ERATKAN IKATAN ULAMA-UMARAK

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 17 November 2012

Satu daripada agenda tahun baru 1434 Hijrah yang harus diberi keutamaan di negara kita ialah tuntutan bagi mengeratkan ikatan kerjasama antara ulama dan umarak. Dalam sistem kenegaraan moden yang sedang dilalui sekarang, kedua-dua golongan ini adalah gandingan yang akan menjamin sumber kepemimpinan negara tergabung dalam satu ikatan kesatuan dan kesepaduan. Dalam banyak teks klasik membincangkan teori kenegaraan Islam antaranya seperti karya Al-Farabi Al-Madina al-Fadilah, penekanan kepentingan kesepaduan sumber kepemimpinan dipertegaskan secara berterusan. Namun, model klasik mengenai kesatuan sumber kepemimpinan ini tertumpu kepada seorang individu atau tokoh yang dilantik atau dipilih sebagai ketua kerajaan atau pemimpin negara. Seorang ketua kerajaan dalam model ini dituntut menguasai seluruh kesepaduan dalam diri membabitkan antaranya pemilikan kualiti agama dan dunia, kecerdasan jasmani dan emosi serta penghayatan daya akhlak dan ketrampilan kepemimpinan terunggul, sebelum layak dilantik sebagai seorang pemimpin negara.

Kesepaduan watak kepemimpinan ketua kerajaan diyakini menjadi sumber dan benteng terkuat ke arah menjamin ekosistem pembangunan negara berkembang secara berkesan dan sejahtera bagi manfaat masyarakat. Dalam erti kata lain, ketua kerajaan adalah individu tertinggi dalam sistem kenegaraan. Sebarang bentuk kerosakan atau kelemahan yang ketara dilakukan seorang ketua kerajaan sama ada dari segi ilmu, rohani dan akhlak, akan memberi kesan kerosakan pula kepada ekosistem negara secara keseluruhan. Justeru, ciri-ciri ideal seorang ketua kerajaan yang memiliki dan menguasai seluruh dimensi kualiti dan kekuatan secara sepadu dibahaskan secara meluas dan ia dilihat sebagai kayu ukur utama kepada daya tahan dan masa depan sesebuah negara.

Penegasan mengenai kepentingan sesebuah negara memiliki seorang ketua berkualiti secara sepadu oleh karya klasik harus dipertahankan dan dihayati. Namun, dari segi pelaksanaannya dalam era moden kini, konsep kesepaduan kualiti kepemimpinan ini tidak harus tertumpu terhadap seorang individu atau tokoh yang dipilih memegang tampuk kepemimpinan berkenaan. Tafsiran mengenai kesepaduan kualiti kepemimpinan ini harus dikembangkan merentasi watak seorang tokoh ketua kerajaan. Sejajar dengan perkembangan teori kepemimpinan moden, kesepaduan kualiti kepemimpinan ini harus merujuk kepada institusi jawatan ketua kerajaan dan bukannya terhadap individu ketua berkenaan.
Pengembangan tafsiran ini perlu kerana beberapa faktor. Pertama, secara logik, adalah suatu yang sukar atau ideal sekali bagi seorang manusia biasa menguasai dan memiliki seluruh kesepaduan kepemimpinan secara individu. Secara fitrah manusia ialah makhluk yang lemah, sistem pendidikan moden yang menekankan pengkhususan dalam bidang ilmu, membataskan keupayaannya.

Cakupan bidang kepemimpinan kini pula begitu luas dan memerlukan gabungan seluruh kepakaran bagi memastikan keberkesanan. Ketua kerajaan tidak akan berkemampuan mengendalikan urusan kepemimpinan secara sendirian di dunia global yang dinamik. Kedua, kelemahan sifat manusia juga membataskan kesempurnaan peribadi, akhlak dan kerohanian. Manusia terdedah dengan pelbagai dorongan dalam persekitaran yang boleh mengganggu ke-stabilan emosi mereka. Dalam erti kata lain, ketua kerajaan ialah seorang insan yang tidak maksum atau tidak bebas dari kesalahan dan kelemahan.

Faktor ketiga ialah dari aspek sifat pemilihan kepemimpinan negara dalam era moden yang bertempoh dan bergilir. Kaedah demokrasi ini tidak akan menjamin ketahanan seseorang ketua negara berada di tampuk pemerintahan secara berterusan. Kualiti kesepaduan yang dimiliki individu terdedah kepada ketidakstabilan yang berlaku dalam perkumpulan politiknya.

Batasan ini menjadi sandaran kepada kita mengemukakan pandangan iaitu kesepaduan kualiti yang ideal yang dikemukakan oleh karya kenegaraan Islam klasik hanya akan dapat dijelmakan menerusi kesepaduan fungsi dalam institusi perjawatan ketua kerajaan. Dalam hubungan ini, institusi ketua kerajaan harus mampu menampilkan keupayaan menggandingkan pelbagai unsur kekuatan dalam satu sistem yang bercorak sepadu.

Satu daripada penampilan itu boleh diterjemahkan menerusi ikatan kerjasama ulama dan umarak dalam memandu urusan kepemimpinan. Gandingan ini memberi kesan penting terutama dalam memastikan proses kecemerlangan pembangunan negara sentiasa berada pada landasan atau kerangka bimbingan keagamaan. Dalam erti kata lain, ikatan kerjasama ulama dan umarak akan menjamin peranan agama sentiasa beriringan dengan proses kemajuan dan pemodenan negara.

Banyak persediaan yang harus dilakukan bagi memastikan gandingan ulama dan umarak mampu memberikan kesan bermakna terutama sebagai kesepaduan sumber dalam memandu kepemimpinan negara. Kedua-dua pihak terlebih dulu harus meningkatkan kualiti persefahaman fikiran mengenai idealisme kenegaraan yang ingin sama-sama dibangunkan. Seterusnya, ruang pembabitan kedua-dua pihak dalam menyusun agenda kenegaraan hendaklah diperluaskan. Manakala dari segi etika kerjasama hendaklah ditentukan secara jelas. Ulama dan umarak harus mengamalkan sikap hormat menghormati, tasamuh dan berhikmah dalam menerima dan menolak nasihat dan pandangan sama ada bersifat pentadbiran atau keagamaan.

This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s