INTRA-DIALOG KUKUHKAN KESATUAN DUNIA ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Banyak kesan ditanggung dunia Islam hingga hari ini akibat era penjajahan di sekitar abad ke 18-19 yang lalu. Dalam tempoh tersebut, kesatuan dunia Islam terpecah dan membentuk negara-bangsa yang tersendiri berasaskan ras dan sempadan yang khusus. Perhubungan sesama warga dunia Islam terencat oleh pelbagai peraturan sempadan dan halangan keselamatan. Semangat kesatuan ummah luntur kerana setiap negara Islam menumpu usaha membangunkan kepentingan negara-bangsa masing-masing. Di sesetengah negara Islam, kepimpinannya membangkitkan semangat nasionalisme bangsa secara keterlaluan sehingga menenggelamkan roh kesatuan ummah Islamiah.

Semangat nasionalisme bangsa yang dibangkitkan secara keterlaluan ini pada satu-satu tahap tertentu menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan dalam sesama negara Islam. Perperangan antara Iran dan Iraq pada satu masa lalu adalah contoh kesan pertembungan dalaman sesama warga dunia Islam kesan dari eksploitasi semangat nasionalisme bangsa secara keterlaluan.  Pengalaman Turki juga amat menyayat hati. Kepimpinannya terutama di bawah Mustafa Kamal Atartuk memang terkenal secara jelas menunjukkan sikap memusuhi sebarang unsur yang bercorak keagamaan dan keislaman kerana ia ditakuti akan menggugat prinsip dan nilai nasionalisme bangsanya. Rakyat Turki menanggung derita yang sungguh lama di bawah dasar nasionalisme keterlaluan ini yang menyisihkan mereka dari semangat dan roh kesatuan ummah Islamiah. Hanya sejak beberapa dekad sebelum ini, penerimaan terhadap nilai dan budaya Islam mula di terima kembali di Turki secara terbuka.

Kesan dari takdir sejarah era penjajahan ini perlu sama-sama ditangani oleh seluruh umat Islam. Usaha yang positif ke arah pengukuhan semula kesatuan ummah harus menjadi agenda utama sepanjang masa. Halangan dan rintangan yang sering mengganggu usaha membina semula roh kesatuan dunia Islam perlu dikenalpasti dan dirungkai secara ikhlas. Faktor-faktor yang membawa perpecahan sesama umat Islam samada membabitkan perbezaan dari segi ideologi dan sikap politik harus diatasi. Kita berkeyakinan iaitu faktor-faktor perbezaan ini terlalu kecil dan bukan suatu yang amat sukar untuk diatasi sekiranya setiap negara Islam tulus dalam melihat kepentingan kesatuan dunia Islam dalam mendepani geo-politik dunia hari ini yang serba mencabar.

Dalam konteks ini, langkah yang dikenali sebagai ‘intra-dialog’ antara dunia Islam harus dirancakkan dan diperkasakan. Istilah ‘dialog’ pada peringkat awal diperkenalkan oleh para sarjana Muslim sebagai satu bentuk pendekatan Islam dalam menangani isu perhubungan antarabangsa. Pendekatan dialog ini dibangunkan berasaskan konsep ‘ta’aruf’ yang diperkenalkan al-Quran dalam mendepani realiti kepelbagaian atau pluralisme bangsa di dunia ini. Dalam wawasan al-Quran,  kepelbagaian bangsa bukan halangan dan kecacatan, malah suatu rahmat. Kepelbagaian bangsa yang berada dalam keadaan saling kenal mengenali dan hormat menghormati akan menyumbang kepada kelahiran sebuah kesatuan umat manusia yang kukuh di dunia ini. Menerusi amalan ta’aruf atau dialog, setiap negara-bangsa akan saling dapat memanafaatkan kekuatan masing demi kesejahteraan hidup bersama.

Para sarjana Muslim menganjurkan iaitu pendekatan dialog ini bukan sahaja amalan yang harus dimanafaatkan dalam konteks perhubungan membabitkan dunia Islam dengan tamadun manusia yang lain di peringkat antarabangsa. Namun, ia harus dikembangkan dan diamalkan bagi mengukuhkan kesatuan dunia Islam yang luas hari ini. Istilah ‘intra-dialog’ dalam hubungan ini merujuk dorongan dan galakan ke arah peningkatan usaha persefahaman dan kerjasama antara sesama negara di dunia Islam bertujuan mewujudkan kesatuan yang kukuh dan utuh demi kemajuan dan pembangunan ummah yang menyeluruh.

Terdapat beberapa asas yang mendorong langkah intra-dialog dunia Islam ini harus dijadikan agenda utama pada hari ini. Pertama ialah kerana sifat pergerakan geo-politik dunia hari ini telah berubah. Setiap negara-bangsa kini bergerak secara berkumpulan berasaskan semangat persamaan tertentu yang saling dikenalpasti. Kelahiran pertubuhan seperti Kesatuan Eropah (EU) atau Kesatuan Afrika (AU) adalah antara contoh bentuk baru pergerakan dunia. Pertubuhan antara negara ini menjadi teras baru pembangunan dunia. Dalam kata lain, setiap negara-bangsa tidak mungkin akan mampu bertahan secara ‘solo’ atau sendirian lagi dalam konteks pergerakan baru dunia semasa melainkan ia harus berdampingan secara berkumpulan. Dalam hubungan ini, usaha dan langkah ke arah mewujudkan sebuah kesatuan dunia Islam yang lebih berkesan dalam bentuk sebuah blok ekonomi yang kukuh hendaklah diusahakan secara gigih dan berterusan. Langkah penjelmaan cita-cita ini menuntut proses intra-dialog yang rancak sesama negara Islam.

Asas kedua kepada tuntutan intra-dialog ini ialah kerana kita dapati negara-negara Islam kini sedang di dalam proses memasuki fasa kedua kematangan mereka selepas sekian lagi bergelut dengan pelbagai permasalahan dalaman kesan era penjajahan yang lalu. Secara keseluruhan, negara-negara Islam berada dalam keadaan stabil dari segi sistem politik dan ekonomi. Negara-negara Arab sebagai contoh sudah menunjukkan keyakinan tersendiri dalam aspek pemerintahan setelah gelombang kebangkitan yang dikenali ‘Arab Spring’ kian reda. Menerusi intra-dialog dunia Islam, negara-negara Islam akan saling dapat memanafaat kekuatan yang telah sekian lama dibangunkan dan mengatasi kelemahan dalaman yang masih ketara dari segi perekonomian, keselamatan dan kebudayaan.

 

This entry was posted in Dakwah, Dialog Peradaban, Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s