PELIHARA NAMA BAIK NEGARA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 30 September 2012

Rentetan peristiwa penghinaan terhadap agama Islam menerusi filem yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mengundang banyak komentar di media tempatan dan antarabangsa. Dalam penelitian, pandangan Greg Sheridan, kolumunis The Australian pada 22 September 2012 menarik dan berlainan. Analisisnya bukan sekitar filem tersebut tetapi tentang kedudukan nama baik AS yang nampaknya terus tercemar di mata masyarakat di dunia Islam terutamanya sejak peristiwa tersebut.

Dalam telahannya, AS perlu melakukan banyak usaha lagi, mencari strategi dan pendekatan baru bagi memulihkan nama baiknya. Kepimpinan dan rakyat AS tentu tergamam dan sedih melihat pelbagai reaksi masyarakat terhadap negara mereka di dunia Islam selepas penerbitan filem tersebut. Jelas, bukan sekadar penerbit dan pelakon filem tersebut sahaja yang menjadi sumber kemarahan, negara AS secara keseluruhan menjadi bahan pelepas kemarahan. Di sesetengah acara bantahan, bendera AS dibakar secara terbuka sebagai tanda protes dan ketidaksukaan. Persoalan tentang kewajaran tindakan ini dari segi etika perlu dibincang kemudian, namun, fenomena ini dinyatakan bagi menunjukkan tentang kedudukan AS hari ini pada pandangan masyarakat Islam global.

Kepimpinan AS amat menyedari realiti dan beban sejarah yang ditanggung negaranya. Oleh kerana itu, sejak peristiwa itu tercetus, Presiden AS, Barack Obama dan Setiausaha Negaranya, Hillary Clinton tanpa lengah memberikan kenyataan terbuka bahawa penghinaan yang ditunjukkan menerusi filem tersebut tidak ada kena mengena dengan amalan dasar dan pendirian negara AS. Dalam kata lain, mereka cuba menjelaskan kepada dunia Islam khususnya, AS tidak harus dikaitkan atau disalahkan dengan peristiwa itu kerana ia adalah kesalahan individu yang kebetulan merupakan rakyatnya. Di samping  perbuatan rakyatnya itu, mereka berdua juga menyeru semua pihak menghormati kesucian ajaran dan simbol agama .

Walaupun demikian, ia tidak dapat mengurangkan tahap persepsi buruk terhadap AS di dunia Islam. Kenapa hal sedemikian terjadi? Inilah persoalan yang menjadi bahan pemikiran ramai penganalis sosial dan politik dunia. Antara telahan tentang jawapannya, persepsi ini berkait rapat dengan persoalan sejarah. Dasar dan tindakan kepimpinan AS terhadap dunia Islam masih dirasakan berat sebelah. AS masih bukan kuasa yang ‘baik’, apatah lagi untuk memberikan keadilan. Kepentingan negaranya diutamakan berbanding kesejahteraan orang lain. Ini dapat diperhatikan dalam tindakan AS yang terus memberikan sokongan terhadap Israel dan seolah memejam mata terhadap amalan penjajahan terhadap Palestin walau apa juga keadaan sekali pun. Tindakan ini adalah antara yang sungguh mengguris hati masyarakat Islam dan ia satu pengalaman sejarah yang tidak mungkin mudah dihilangkan sekelip mata.

Persepsi buruk terhadap AS dikesan bertambah parah sejak satu dekad kepimpinan George W. Bush. Penaklukan Iraq dan Afghanistan dan kisah penyiksaan tawanan di penjara Abu Ghraib merupakan antara peristiwa yang tidak mudah dihilangkan dalam sejarah perkembangan dunia Islam. Malah sepanjang tempoh ini jugalah, gelaja Islamophobia berleluasa terutama di AS dan di Eropah. Di samping isu sejarah, aspek budaya juga menyumbang terhadap usaha memulih persepsi buruk terhadap AS sukar atau masih belum berkesan. Barangkali berkembangnya budaya liberal dan aksi ganas ‘hollywood’ menambahkan lagi kesan tersebut. AS sering dilihat kuasa yang keras sebagaimana watak dan gaya ‘cowboy’ di filem-filem mereka.

Kita sedar iaitu imej ini bukanlah hakikat sebenar AS. Banyak sumbangan baik AS yang perlu dihargai. Namun, akibat interaksi budaya yang tidak sihat antara AS dan dunia Islam, ia menjadi halangan yang amat besar bagi AS dalam memulihkan semula nama baiknya. Realiti ini difahami dengan baik oleh kepimpinan AS dan kini mereka seperti sedang berusaha gigih mengatasinya menggunakan pelbagai saluran. Barack Obama sebagai contoh cuba menampilkan imej baru AS. Beliau menonjolkan watak seorang diplomat dan tokoh negara yang bertoleransi. Semasa berkunjung ke Mesir di awal kepimpinannya, beliau mengulurkan salam persepakatan dengan dunia Islam dan menyeru agar dialog dijadikan jalan mengatasi sebarang kebuntuan. Namun, dengan pelbagai usaha dan pendekatan yang telah dilakukan sejak beberapa waktu ini, nama baik AS masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya. Reaksi dunia Islam terhadap perbuatan terbaru rakyatnya menerbitkan filem menghina agama penganut lain menunjukkan hakikat tersebut.

Apakah yang kita ingin pelajari dari peristiwa ini? Sesungguhnya, menjaga dan memelihara nama baik negara satu kewajipan setiap rakyat dan pemimpin. Jelas, setiap orang yang bernegara menginginkan nama negaranya baik pada pandangan orang lain walaupun negaranya barangkali satu kuasa besar di dunia ini. Penelitian kita terhadap pengalaman yang dilalui AS hari ini sungguh menghibakan iaitu amat mudah nama baik sesebuah negara tercemar atau buruk. Tindakan dan kesalahan oleh seorang rakyat yang jahil atau seorang pemimpin yang angkuh memburukkan nama baik sesebuah negara dan rakyatnya. Namun, sekali nama baik negara tercemar, nyata amat sukar sekali untuk memulihkannya. Syukurlah nama negara kita amat baik pada pandangan masyarakat dunia hari ini. Tetapi, jangan sesekali kita lalai dan alpa. Berhati-hati dalam setiap percakapan dsn amalan. Ayuh kita kita pelihara nama baik negara.

This entry was posted in Budaya, Dialog Peradaban, Isu Semasa, Kenegaraan, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to PELIHARA NAMA BAIK NEGARA

  1. Just what exactly truly inspired you to write “PELIHARA NAMA BAIK NEGARA Pandangan Razak”?
    I actuallyabsolutely loved it! Many thanks -Coy

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s