WASPADA JERAT PERMUSUHAN AGAMA

Oleh Muhamad Razak Idris

Umat Islam perlu berwaspada dengan sebarang bentuk jerat yang dipasang secara segaja oleh pihak tertentu bagi memastikan perasaan permusuhan antara agama terus berkembang dan berleluasa. Jerat permusuhan ini dicipta dalam pelbagai bentuk dan ia bukan perkara baru.

Dalam kes terbaru membabitkan penerbitan sebuah filem yang menghina keperibadian Nabi Muhammad SAW dan kesucian agama Islam oleh seorang penerbit filem di Amerika Syarikat (AS), yang kini sedang mendapat bantahan yang meluas umat Islam seluruh dunia, kita melihat ini adalah antara sebahagian lagi bentuk jerat yang digunakan bagi tujuan memastikan penganut antara agama dalam keadaan saling bermusuh antara satu dengan lain. Bentuk jerat kali ini nampaknya bercorak provokasi terhadap fikiran dan emosi umat Islam. Kaedah yang digunakannya ialah dengan melakukan pentafsiran secara jahil dan prejudis  terhadap kesucian simbol dan sejarah kepercayaan penganut agama Islam.

Sepintas lalu, nampaknya penerbit filem ini seolah cuba menjadi tokoh dan mencari pingat pengiktirafan  dunia sebagai seorang yang berjaya menemui persoalan tentang punca kepada segala permasalahan dunia ini. Jawapan yang diberikan ialah ajaran Islam dan peranan Nabi Muhammad dalam sejarah pertumbuhan agamanya. Jawapan ini dipaparkan menerusi saluran kreatif dengan menerusi paparan yang dipenuhi aksi yang sungguh menghina dan perasaan dendam keagamaan yang amat buruk.

Sudah tentu umat Islam berhak dari segi prinsip kerohanian dan ketamadunan menyatakan bantahan mereka secara terbuka terhadap perbuatan mencela simbol kesucian agamanya. Bantahan menyeluruh umat Islam seluruh dunia ini adalah peristiwa penting bagi menyatakan secara terbuka bahawa filem tersebut suatu yang perlu dikutuk sekerasnya dan mengingatkan sesetengah pihak yang sering memusuhi iaitu umat Islam mempunyai harga dirinya yang tidak boleh sewenang dan dengan mudah dipermainkan atas nama kebebasan berkreatif dan berimaginasi. Ia juga bagi memberi amaran kepada mereka untuk tidak mengulangi lagi perbuatan atau tindakan yang seumpamanya pada masa depan.

Disamping kepentingan menyatakan bantahan, hal yang ingin kita curigai ialah tentang motif disebalik perbuatannya ini yang dilihat dari sudut yang lain seumpama satu bentuk jerat baru permusuhan antara agama. Kita tidak berfikir bahawa penerbit filem ini mengusahakan tindakannya dalam keadaan tidak sedar atau naïf. Tidak mungkin seseorang penerbit filem yang menjadikan tema keagamaan sebagai isu utama dalam karyanya jahil tentang aspek-aspek kesucian agama tersebut yang perlu dihormati. Dengan menggunakan kisah nabi dalam sesebuah agama sebagai subjek dalam karyanya, ia menunjukkan individu ini seorang yang arif tentang aspek pemikiran dan budaya tinggi sesebuah masyarakat dan tamadun. Ini secara langsung menunjukkan penerbit ini melakukan perbuatannya dengan sikap segaja dan penuh kesedaran.

Pandangan kita juga ialah penerbit filem ini juga sedar akan kesan-kesan buruk yang akan ditanggung sekiranya karyanya yang berunsur penghinaan terhadap kepercayaan agama lain tersebar. Ini kerana akibat dari perbuatan provokasi yang khianat sebegini bukannya kali pertama berlaku. Baru saja berlalu, umat Islam seluruh dunia membuat protes besar-besaran terhadap tindakan dan cubaan untuk membakar kitab suci al-Quran secara terbuka di AS. Peristiwa bantahan tersebut telah mendapat hebahan meluas di seluruh dunia dan ia pasti disedari oleh penerbit filem ini. Namun, mengapakah individu ini masih berani melakukan provokasi yang serupa? Gambaran ini membawa kita untuk menggangap ia dilakukan secara sedar dan terancang serta boleh dilihat sebagai sebahagian dari jerat halus bagi mencapai motif atau tujuan tertentu yang tidak diketahui.

Nampaknya juga penerbit filem ini masih belum belajar dari pengalaman perit yang ditanggung oleh Salman Rushdie kerana telah menyalahgunakan bakat seni penulisannya dengan menerbitkan karya yang menghina kitab suci al-Quran dan Nabi Muhammad beberapa waktu dahulu. Bagi memperoleh kemasyhuran dan dinobat sebagai ‘jaguh’ menerusi bakat penulisan menerusi pendekatan membuat tafsiran secara bebas tentang isu-isu keagamaan Islam, Salman Rushdie sehingga hari ini terus menanggung tekanan kerana harus hidup dalam pelarian dari ancaman kematian walaupun ‘fatwa’ terhadap beliau pada 14 Febuari 1989 telah berlalu sekian lama. Itulah akibat yang ditanggung bagi seseorang yang terlalu terlalu ego dan berani merendahkan dan menghina sesuatu pegangan kepercayaan yang dianuti oleh lebih 1 billion manusia di muka bumi ini.

Berwaspada dalam mendepani jerat permusuhan yang dipasang ini menuntut kita umat Islam untuk terus berpegang dengan prinsip ajaran Islam yang benar, seimbang dan sederhana terutama dari segi akhlak dan perlakuan. Sebarang bentuk bantahan terhadap apa juga bentuk provokasi tidak harus pula bertukar menjadi satu acara yang bercorak ganas dan beremosi sehingga memusnahkan harta awam, kecedaraan atau kematian. Sekiranya ini berlaku, kita sebenarnya secara tidak langsung sudah terperangkap dalam jerat permusuhan yang dipasang tersebut. Reaksi kita yang bercorak radikal dan tidak terkawal akan mengesahkan bayangan yang difikirkan sesetengah pihak selama ini iaitu umat Islam sebagai golongan yang ganas. Marilah kita berwaspada.

This entry was posted in Dakwah, Isu Semasa, Pemikiran Islam, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s