PENDIDIKAN KENEGARAAN LAHIRKAN PEMIMPIN BERKUALITI

Oleh Muhamad Razak Idris

Para pengkaji bidang kenegaraan kini banyak memberikan tumpuan kepada siri debat antara Barrack Obama dan Mitt Romney,  calon  Presiden Amerika Syarikat (AS). Siri pertama telah berlangsung pada 3 Oktober 2012 yang lalu. Ia mendapat perhatian seluruh masyarakat dunia. Sekiranya kita mengikutinya menerusi laman YouTube di internet misalnya, lebih jutaan pengunjung direkodkan telah menontonnya. Populariti Obama dan kedudukan AS sebagai sebuah kuasa besar dunia antara faktor utama mendorong minat ini.

Setelah mengikuti debat mereka, ia menerbitkan beberapa buah fikiran untuk diperbincangkan. Pertama, acara debat merupakan satu medium perhubungan antara pemimpin dan rakyat dalam sesebuah negara yang  mengamalkan sistem demokrasi. Kedua, satu program pendidikan kenegaraan penting dibangunkan dan diperkenalkan dalam negara kita pada hari ini.
Acara debat antara calon presiden di AS nampaknya bukan sahaja dinantikan oleh rakyatnya, malah juga calon-calon yang bertanding itu sendiri. Ia dilihat sebagai satu pentas terbaik bagi mempersembahkan rancangan kepimpinan mereka kepada seluruh rakyat yang bakal melakukan pemilihan. Rakyat terbanyak perlu diberikan keyakinan pada tahap tertinggi tentang dasar dan pendekatan yang akan digunakan dalam tempoh kepimpinan akan datang sekiranya terpilih.

Sudah tentu setiap negara mempunyai cabaran dalaman dan luarannya yang tersendiri. Dalam acara debat antara Obama dan Romney yang lalu, mereka saling berhujah berasaskan ilmu dan pengalaman mereka sepanjang berada di dunia kepimpinan berkaitan langkah-langkah yang perlu AS lakukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dipertahankan dan dalam masa yang sama memastikan AS terus menjadi peneraju kepimpinan dunia.

Menyakinkan rakyat tentang misi ini bukan suatu yang mudah. Ia menuntut penguasaan pengetahuan kenegaraan dan kemahiran kepimpinan yang tinggi. AS hari ini sedang berdepan dengan cabaran besar. Ia harus menangani tanggungan hutang yang kini berjumlah ribuan billion dan dalam masa yang sama perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan dan menjamin keselamatan sosial dan kesihatan penduduknya. Cabaran ini menuntut suatu formula yang terbaik dari segi dasar dan pelaksanaan. Ia membabitkan isu pengurusan cukai dan pentadbiran ekonomi yang menyeluruh membabitkan sektor awam dan swasta. Obama dan Romney mempunyai perspektifnya tersendiri bagaimana untuk menangani pelbagai cabaran ini. 

Perspektif mereka dibentang dan bahaskan secara terbuka kepada rakyat AS. Mereka yakin, sekirany rakyat dapat difahamkan secara menyeluruh dasar yang akan diperkenalkan nanti, mereka pasti akan mendapat peluang terpilih dalam pilihanraya nanti. Dalam sistem demokrasi di AS, nampaknya hubungan rakyat dan pemimpin terbuka dan dekat. Peranan pemimpin ialah menawarkan agenda kepimpinan masa depannya manakala rakyat pula perlu meneliti dan mengkaji tawaran-tawaran tersebut. Rakyat disalurkan maklumat tentang rancangan dan agenda pemerintahan menerusi pelbagai medium pengantaraan.

Nampaknya, pentas debat merupakan antara medium pengantara yang amat berkesan dalam amalan demokrasi di AS.
Realiti ini memberikan kita kefahaman iaitu pencapaian amalan demokrasi yang matang banyak bergantung kepada tahap kesedaran dan keupayaan ilmu kenegaraan oleh rakyatnya. Dalam suasana rakyat berpengetahuan ini, ia mendorong kelahiran pemimpin berkualiti pula bagi menawarkan agenda kepimpinan terbaik kepada mereka. Para pemimpin ini sedar iaitu mereka perlu benar-benar menampilkan kualiti kepimpinan terbaik untuk terpilih kerana rakyat negaranya memiliki daya pengentahuan yang tidak boleh dipersendakan apabila membuat pemilihan kepimpinan.

Dalam hubungan ini, pengenalan program pendidikan kenegaraan dilihat asas dan penting. Dalam amalan demokrasi hari ini, rakyatlah sebenarnya penentu masa depan negara. Untuk itu,  rakyat tidak sahaja harus sekadar peka tentang isu-isu politik malah perlu memiliki pengentahuan tentang ilmu kenegaraan pada tahap tertinggi. Rakyat perlu melihat ilmu kenegaraan sebagai benteng yang akan memastikan negara yang didiami mereka sentiasa dipandu secara terbaik oleh barisan kepimpinan yang berkualiti dan bertanggungjawab. Peranan ini hanya mampu dicapai sekiranya rakyat memiliki dan menguasai ilmu kenegaraan secara mantap dan menyeluruh. 

Berkenaan ilmu kenegaraan ini, rakyat harus memahami iaitu ia mengandungi aspek teras dan aspek yang berubah. Pemuafakan dicapai bersama semasa penubuhan negara dan tercatat dalam perlembagaan merupakan aspek teras yang perlu sama-sama didokong. Di samping itu, terdapat aspek yang berubah yang memerlukan peningkatan kualiti pengentahuan rakyat secara berterusan. Aspek berubah dalam ilmu kenegaraan membabitkan persoalan dasar, perancangan dan pendekatan dalam pembangunannya. Aspek ini amat dinamik kerana ia sentiasa bertindakbalas dengan cabaran semasa negara yang berkembang. Antara isu-isu penting dalam aspek yang harus difahami  ialah seperti perbahasan berkenaan cara-cara menambahkan pendapatan negara, mengurangkan hutang, mengukuhkan dayasaing, mengekalkan jatidiri dan ketahanan moral, meningkatkan taraf hidup dan menjamin keselamatan sosial rakyat.

Banyak kelebihan apabila rakyat memiliki pengentahuan kenegaraan yang tinggi. Ilmu ini bukan sekadar memberikan keupayaan bagi rakyat memilih tawaran kepimpinan terbaik, malah  mengelakkan terjebak dari sebarang bentuk tipu daya oleh dunia politik yang serba licik .

This entry was posted in Dialog Peradaban, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s