat demi mengekalkan survival dan kepentingan mereka dirantau tersebut. Kejayaan Morsi menangani krisis perlembangaan di negaranya baru-baru ini mengukuhkan lagi populariti beliau di Mesir dan Asia Barat.

Selain Mesir, Turki juga sejak akhir-akhir ini menunjukkan kepemimpinan yang tersendiri dalam mempengaruhi pergerakan politik dunia Islam. Penglibatan langsung Turki dalam menangani beberapa krisis di dunia Islam seperti di Palestin dan Syiria menonjolkan peranannya. Bersandarkan kualiti ekonomi dan kestabilan sosial sepanjang pentadbirannya, kepemimpinan Perdana Menteri Tayeb Erdogan tidak sahaja terus popular di Turki malah di dunia Islam. Penerimaan rakyat Arab terhadap kepemimpinan Turki adalah satu anjakan besar dalam konteks politik dunia Islam kerana kedua-duanya memang sedia diketahui saling bersaing sejak beberapa dekad sebelumnya. Kini, Turki dilihat antara negara paksi yang beriringan dengan Mesir dalam mempengaruhi rentak politik Asia Barat dan mereka kini sedang mencuri tumpuan dunia.

Perkembangan politik di Iran pada 2013 juga akan menarik perhatian ramai. Penglibatan Iran dalam percaturan politik di rantau Asia Barat memang sedia diketahui. Di era Presiden Mahmoud Ahmadinajad, peranan ini amat tertonjol terutama sokongan Iran terhadap sebarang bentuk penentangan terhadap Israel. Dalam krisis di Syria, Iran dilihat menyebelahi Bashar al-Asad. Sikap dan pengaruh Iran diakui telah mengundang ancaman terhadap negara-negara Arab yang lain di rantau Asia Barat. Namun, ramai yang menjangkakan pola ini tidak akan berlanjutan. Iran akan kembali akrab dengan kepemimpinan di rantau Arab setelah Ahmadinajad menamatkan sesi kepemimpinannya dalam tempoh enam bulan akan datang. Ini kerana, penentangan dalaman terhadap aliran yang bercorak keras yang ditonjolkan Ahmadinajad tidak disenangi oleh ramai pihak di Iran. Golongan moderat dikatakan semakin berpengaruh dan bakal mempengaruhi corak pengundian kepemimpinan Iran. Adakah realiti ini akan berlaku dan apakah kesannya terhadap pola dan rentak geo-politik dunia Islam nanti? Persoalan-persoalan ini menjadikan tahun 2013 semakin menarik untuk kita amati bersama.

 

This entry was posted in Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s