BERSEDIA MELONJAK NEGARA DI ERA GLOBAL

Oleh Muhamad Razak Idris

Menghimbau lebih setengah abad negara kita mencapai kemerdekaan sungguh menginsafkan. Kebijaksanaan dan ketabahan seluruh kepimpinan dan rakyat dalam tempoh tersebut dalam merencana dan menggerakkan kebangunan negara harus diakui. Dalam tempoh ini, negara kita boleh diletakkan dalam kategori ‘cemerlang’ kerana keupayaan menempuh dan menangani cabaran era awal pembinaannya. Syukur, berbanding dengan beberapa negara seusia Malaysia, beberapa pencapaian dari segi pembangunan prasarana, kesejahteraan sosial dan ekonomi serta keberkesanan sistem dan struktur kenegaraan, negara kita boleh dikatakan terkehadapan.

Namun, kita tidak boleh lalai kerana pencapaian ini bukan titik penghujung. Perjalanan pembangunan negara masih panjang dan kini bertambah mencabar lagi. Ada dua tugas asas yang harus dilakukan bersama seluruh rakyat dalam mempersiapkan negara berdepan cabaran dunia global masa kini. Pertama ialah melakukan muhasabah atau penilaian terhadap kekuatan dan kelemahan yang telah ditempoh lebih lima dekad yang lalu. Tentu sekali terdapat beberapa lompong atau ruang kelemahan yang perlu diperbaiki di era awal pembinaan negara hingga kini.


Antara perkara penting yang perlu dilihat ialah tentunya berkenaan dengan keutuhan struktur dan sistem kenegaraan itu sendiri. Hal ini membabitkan tentang pelbagai aspek berkenaan kualiti perancangan dan keberkesanan pelaksanaan serta penguatkuasaan agenda pembangunan. Isu-isu ini menuntut kita melakukan penelitian terhadap beberapa aspek berkenaan prinsip dan amalan pemerintahan  yang disekapakati, kecekapan kakitangan awam dan keselamatan serta kualiti ahli-ahli perundangan dan pembuat dasar dalam negara. Kesemua ini saling berkait antara satu dengan yang lain serta saling menyumbang kepada keutuhan negara kita di masa depan.

Hal lain yang penting juga dibahaskan ialah berkenaan budaya. Semua mengakui kepentingan dan peranan budaya murni dan positif dalam berdepan cabaran persaingan dunia. Dalam perbincangan tentang teori pembinaan negara, orang sering merujuk contoh masyarakat Jepun yang membina budaya kerjanya yang utuh dalam membangunkan kembali negara mereka setelah kecundang selepas Perang Dunia ke-2. Nilai-nilai seperti tekun, disiplin dan kreatif sering dikaitkan dengan budaya masyarakat Jepun hingga ke hari ini. Berasaskan nilai dan budaya inilah, Jepun berjaya bangkit kembali dan menjadi pelopor dalam banyak bidang di pentas dunia moden kini.

Barangkali penilaian terhadap pencapaian budaya yang telah dihayati masyarakat negara kita perlu ditinjau dan diteliti secara serius pada tahap ini. Kita melihat pengukuhan nilai-nilai keagamaan bertambah tinggi sejak akhir-akhir ini dan ia harus dipertahankan dan diperkuatkan. Namun, dalam keadaan yang sama juga, negara kita masih dijerat oleh nilai dan budaya negatif membabitkan persoalan integriti yang merisaukan. Keadaan menunjukkan tahap keutuhan budaya masih belum lagi stabil dan kita perlu mencari punca dan penyelesaiannya dalam kadar segera. Dalam arus persaingan yang amat rencam nanti, negara boleh ketinggalan tanpa persediaan budaya yang utuh dalam setiap diri warganya.

Kita juga berpandangan kefahaman yang tepat dan menyeluruh berkenaan realiti dunia yang sedang kita diami hari terlalu penting kepada rakyat. Realiti tentang era keterbukaan dan arus globalisasi perlu diketahui oleh segenap lapisan penduduk dan bukan hanya sekelompok masyarakat sahaja. Kita perlu mempelbagaikan wacana tentang perubahan dunia yang sedang berkembang bagi membolehkan rakyat mempunyai persediaan minda yang jelas terhadap sebarang agenda perubahan yang dirancang di peringkat kepimpinan utama negara. Tanpa kesedaran dan kefahaman, segala perbahasan yang menggunakan pelbagai istilah yang besar dan kompleks tidak mampu dihargai oleh rakyat terbanyak.

Rakyat harus menyedari iaitu antara isu penting dalam arus globalisasi hari ini ialah persoalan ekonomi.  Ia merupakan isu asas dan teras yang akan menentukan tahap dan kedudukan negara di pentas dunia akan datang. Selaku rakyat, peranan kita amat penting sekali kerana tanpa penglibatan rakyat, ekonomi negara tidak akan memberi sebarang kesan. Namun, persoalannya sekarang ialah apakah bentuk-bentuk kegiatan ekonomi yang perlu menjadi tumpuan dan penglibatan utama rakyat pada masa kini? Persoalan ini menuntut kepimpinan ilmu dari kepimpinan negara dan  dalam pemahaman rakyat secara menyeluruh berkenaan realiti kehidupan dunia pada hari ini.

Dalam hubungan ini, kita harus menyedari iaitu ruang lingkup kegiatan ekonomi kini sudah berkembang dan tidak terhad lagi dalam bentuk pemprosesan dan jualan barangan. Walaupun keperluan industri masih asas dalam kegiatan perekonomian dunia, namun perbincangan berkenaan ekonomi berasaskan pengentahuan atau K-Ekonomi juga sedang berkembang. Ini adalah satu bidang ekonomi baru yang bersumberkan kepakaran dan kecekapan. Di era globalisasi yang penuh persaingan, rakyat yang berpengentahuan, berdaya keusahawanan, cekap dan inovatif merupakan eset dan sumber baru ekonomi negara pada masa depan. Marilah kita bersedia.

This entry was posted in Isu Semasa, Politik, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s