SEMANGAT AIDILADHA TINGKAT DAYA TAHAN ROHANI UMAT

Oleh Muhamad Razak Idris

Sambutan Aidiladha memberi banyak pengertian kepada seluruh masyarakat Muslimin. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarga baginda dalam menyempurnakan perintah agama adalah iktibar terbesar. Kisah tersebut memberi erti yang jelas betapa kehidupan kita yang seketika di dunia ini memerlukan banyak perjuangan dan pengorbanan dari segenap aspek samada material dan jiwa. Bagi Muslim, penyempurnaan perintah agama demi mengangkat martabat umat merupakan perjuangan terbesar pada masa kini dan hanya mereka yang benar-benar memiliki daya tahan rohani yang tinggi dapat menjayakannya. 

Sehubungan itu, sekiranya direnungi, kita mendapati banyak penganjuran ibadah agama ke atas Muslim adalah satu bentuk latihan dan persediaan bagi membina daya tahan rohani dalam diri mereka. Kualiti rohani Nabi Ibrahim dan ahli keluarganya dam menyempurnakan agenda agama adalah neraca dan sumber inspirasi tertinggi.  Misalnya, perintah ibadah bersolat, berpuasa dan menunaikan zakat, sekiranya difahami secara menyeluruh adalah antara satu bentuk latihan rohani bagi membina daya tahan jiwa setiap Muslim. Daya tahan jiwa yang akan terjelma menerusi ibadah ini adalah nilai tentang pengakuan kedudukan diri sebagai seorang insan, penghayatan erti keperitan dan penghargaan  semangat perkongsian sesama masyarakat manusia. Nilai-nilai ini merupakan antara ciri terpenting kehidupan seseorang individu Muslim yang memiliki daya tahan rohani yang tinggi.

Sebenarnya, banyak kejayaan yang dicapai oleh sesebuah masyarakat atau negara didokong oleh daya tahan jiwa atau rohani yang dimiliki setiap anggotanya. Keutuhan masyarakat atau negara amat bergantung kepada semangat kesatuan yang dimiliki para warganya. Semangat ini merupakan salah satu dari nilai yang tercerna dari sebuah penghayatan daya tahan rohani yang tinggi. Bagi sesebuah negara, daya tahan rohani rakyatnya yang terjelma dalam bentuk kejituan semangat cintakan tanahair atau patriotism adalah asas keutuhannya. Tanpa semangat ini, sesebuah negara yang terjajah, misalnya, tidak mungkin akan mencapai nikmat kemerdekaan. Begitulah besarnya peranan ketahanan jiwa dan rohani dalam kehidupan ini. 

Dalam konteks masyarakat Muslim hari ini, kualiti daya tahan rohani yang mereka miliki atau hayati merupakan asas atau tonggak yang akan menentukan tahap penghormatan dunia terhadap mereka. Sebagai sebuah komuniti yang berperanan khusus dalam menyakinkan masyarakat dunia tentang kepentingan peranan agama dalam kehidupan, kejayaan masyarakat Muslim dalam menjayakan amat bergantung kepada sejauh mana mereka mampu membina daya tahan rohani dari segi semangat istiqamah dalam mengaplikasikan nilai-nilai luhur agama dari segi amalan dan perlakuan.

Dalam kata lain, pengormatan masyarakat dunia terhadap Islam dan umatnya amat bergantung kepada kualiti penghayatan agama dalam tindakan mereka. Apabila masyarakat Muslim berusaha membuktikan kepada dunia iaitu Islam merupakan agama berteraskan prinsip kemajuan dan keamanan, nilai ajaran agama ini perlu tergambar dalam perlakuan dan sistem kehidupan harian mereka dan tidak hanya sekadar dalam teori dan percakapan. Peranan ini merupakan satu tanggungjwab yang besar dan memerlukan persediaan rohani yang utuh dan kental.

Dalam hubungan ini, peranan pendidikan dalam Islam menjadi terlalu mustahak. Ia merupakan saluran bagi membina individu yang memiliki daya tahan rohani yang tinggi. Penekanan aspek ini merupakan inti terpenting dalam sistem pendidikan Islam dan ia menjadikannya sistem yang berbeza dengan yang bercorak sekular. Insan yang ingin dibangunkan oleh pendidikan Islam ialah yang individu yang berdaya rohani kental yang bukan sahaja dapat memahami falsafah hidup yang benar tetapi mampu mengaplikasikannya dalam segenap aspek kehidupan manusia yang luas. Insan yang dibangunkan menerusi sistem pendidikan Islam seharusnya tidak sahaja merupakan seorang pekerja yang kreatif dan produktif, malah dalam masa yang sama menjalankan tanggungjawab dalam pelbagai sektor yang diceburinya sejajar dengan ajaran agamanya. Nilai-nilai luhur keagamaan, misalnya dari segi kualiti keluhuran, keindahan, keselesaan dan keharmonian tercerna dan tergambar secara praktis dalam sistem perlakuan dan perlaksanaan. Dalam keadaan ini, kesempurnaan nilai agama tidak sahaja difahami, tetapi dihayati dan dinikmati oleh seluruh masyarakat manusia.

Perjuangan menterjemahkan peranan agama dalam amalan dan perlakuan kehidupan merupakan cabaran terbesar umat Islam pada hari ini. Ia menuntut daya tahan rohani yang tinggi. Pada hari ini, kedudukan agama dan umat Islam tidak dipandang tinggi oleh sesetengah pihak disebabkan oleh ketidakupayaan umat Islam mengaplikasikan fungsi agama dalam sistem kehidupan dan ketamadunan mereka. Realiti umat Islam yang saling bermusuhan sesama sendiri, kualiti pendidikan yang rendah dan kemiskinan yang masih meluas di sebahagian besar dunia Islam menyebabkan kesempurnaan agama kelihatan cacat. Fenomena ini bertentangan dengan teori agama yang menganjurkan pendamaian, kecintaan ilmu dan kemajuan dalam kehidupan ini. Bersempena sambutan Aidiladha pada tahun ini, kita perlu bermuhasabah dan harus meningkatkan perjuangan meningkatkan daya tahan rohani terutama dari segi pengorbanan diri bagi membina dan mengangkat semula martabat agama dan umat Islam agar dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.

This entry was posted in Bimbingan Asas Islam, Dakwah, Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s