PERJANJIAN DAMAI BERI SINAR BARU KEPADA BANGSAMORO

Muhamad Razak Idris

Majlis menandatangani Framework Agreement on Bangsamoro atau Rangka Perjanjian Damai Bangsamoro di antara Pertubuhan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina baru-baru penting untuk dicatat kerana kesannya yang amat bermakna kepada pengukuhan kedudukan umat Islam di Asia Tenggara dan pembinaan Komuniti Asean 2015. Penjanjian ini satu pencapaian penting dan bakal memberikan sinar baru kepada masyarakat di Selatan Filipina yang telah sekian lama ketinggalan akibat ketidaktenteraman politik di kawasan tersebut sejak lebih 4 dekad lalu.

Menurut rangka perjanjian dimeterasi itu, apabila ia dilaksanakan sepenuhnya pada 2016, satu satu entiti politik baru yang dikenal sebagai Bangsamoro akan terwujud dan diiktiraf secara sah oleh kerajaan Filipina. Pengiktirafan ini adalah pencapaian paling besar, malah boleh dikatakan antara asas tuntutan terpenting perjuangan menuntut kemerdekaan di Selatan Filipina. Dengan pengiktirafan ini,  Bangsamoro akan memperoleh kembali hak-hak asasi dari segi keagamaan, bahasa, kebudayaan, sumber asli dan sempadannya yang cuba dipadam akibat peristiwa penjajahan yang berlaku sejak beberapa abad yang lalu di rantau Asia Tenggara.

Perjanjian ini beerti, masyarakat di Selatan Filipina berpeluang membina masa depan masyarakatnya berasaskan landasan keagamaan dan nilai kebudayaan yang telah sekian lama mereka yakini dan amalkan . Ia secara langsung menutup lapisan gelap pemikiran dan percaturan penjajahan masa lalu yang berusaha membina sebuah negara bangsa di Filipina menerusi pendekatan pencairan nilai agama dan kebudayaan yang menjadi identiti Bangsamoro, satu pendekatan yang jelas melanggar hak asas sesebuah bangsa.
Apa yang menarik dan perlu ditekankan ialah pengiktirafan identiti politik Bangsamoro ini tidak bermaksud bahawa ia bakal menjadi komunuti yang terpisah sepenuhnya dengan negara Filipina. Bangsamoro dalam kerangka baru negara bangsa ini menjadi salah satu komuniti yang akan tetap mempertahankan kedaulatan Filipina sebagaimana termaktub dalam perlembangaannya. Dalam kata lain, Bangsamoro tetap sebagai ahli penting dalam sebuah keluarga besar Filipina.

Dengan kedudukan terbaru ini, kedua-dua pihak saling berpegang kepada prinsip kesatuan dalam kepelbagaian. Prinsip ini suatu yang harus diraikan kerana ia adalah nilai teras yang mencorakkan pembentukan Komuniti Asean 2015 nanti. Bangsamoro bakal menjadi sebuah komuniti baru yang akan mengayakan kepelbagaian yang kini telah dimiliki Asean dari kepelbagaian dan keanekaragamannya.

Sebenarnya, usaha mencari penyelesaian aman di Selatan Filipina sudah berlangsung sejak beberapa dekad yang lalu. Kerajaan Fililipina telah memohon beberapa pihak di negara Islam membantu menyelesaikan krisis. Ia bermula sejak 1976 lagi apabila perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Tripoli dimeterai antara Pertubuhan Kebangsaan Pembebasan Moro yang dipengerusikan oleh Nur Misuari dengan kerajaan Filipina, dibawah inisiatif negara Libya, dimeterai. Ia membawa kepada penubuhan Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) pada tahun 1989. Namun, ia tidak berjaya kerana tidak mendapat sokongan dalaman. Usaha dilanjutkan lagi dibawah kepimpinan Fidel V. Ramos pada tahun 1996, terhenti di era Joseph Estrada, tetapi disambung semula oleh kepimpinan Gloria Macapagal Aroyo pada tahun 2001 dan diteruskan dengan kerjasama kerajaan Malaysia.

Nampaknya sinar pemuafakatan yang konkrik hanya terserlah di era Presiden Benigno Aquino III sekarang ini. Banyak faktor yang mempengaruhi pencapaian ini. Antara faktor yang tertonjol ialah apabila kedua pihak mengambil sikap rendah diri dan mengakui realiti iaitu sikap dominasi dan cita-cita kemerdekaan mutlak bukan lagi ramuan terunggul bagi mencapai kesejahteraan bersama. Hanya sikap saling hormat menghormati, penerimaan hakikat kepelbagaian dan takdir sejarah formula penyelesaian terbaik. Menurut ketua perundingan MILF, Mohager Iqbal, Presiden Benigno Aquino III sebagai rakan damai yang boleh dipercayai bagi melaksanakan pelan ini. Malah, menurut sumber dari pihak kerajaan Filipina, Presidennya sendiri yang meminta agar pelan damai ini dipercepatkan bagi memastikan pelaksanaannya termeterai sebelum tempoh kepimpinannya tamat.

Tentu sekali masyarakat Islam serantau mengalukan kelahiran Bangsamoro sebagai satu entiti baru politik yang bakal mengukuh kedudukan umat Islam Asia Tenggara secara khusus. Pendamaian adalah langkah asas bagi Bangsamoro menunjukkan kepada dunia  model kehidupan beragama dan bermasyarakat secara maju dalam sebuah kerangka negara-bangsa moden hari ini. Penyelesaian di Selatan Filipina akan menjadi model bagi usaha keamanan yang sama dijayakan membabitkan konflik di Selatan Thailand dan nasib malang menimpa umat Islam Rohingya di Burma.

Berkenaan masa depan perjanjian damai ini, ia banyak bergantung kepada sokongan dalaman dan luaran terhadap wilayah tersebut. Untuk itu, usaha mengajak penglibatan MNLF pimpinan Nur Misuari harus menjadi antara agenda penting selepas ini, di samping tumpuan pembinaan institusi dan sistem pentadbiran yang terbuka dan berintegriti. Komitmen Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk memastikan kerjasama latihan, pendidikan, hubungan dagang dan  kebudayaan yang lebih aktif antara Selatan Filipina dan Malaysia harus disambut oleh kita semua. Dokongan seluruh umat Islam Asean merupakan sumbangan dan ramuan terpenting yang akan memastikan sinar baru keamanan benar-benar terserlah di Selatan Filipina pada kali ini.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Gerakan Islam, Institusi Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to PERJANJIAN DAMAI BERI SINAR BARU KEPADA BANGSAMORO

  1. Everything is very open with a very clear clarification of the challenges.
    It was truly informative. Your website is extremely helpful.
    Thank you for sharing!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s