HARGAI SUMBANGAN DAKWAH ABIM

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 5 Oktober 2012

Semasa dekad-dekad awal selepas kemerdekaan terutama selepas perbentukan Malaysia pada 1963, beberapa organisasi penting kependidikan, bahasa dan dakwah ditubuhkan bagi mengisi ruang pembangunan negara dan menggerakkan proses perkembangannya. Salah satu organisasi tersebut ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia baru saja menjalankan persidangan tahunannya atau Muktamar ke 41 pada 29-30 September 2012 yang lalu. ABIM ditubuhkan secara rasmi pada 6 Ogos 1971.

Kita ingin mengambil sedikit kesempatan berkongsi sumbangan ABIM terhadap pembangunan negara terutama dari segi perkembangan dakwah Islamiah. Ia sebagai suatu penghargaan terhadap ramai para aktivisnya yang terus komited memastikan ketahanan dakwah dan kepesatan perkembangannya di negara kita.

Antara banyak sumbangan dakwah ABIM, peranannya dari segi kepimpinan ilmu bagi merancakkan pertumbuhan wacana bercorak keislaman dalam bidang pemikiran, kebudayaan dan pembangunan negara adalah paling menonjol. Peranan ini memang diakui oleh ramai pihak. Sekiranya kita merujuk karya-karya berkenaan Islam di Malaysia dan Asia Tenggara di banyak perpustakaan, nampaknya para pengkaji memberikan tumpuan khusus terhadap peranan dan sumbangan ABIM dalam aspek ini. Dalam kata lain, adalah tidak lengkap sesebuah karya yang membicarakan tentang perkembangan Islam di rantau ini tanpa menyentuh peranan ABIM di Malaysia sejak 4 dekad yang lalu.

Para pengkaji mendapati wacana Islam yang dikembangkan oleh ABIM memilik keunikan dan kelainan berbanding dengan wacana kebiasaan yang berkembang dalam negara pada waktu itu. Wacana Islam yang diterajuinya didapati mengandungi unsur pemodenan dari segi perspektif dan amalan. Misalnya, salah satu isu dalam wacana Islam yang dibicangkan organisasi ialah tentang maksud ‘pembangunan’ dilihat harus menjadikan agama sebagai sumber sandaran dan rujukan dalam agenda pembangunan negara. Penonjolan isu ini merupakan satu bentuk perbahasan yang terlalu baru dalam konteks diskusi dakwah pada ketika itu yang dikatakan lebih didominasi tentang persoalan berkaitan hukum hakam ibadat.

Berkenaan wacana tentang pembangunan ini, diskusinya mendapat perhatian meluas kerana ia tumbuh pada ketika negara sedang berada di era awal perkembangannya. Pemimpin dan rakyat masih dalam pencarian satu kerangka kefahaman yang tetap untuk dijadikan sandaran bagi rancangan dan agenda pembangunan negara. Peloporan wacana Islam tentang pembangunan ini memberikan satu suntikan fikrah yang amat besar dalam suasana pemikiran rakyat yang baru sahaja bebas dari kongkongan pemikiran penjajahan.

Wacana tentang pembangunan yang dipelopori ABIM memberi perspektif segar terutama dalam meletakkan peranan agama ditingkat teras sebagai asas dan sandaran bagi agenda pembangunan negara. Dalam kata lain, pembangunan negara pasca kemerdekaan tidak boleh sama sekali terkeluar dari kerangka dan semangat keagamaan dari segi cita-cita melihat sebuah kemajuan hidup yang makmur berasaskan dasar dan perlaksanaan yang adil dan saksama kepada segenap lapisan rakyat.

Tentu sekali penekanan fungsi agama dalam pembangunan suatu sumbangan besar dari segi pemikiran terutama dalam suasana pada waktu itu di mana perspektif terhadap peranan agama masih  sekadar satu amalan ritual atau acara bermusim. Menerusi wacana ini, pembangunan dipandang dari perspektif Islam di mana ia menonjolkan dimensi pembaharuan pemikiran Islam dalam melihat peranan dan hubungan agama dengan negara secara langsung. Agama dalam konteks ini dipertegaskan sebagai teras rujukan bagi perancangan dasar dan amalan. Pembangunan yang dituntut Islam harus memastikan pengagihan kekayaan yang merata dan menjamin penyertaan rakyat terbela dalam proses pembangunan. Perancangan pembangunan tidak boleh sama sekali akan membawa kepada kemajuan dan kemakmuran bagi sesetengah kelompok tetapi hendaklah melimpahkan nikmatnya kepada seluruh rakyat terbanyak.

Di samping isu pembangunan, wacana dakwah ABIM juga menimbulkan minat masyarakat yang tinggi  terhadap pendidikan Islam. Berasaskan kerangka pemikiran reformisme Islam yang menjadi identiti khusus pergerakannya, ABIM menganjurkan masyarakat dan negara agar kembali berpaut kepada sistem pendidikan yang berteraskan prinsip Tauhid dari segi kurikulum dan pengamalannya. Dalam kerangka ini, peranan pendidikan tidak dilihat sekadar agen bagi melahirkan tenaga kerja untuk pembangunan, tetapi membina generasi pembina tamadun manusia terbaik atau khayra ummah.  Wacana tentang pemikiran pendidikan Islam berkembang pesat hingga hari ini. Malah banyak model pendidikan Islam telah dibangunkan dari peringkat awal hingga ke universiti di negara kita kini kesan dari himbauan terhadap wacana ini. 

Bagi membuktikan kepentingan dan keunikan sistem pendidikan berasaskan Islam, ABIM sendiri menubuhkan institusinya sendiri. Berasaskan rekod mutakhir, ia kini memiliki dan menguruskan 16 buah sekolah di peringkat rendah dan menengah dengan jumlah guru seramai 370 orang dan pelajarseramai 5740 orang. Bagi program pendidikan awal kanak-kanak, Abim mengendalikan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI). Kini terdapat sebanyak 273 buah TASKI di seluruh negara dengan jumlah guru seramai lebih 605 orang dan pelajar seramai 11,425 orang.

Sumbangan dakwah ABIM kini menjadi antara bahan kajian. Ia telah menerbitkan lebih 60 judul bukul ilmiah. Dalam rekod perpustakaan di Universiti Malaya sahaja, terdapat sebanyak 33 buah tesis berkenaan ABIM telah ditulis oleh para pengkaji di peringkat prasiwazah, sarjana dan PhD. Sumbangan dakwah ini amat besar dan perlu dihargai oleh semua.

Tinggalkan komen