PEMBANGUNAN KURIKULUM PENDIDIKAN PERLUKAN INOVASI BERTERUSAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Daya saing bidang pendidikan banyak bergantung kepada tahap kualiti kurikulum pengajiannya. Oleh kerana itu, kita dapati banyak inisiatif penyelidikan dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan tertumpu dalam pembangunan aspek ini pada masa kini. Ia bagi menjamin pendidikan agar benar-benar dapat memenuhi peranan asasinya sebagai wadah atau saluran terpenting pembangunan manusia, seterusnya memastikan generasi yang dibangunkan dapat bersaing secara yakin di pentas dunia baru yang serba mencabar di masa depan.

Dalam makalah Voice, terbitan The University of Melbourne, (vol. 8, no. 8), Gabrielle Murphy misalnya memulakan tulisannya dengan persoalan, apakah bentuk kerjaya yang bakal diceburi oleh seorang kanak-kanak yang dilahirkan pada 2012 setelah beliau menamatkan pendidikan tinggi pada 2035? Dalam telahan Murphy, kanak-kanak ini berkemungkinan besar sudah tidak lagi dapat menceburi bidang-bidang pekerjaan yang kebiasaan dilakukan oleh ibubapa mereka hari ini setelah 23 tahun akan datang.  Ini kerana, kepesatan perubahan dan pencapaian dalam kehidupan manusia hari ini terutama dari ilmu, maklumat, kemahiran dan kemudahan, akan menjadikan bentuk-bentuk pekerjaan pada masa depan juga berubah sepenuhnya.

Ini adalah antara asas yang mendorong pakar-pakar pendidikan hari ini memberikan tumpuan khusus dalam merencana program pembangunan kurikulum pendidikan yang mengandungi kualiti daya saing yang tinggi bagi memastikan generasi pelajar hari ini mampu berdepan dengan perubahan pekerjaan dan kehidupan yang serba mencabar dan tidak menentu pada masa depan. Dalam kata lain, kurikulum pendidikan harus sentiasa bersifat responsif terhadap perubahan dan dinamik dari segi pengamalannya. Kurikulum pendidikan dan pembelajaran yang bersifat beku atau jumud akan berdepan dengan persoalan relevensi atau kesesuaiannya dalam menyumbang kelahiran generasi berdaya saing mendepani cabaran perubahan.

Dalam dekad-dekad mendatang, dunia akan terdedah dengan pelbagai penciptaan baru dan ia akan mempengaruhi gaya hidup manusia dan cara mereka melakukan pekerjaan. Realiti perubahan ini bukan suatu yang terlalu sukar untuk kita fahami.  Lihat sahaja kesan-kesan yang telah disumbangkan oleh kemajuan di bidang komunikasi dan media terhadap kehidupan kita hari ini. Pembangunan teknologi baru di bidang ini telah mengubah cara manusia memperoleh maklumat, berhubung dan berhibur. Konsep televisyen, misalnya telah berubah sepenuhnya sekiranya dibandingkan sejak dua tahun yang lalu. Manifestasinya tidak lagi statik, tetapi kini bercorak digital dan mudah alih. Teknologi komunikasi yang canggih ini juga mempengaruhi corak manusia berurusan dalam bidang kewangan, perubatan, perdagangan dan lain-lain lagi. Bidang pendidikan juga tentu tidak kebal dari menerima kesan-kesan perubahan dunia ini. Untuk itu, ia perlu bersiap siaga secara lebih efektif bagi mendepaninya.   

Apakah bentuk persediaan yang perlu dilakukan bidang pendidikan bagi mendepani realiti perubahan ini? Bagi pakar-pakar pendidikan, pembangunan kurikulum pendidikan yang bersifat inovatif adalah antara aspek teras yang mesti diutamakan kini. Ia adalah jalan keluar yang akan memastikan generasi yang dibangunkan hari ini tidak ketinggalan  oleh arus deras perubahan masa depan. Inovasi kurikulum pendidikan ini harus menyeluruh mencakupi kandungan ilmu yang harus diketahui pelajar serta kaedah atau teknik pembelajaran setiap bidang pengajian. Program inovasi ini juga harus mengabungjalin seluruh ruang, persekitaran dan teknologi pembelajaran bagi memberikan kesan tertinggi terhadap pencapaian pendidikan.

Dalam beberapa penemuan berkenaan model kurikulum pendidikan berinovasi, pakar-pakar pendidikan mengesyorkan agar aspek-aspek membabitkan pembelajaran ilmu bercorak merentas disiplin, pengukuhan daya kepimpinan, penghargaan kepelbagaian budaya dan pembinaan generasi berwatak global perlu diperluaskan perlaksanaannya serta harus menjadi teras penting pembangunannya. Bagi tujuan tersebut, pembangunan teknik pembelajaran berasaskan pemikiran kritis, ketrampilan meneroka keluasan dan kekayaan sumber ilmu serta kemahiran bekerja secara berpasukan hendaklah diterapkan dalam proses pembelajaran.

Inovasi dalam pembangunan kurikulum pendidikan juga disyorkan memberi tumpuan dari segi kesepaduan kaedah pembelajarannya. Komponen formal dan tidak formal dalam sistem pendidikan harus saling berperanan secara melengkapi. Menerusi model ini, proses penguasaan ilmu tidak hanya lagi tertumpu dari segi pengajian secara formal di dalam kelas atau buku teks tetapi dalam masa yang sama dijayakan melalui kaedah tidak formal membabitkan pembangunan persekitaran dan budaya pembelajaran yang kreatif dan segar dalam sesebuah institusi pendidikan. Model ini menganjurkan agar ruang dan peluang interaksi antara pelajar sesama pelajar dan pelajar dengan komuniti diperluaskan pada tahap yang maksima. Ini akan membabitkan banyak pelaburan dari segi persediaan prasarana pembelajaran seperti keperluan memperbanyakkan ruang-ruang interaksi dan diskusi, memanafaatkan infrastruktur seperti bilik darjah, bangunan, kantin, surau dan perpustakaan sebagai pusat sumber pengentahuan dan galakan kegiatan mobiliti pelajar bersama komuniti setempat atau antarabangsa. Kesepaduan aspek formal dan tidak formal dalam pembelajaran akan membolehkan kurikulum pendidikan berkembang dengan dinamik serta terbuka menerima kreativiti baru dalam pembangunannya. Apa yang lebih penting ialah pelajar mendapat peluang dan pengalaman pendidikan secara segar menerusi penghayatan langsung ilmu di bilik darjah dan dalam masa yang sama melalui pendedahan pengalaman baru yang real di persekitarannya.

This entry was posted in Budaya, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s