POLITIK ISLAM TERBUKA KEPADA SEMUA

Oleh Muhamad Razak Idris

Kelahiran dan pertumbuhan politik Islam didorong oleh pemikiran dan nilai-nilai universal yang dianjurkan oleh ajaran agama Islam. Dalam kata lain, ajaran agama yang bersifat sejagat berhubung pelbagai persoalan kehidupan manusia menjadi sumber dan sandaran terpenting perkembangan politik Islam. Ini beerti, penglibatan dalam menjayakan politik Islam dari segi cita-cita  dan amalannya boleh didokong dan disertai oleh sesiapa sahaja, Muslim dan bukan Muslim asalkan mereka bersedia menerima prinsip-prinsip asas perjuangan politik Islam.

Barangkali perumpamaan yang mudah bagi memahami perkara ini ialah dengan membandingkan politik Islam dengan perkembangan sistem kewangan Islam yang tumbuh dengan pesat di negara kita hari ini. Sistem kewangan Islam lahir dan tumbuh kerana ia di dorong oleh idea tentang keadilan dan kesaksamaan ekonomi dalam ajaran agama. Dari persepktif Islam, harta dan seluruh sumber hasil mahsul bumi yang kaya adalah milik Allah dan manusia dipilih sebagai pemegang amanahnya. Untuk itu, manusia harus memastikan sumber kekayaan ini diagihkan secara adil dan saksama kepada sesiapa sahaja yang berhak. Manusia dianjurkan untuk saling berkongsi sumber kekayaan untuk manafaat diri dan persekitarannya menerusi pelbagai usaha yang wajar. Sebarang urusan dalam perusahaan ini hendaklah disandarkan kepada cara-cara dan kaedah yang saling dipersetujui dan sebarang bentuk unsur penipuan dan penganiayaan samada secara tersurat dan tersirat ditegah sama sekali.

Dorongan ajaran agama tentang cara-cara kehidupan berekonomi secara adil dan saksama ini jelas memaparkan nilai-nilai kesejagatannya dalam sistem kewangan Islam. Semua manusia, tanpa mengira latar bangsa dan agamanya pasti akan berasa selesa berurusan dengan sistem kewangan yang diasaskan pada prinsip dan nilai kesejagatan ini. Ini kerana nilai-nilai sejagat ini memenuhi fitrah kejadiannya sebagai seorang insan. Penyataan ini jelas terbukti. Pengenalan sistem kewangan Islam telah menarik penyertaan yang luar biasa dari kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka. Suatu yang penting dicatatkan dalam konteks perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia ialah apabila menurut laporan, peserta dari kalangan orang bukan Islam merupakan antara majoriti yang terlibat dalam sistem urusniaga kewangan berasaskan Islam. Ternyata, sistem kewangan Islam bersifat terbuka dan boleh disertai oleh sesiapa termasuk orang bukan Islam. Apa yang lebih menarik lagi ialah, kini, pendokong yang menawarkan produk kewangan Islam bukan hanya dari kalangan bank yang dikuasai oleh orang-orang Islam, malah juga yang dikuasai oleh bukan Islam.

Perbandingan ini penting dijelaskan kerana pada pandangan penulis, politik Islam juga seumpama sistem kewangan Islam. Ia adalah berkenaan dengan agenda membangunkan satu sistem kenegaraan yang diteraskan pada prinsip dan nilai kesejagatan yang dianjurkan oleh agama Islam. Ia membabitkan tawaran tentang sistem tatakelola negara yang baik kepada seluruh rakyat terbanyak. Sistem politik Islam dipandu oleh ikrar bagi memberikan hak dan peluang yang saksama kepada semua berasaskan tafsiran prinsip keadilan dalam konteks sejarah kenegaraan. Ia seterusnya diseiringkan dengan amalan-amalan yang tercerna menerusi pelbagai dasar, sikap dan program kerajaan dalam pelbagai bidang kehidupan. Keseiringan ikrar dan amalan akan membentuk sistem politik Islam yang kukuh di mana rakyat berasa terjamin, tenteram dan yakin untuk berada di bawah sistem naungannya. Dalam konteks inilah, kita berpandangan, politik Islam ialah sebuah sistem yang luhur, terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar kehidupan termasuklah mereka yang tidak menganut kepercayaan dan mengamalkan ajaran Islam. Penyertaan orang bukan dalam sistem politik Islam harus dialukan selagimana mereka bersedia mendokong prinsip dan nilai luhur kesejagatan perjuangan politik Islam dan dalam masa yang sama tidak menjadi batu penghalang kepada usaha menjayakannya.

Kerangka kefahaman yang luas tentang maksud pemikiran politik Islam harus memberi dorongan kepada setiap parti politik untuk sama-sama berpartisipasi dalam membangun dan menjayakan sistem politik Islam yang utuh di negara ini. Kita yakin, parti-parti politik yang mampu meningkatkan tahap kesempurnaannya ke tingkat keluhuran dan kesejagatan tertinggi dari segi ikrar dan amalan perpolitikannya sebagaimana yang dituntut oleh prinsip dan nilai ajaran agama Islam, mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi pada pandangan rakyat terbanyak. Lihat sahaja contoh sambutan masyarakat dunia terhadap sistem kewangan Islam hari ini apabila ia semakin hari berjaya meningkatkan kualiti kandungan dan persembahan produk kewangannya.

Dalam hubungan ini, kita perlu kritikal terhadap sebarang langkah oleh mana-mana parti politik yang menjadikan politik Islam sebagai satu sistem yang ekslusif atau tertutup kepada satu-satu perkumpulan sahaja atau menjadikan perjuangan politik Islam hanya milik satu-satu parti sahaja seterusnya menafikan sumbangan dan penglibatan parti-parti lain yang juga menunjukkan minat dan usaha bagi mendokong dan menyertainya. Sikap sebegini membantukan pertumbuhan politik Islam dalam negara. Sikap seharusnya ialah kita hendaklah terus menggalakkan sesiapa sahaja terlibat menjayakan agenda pembangunan politik Islam berasaskan ruang dan keupayaan yang dimilikinya dan berterima kasih atas sumbangannya walaupun mungkin hanya sedikit pada pandangan mata kita.

This entry was posted in Gerakan Islam, Institusi Islam, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s