GIATKAN DIALOG DUNIA ISLAM-AMERIKA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 10 November 2012

Dialog dunia Islam dan Amerika Syarikat (AS) perlu lebih digiatkan di penggal kedua kepimpinan Barack Obama. Pemilihan semula beliau ini perlu dilihat sebagai satu peluang strategik kepada dunia Islam secara keseluruhannya. Ini memandangkan, keutamaan terpenting dunia Islam hari ini ialah memastikan persekitaran dalamannya berada dalam keadaan aman dan sihat. Tanpa persekitaran ini, banyak rancangan dan agenda kebangunan semula peradaban Islam akan terus terbantut. 

Sejak 11 September 2011, setelah pengeboman dua menara perdagangan di AS yang dikaitkan dengan tindakan golongan Muslim yang ektremis, persekitaran dunia Islam dalam keadaan tidak sihat bagi tujuan kerjasama kemajuan dan kesejahteraan bersama antara negara-negara Islam. Banyak tumpuan, tenaga dan waktu di dunia Islam tertumpu kepada urusan menangani ancaman keselamatan antara sesama sendiri serta pihak luar. Teori pertembungan peradaban seolah suatu realiti. Di dunia sebelah Barat pula dilanda gejala Islamophobia, yang sehingga hari ini masih wujud dan berleluasa, walaupun tidak seteruk di awal penularannya. Situasi ini pula menghambat pergerakan masyarat dan merencatkan banyak rancangan pembangunan antara pelbagai komuniti dan negara.

Kita dapati, sejak kepimpinan Obama pada tahun 2008, realiti pertembungan peradaban dan perasaan takut kepada fenomena Islam kembali reda dan surut. Beberapa faktor menyumbang kepada keadaan ini. Pertama ialah kepimpinan Rumah Putih tidak lagi dikuasai oleh doktrin ‘pertembungan peradaban’ yang dikatakan dianuti oleh kumpulan yang dikenali sebagai ‘neo-con’ atau beberapa individu berkuasa yang menganut fahaman ultra konservatif yang melihat kepentingan AS adalah segalanya dan perlu dipertahankan dengan apa juga tindakan walaupun harus disandarkan kepada fakta yang palsu dan mengorbankan jiwa dan harta manusia lain. Obama dan parti Demokratnya nampaknya dalam banyak keadaan, menganut dan mengamalkan  doktrin politik dan sosialnya yang berbeza, lebih sederhana, terutama dalam menghargai kepelbagaian dan menekankan pendekatan rundingan dalam menyelesaikan pertikaian, walaupun tidak semuanya.

Faktor kedua ialah keadaan dalaman AS sendiri yang kini dalam keadaan tidak stabil. Sejak AS menjalankan operasi peperangan di Iraq dan Afghanistan, rupanya ia memberi kesan yang amat besar terhadap keadaan ekonomi dalaman negaranya. Di samping kesan dari segi perspektif buruk yang ditanggung AS akibat tindakan agresifnya terhadap negara lain, ekonomi AS lemah dan merundum. Sekiranya kita meneliti isu-isu utama dalam acara debat antara Obama dan Mitt Romney, ia banyak tertumpu tentang persoalan bagaimana untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyatnya dan mengurangkan defisit kewangan negaranya. Sebagai pengentahuan kita, pendapatan negara AS kini hanya mampu menampung 60 peratus keperluan perbelanjaan. Baki lagi diperoleh menerusi pinjaman. Setiap tahun, AS menanggung defisit lebih kurang 1.5 trilion dolar. Secara keseluruhan, hutang yang ditanggung AS kini menyamai 25 peratus pendapatan dunia. Terdapat penganalis menyatakan, senario ekonomi AS kini ialah petanda detik kejatuhan ketamadunannya sebagaimana dialami oleh tamadun Rom dan empayar British suatu masa yang lalu. 

Secara logik, situasi dalaman AS hari ini dari segi ekonomi tidak memungkinkan untuk kepimpinannya bertindak agresif terhadap negara lain terutama dalam menyelesaikan konflik dan isu-isu keselamatan di seluruh dunia. Seperti dunia Islam, AS sendiri memerlukan keadaan persekitaran yang sihat bagi membolehkan kegiatan ekonomi dalam negaranya kembali pulih dan segar. Kita menjangkakan Obama akan terus memberi tumpuan menyelesaikan isu-isu dalaman negaranya dalam tempoh 4 tahun akan datang.  Namun dalam masa yang sama, beliau juga akan lebih menonjolkan diri dalam mempengaruhi hal ehwal antarabangsa bagi tujuan membina riwayat kepimpinan yang lebih dihargai dan dikenang dalam konteks sejarah politik dunia. Senario inilah yang mendorong kita untuk menyatakan iaitu tempoh 4 tahun akan datang adalah satu peluang strategik yang harus dimanafaatkan sebaiknya dunia Islam bagi tujuan memenuhi kepentingan bersama. Untuk itulah, inisiatif dialog harus digiatkan. Kedua pihak memiliki kekuatan tersendiri yang boleh saling dikongsikan terutama dalam memafaatkan sumber asli dan tenaga manusia yang kaya dan ramai bagi tujuan kesejahteraan masyarakat dunia.

Dalam konteks dunia Islam, kepentingan khusus dari usaha dialog dengan AS ialah bagi mendorong negara tersebut untuk terus mengamalkan sikap pendamaian dan menamatkan kesan-kesan imperialisme yang diamalkan oleh kepimpinan sebelumnya secepat mungkin. Kepentingan khusus lain ialah dari segi keagamaan. Dialog dengan AS diharap menjadi pintu ke arah pemupukkan pandangan yang positif terhadap agama dan masyarakat Muslim di AS dan di dunia Barat secara umum. Pandangan yang positif ini memberi manfaat yang besar terutama kepada kesejahteraan dan kemajuan hidup jutaan masyarakat Islam yang menetap di negara-negara Barat.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s