POLITIK ISLAM PERLU PERSPEKTIF TEPAT

Oleh Muhamad Razak Idris

Perkembangan politik Islam di negara kita bertambah meriah dan kukuh. Fenomena kebangkitannya juga kian menonjol. Tanda-tanda pengukuhannya boleh diperhati dalam pelbagai perlakuan komitmen politik yang ditunjukkan oleh UMNO dan PAS, dua parti terbesar yang mewakili politik Islam di Malaysia semasa melangsungkan muktamar atau perhimpunan tahunan mereka baru-baru ini.  Komitmen terbuka para pimpinan dan para perwakilannya menerusi pengucapan mereka terhadap peranan dan tanggungjawab parti masing-masing dalam membela dan mengangkat kedudukan agama dan umat merupakan antara tanda penting tentang perkembangan positif dunia perpolitikan Islam di negara ini.

Kepimpinan PAS  sebagaimana kebiasaanya semasa muktamarnya yang lalu, terus memberikan keyakinan kepada ahli dan masyarakat tentang komitmen parti terhadap perjuangan menegakkan sistem kenegaraan yang berasaskan nilai-nilai keislaman di Malaysia. Tumpuan kali ini nampaknya ialah inisiatif memberi kefahaman kepada para pendokong terutamanya berkenaan konsep negara berkebajikan dan pendekatan ‘tahaluf siyasi’ atau teori perkongsian politik yang dilihat masih belum dimengertikan secara meluas dan berkesan. Kedua konsep dan pendekatan ini ialah suatu perkembangan positif sekiranya ditinjau dari sudut ilmiah. Ia memaparkan kesediaan parti untuk mengaplikasikan strategi baru yang difikirkan mampu menyesuaikannya dengan realiti politik dalam negara yang sifatnya amat kompleks. Memang terdapat bantahan dan kritikan oleh sesetengah ahli sendiri di mana pengenalan strategi tersebut seolah akan menjadikan PAS lebih liberal. Namun dari sudut yang lain, strategi tersebut sekiranya dijayakan secara berhemah akan memberikan kesan yang tersendiri terhadap perkembangan dan kedudukan PAS di pentas politik nasional akan datang.

Perkembangan politik Islam dalam UMNO juga menarik untuk ditelusuri. Nampaknya, kita menyaksikan penonjolan nilai-nilai perjuangan Islam yang semakin jelas dan ketara dalam UMNO semasa perhimpunan agungnya baru-baru ini. Para pimpinan secara berterusan menegaskan iaitu pembangunan agenda agama Islam merupakan antara teras dan asas perjuangan UMNO. Malah, mereka menyeru kepada rakyat terbanyak supaya menyakini iaitu hanya UMNO wadah terbaik yang akan dapat menjamin kedudukan agama di negara ini terus terbela berbanding dengan parti-parti lain. Pada kali, doa-doa memohon rahmat Ilahi atas ketulusan perjuangan suci diucapkan secara berterusan.

Penegasan komitmen dan ketulusan ini dilihat oleh beberapa pengkaji sebagai satu usaha positif parti untuk menangani salah faham sebahagian besar masyarakat terhadap perjuangan Islam UMNO yang sering digambarkan lemah dan bermusim. Semangat nasionalisme yang menjadi asas kelahiran UMNO sering menengelamkan aspek aspirasi keislamannya diperjuangkannya. Realiti ini dari satu sudut adalah titik kelemahan ketara dalam penampilan parti ini sehingga memudahkan parti lawan melabelkan UMNO sebagai parti sekular. Usaha meleraikan salah faham ini ada satu strategi yang positif. Penegasan ini dari segi strategi politik boleh menyumbang secara berkesan dalam membetulkan salah faham yang sekian lama berterusan. Perjuangan agama dan bangsa yang menjadi asas perjuangan UMNO harus dilihat berada dalam kesepaduan oleh masyarakat dan keduanya perlu diolah secara berimbang. Dalam kata lain, sekiranya UMNO dapat menunjukkan secara jelas kesepaduan dan keseimbangan nilai perjuangan Islam dan nasionalisme, kedudukan UMNO di pentas politik Islam di negara ini akan terus bertahan.

Di samping perkembangan positif kegiatan perpolitikan Islam sebagaimana tergambar dalam amalan dan pengucapan politik UMNO dan PAS sejak akhir-akhir ini, terdapat juga beberapa corak berfikir dan budaya tidak sihat terus berkembang. Misalnya, corak berfikir yang memaparkan perbedaan kefahaman dan sikap politik di kalangan umat Islam sebagai perbezaan yang dikaitkan dengan persoalan kepercayaan atau keimanan wajar ditangani dengan segera. Tuduh menuduh politik dengan menggunakan istilah seperti ‘murtad’ kepada perkumpulan politik Islam yang lain hendaklah dihentikan. Pelabelan istilah aqidah dalam amalan perpolitikan akan membantutkan proses perkembangan politik Islam di samping merencatkan perhubungan dan persaudaraan semasa masyarakat Muslim.

Budaya perpolitikan Islam memerlukan penerapan amalan dan budaya terpuji dan sederhana. Perbezaan kefahaman dan perlakuan politik antara parti-parti yang dianggotai oleh orang-orang Muslim harus dilihat sebagai perbedaan dari segi pemikiran dan kualiti penghayatan akhlak. Ia tidak boleh dikaitkan secara mudah sebagai perbezaan dari segi keimanan dan kepercayaan. Sikap menggunakan label aqidah dalam perbezaan kefahaman dan amalan politik akan merencatkan kesegaran wacana politik Islam. Seharusnya setiap parti politik Islam menumpu usaha meningkatkan kualiti tawaran politik dalam urusan kenegaraan dari segi dasar dan program pembangunan kepada rakyat untuk dibuat perbandingan dan pilihan. Memang, dalam kerangka amalan politik Islam, semua pelaku-pelakunya dibenarkan untuk saling bersaing. Ini termasuk perlakuan mendedahkan kelemahan dan kepincangan dari segi pendirian, kefahaman, sikap dan perlakuan politik parti lawan dalam mereka menjayakakan tanggungjawab kenegaraan. Namun, kempen bagi meraih perhatian dan sokongan rakyat menerusi pendedahan kelemahan dan kepincangan ini harus berasaskan tujuan untuk membetulkan keadaan dan bukannya untuk memalukan pihak lawan, apatah akan menyebabkan berkembangnya api fitnah serta meruntuhkan semangat ukhwah sesama masyarakat Islam.

 

This entry was posted in Gerakan Islam, Institusi Islam, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s